"WEH, macam salah aje kiraan aku ni? Tak dapat pun jawapan?"
Senyap. Tiada balasan.
Syakirah berpaling ke sisi. Menjeling sahabatnya yang sedang sibuk menghadap jarum dan kain. Muncung ditarik panjang kepada Najuwa yang buat tidak endah soalannya tadi.
"Tolonglah aku. Sekejap lagi waktu Masrip. Mati aku kalau tak siap kerja dia ni," sungut Syakirah.
Masih senyap.
Syakirah mengetap bibir menahan geram. Dia berpaling dan kali ini tangan sahabatnya itu digoncang kuat.
"Imratul Najuwa binti Mohd Amin, kau dengar tak ni? Tolonglah sekejap," ujar Syakirah dengan rengekan yang meleret panjang.
Najuwa sekadar menjeling sekilas dan menolak tangan Syakirah.
"Sekejaplah," balas Najuwa.
Tangannya masih lincah memasukkan jarum berselang-seli pada kain, membentuk jahitan di bahagian leher baju kurung yang dibawanya.
Inilah rutin dirinya sejak tiga tahun dulu. Membantu ibu tirinya menjahit baju. Setiap hari, dia akan membawa dua helai baju kurung ke sekolah untuk disiapkan. Asal ada masa senggang, memang tangannya akan bersatu dengan jarum dan kain. Tidaklah susah mana kerana dia sudah terbiasa.
Kadang-kadang, dia perlu menyiapkan jahitan manik atau sulaman. Semuanya yang boleh disiapkan dengan kerja tangan. Setakat menyempurnakan jahitan, bolehlah dibuat di sekolah. Takkan dia hendak bawa mesin jahit dan menjahit baju atas meja sekolah pula, kan?
"Tengok tu. Sempat lagi dia berangan. Tolong tengokkan kiraan aku ni. Cepatlah. Masrip dah nak masuk ni," tegur Syakirah.
Teguran itu, mematikan khayalan Najuwa. Najuwa sekadar menggeleng dan menghentikan kerjanya. Jarum dan kain disimpan. Tumpuannya diberikan kepada Syakirah yang sudah cemberut memandangnya.
"Lain kali, kerja rumah tu, buat di rumah. Bukan buat di sekolah. Lagi satu, cuba panggilan hormat tu disebut elok-elok. Cikgu Masrip. Dia cikgu kita, kan? Sebab itu, ilmu susah nak masuk dalam kepala kau, Syakirah Nasuha. Faham?" ujar Najuwa.
Syakirah menjulingkan matanya.
"Esok-esoklah kalau nak membebel pun. Ajar aku buat kiraan ni dulu. Masrip ni pun... err..."
Bicara Syakirah terhenti. Kemudian, dia tersengih dan menggaru kepala saat menyedari kesilapannya.
"Maksud aku, Cikgu Masrip. Pandai dia, bagi kita soalan lain-lain. Tak mahu kita menirulah tu," sungut Syakirah lagi.
Najuwa tertawa kecil.
"Tahu tak apa. Dah, sini aku ajarkan," balas Najuwa.
Pen di tangan Syakirah diambil dan kertas kajang ditarik ke hadapannya. Lincah tangannya menulis formula kiraan bagi subjek matematik itu, sambil mulutnya bergerak mengajar Syakirah cara kiraan yang betul.
"Nah, cuba selesaikan," ujar Najuwa setelah membantu Syakirah separuh jalan.
Syakirah mencapai pen dan kertas yang dihulurkan Najuwa. Tersenyum dia saat mampu menyelesaikan soalan itu dengan mudah kerana dia sudah faham dengan penerangan Najuwa tadi.
"Betul?" soal Syakirah.
Najuwa mengukir senyuman dan mengangguk.
"Pandai pun. Soalan lagi satu ni pun sama aje," balas Najuwa.
"Baik, bos! Terima kasih ajarkan aku," ujar Syakirah.
"Sama-sama kasih," jawab Najuwa.
Baju kurung di bawah meja dicapai kembali dan menyambung tugasannya yang terhenti tadi. Sedikit saja lagi, sempurnalah jahitan tulang belut di bahagian leher baju kurung itu.
"Cuba kau tengok dia tu. Datang sekolah, asyik tidur aje. Dahlah tak bersosial langsung. Tapi, selalu jadi pelajar cemerlang masa peperiksaan. Pelik betul aku."
Kata-kata Syakirah membuatkan Najuwa mengangkat kepalanya. Pandangan ditalakan ke arah meja sebelah. Benar, lelaki itu sedang tidur. Seperti selalu. Setiap hari.
Najuwa sekadar mengukir senyuman nipis. Fokusnya kembali dijatuhkan kepada mata jarum. Malas hendak melayan Syakirah.
"Tapi, nak hairan apa? Keluarga dia kaya, kan? Dah tentu dia akan mewarisi kekayaan keluarga dia. Tak macam kita ni. Bersungguh-sungguh belajar. Jangankan kerja bagus-bagus, nak sambung belajar pun, entah dapat ke tidak?" ujar Syakirah.
Kata-kata Syakirah membuatkan senyuman kembali tergarit di bibir Najuwa. Jangan mudah menilai luaran orang, Syak. Bahagia setiap orang takkan pernah sama, bisik Najuwa dalam hati.
Sekali lagi Najuwa mengerling Zuhayr.
Sejak peristiwa Zuhayr menangis minggu lepas, lelaki itu semakin dingin dengan dia. Entah kenapa. Mungkin Zuhayr malu sebab Najuwa nampak dia menangis. Atau emosi lelaki itu belum stabil sepenuhnya? Entahlah.
Lamunan Najuwa terhenti saat tamparan halus hinggap di pahanya.
"Berangan aje kerja kau, kan? Suka biarkan aku membebel seorang diri. Aku bercakap dengan kau tau, bukannya dengan meja," omel Syakirah.
Tersengih Najuwa membalas jelingan Syakirah.
"Aku dengarlah. Insya-Allah, rezeki sentiasa ada untuk orang yang berusaha dan selalu bersabar, kan?" balas Najuwa.
Syakirah mengangguk.
"Sebab itu, kau kena selalu tolong aku. Aku nak sama-sama berjaya dengan kau. Pinjamkan sikit kepandaian kau tu untuk aku, ya?"
Najuwa tertawa lagi. Bahu sahabatnya itu didakap erat.
"Kalau otak ni boleh dikongsi, aku dah bagi separuh dekat kau, Syak. Tak payah nak pinjam-pinjam," seloroh Najuwa.
Kata-kata Najuwa disambut dengan ketawa besar Syakirah.
"Weh, Masrip dah sampai!" laung Miqdad.
Masing-masing berlari ke tempat duduk sendiri. Suasana kelas yang tadinya bising, bertukar sepi.
Najuwa menyimpan baju kurung yang sedang dijahit sebelum menjeling Zuhayr yang masih lena dibuai mimpi. Dia mencuit Zuhayr agar bangun. Tapi, tiada respons.
"Weh, bangunlah. Cikgu dah nak masuk," bisik Najuwa.
Namun, lelaki itu masih diam tidak berkutik.
Najuwa mengetap bibirnya, perlahan. Pintu kelas dikerling. Bila-bila masa, Cikgu Masrip akan sampai. Kepantangan guru lelaki itu kalau dia nampak pelajar sedang tidur waktu mata pelajarannya. Bila dia masuk, pelajar harus ceria dan bersedia. Kalau tunjuk muka mengantuk, habislah dia denda suruh lari satu bangunan sekolah.
"Bangunlah!" Najuwa menekan suaranya.
Pekikan sederhananya pakej dengan tendangan kuat pada meja Zuhayr. Cukup untuk membuatkan meja itu teralih dan tangan Zuhayr yang sedang menopang kepala terjatuh. Habuannya, dahi lelaki itu terhantuk pada meja.
Bulat mata Najuwa saat mendengar hantukan kuat itu. Pasti sakit kepala Zuhayr. Laju dia berlari semula ke mejanya dan berpura-pura seperti tiada apa-apa yang berlaku.
Bibir dikemam rapat menahan ketawanya daripada meletus. Syakirah di sisi sudah ketawa terbahak-bahak saat melihat Zuhayr yang terpinga-pinga sambil menggosok dahinya yang kesakitan.
Najuwa menepuk bahu Syakirah agar berhenti ketawa. Kalau Zuhayr tahu dia punya angkara, matilah. Matanya mengerling Zuhayr yang masih mamai. Kemudian, dia tersenyum.
Lebih baik sakit di dahi daripada mendapat malu kena denda dengan Cikgu Masrip, kan? Najuwa melepaskan tawanya dalam hati.
YOU ARE READING
LAMARAN CINTA TUAN ZUHAYR
RomanceTERBAHARU DARIPADA FATIAH ZOHAR. TERBITAN JULAI 2019. Tajuk: LAMARAN CINTA TUAN ZUHAYR Penulis: FATIAH ZOHAR Harga: RM25 / RM28 ISBN: 978-967-2116-65-3 Tiada lain yang lebih kumahu, hanya kamu menjadi isteriku... POS PERCUMA. 🍀Untuk melanggan http...