ADEL mengetuk kuat meja majikannya. Ops! Bekas majikan.
Panas hati betul. Kali ini masuk kali ketiga dia dibuang kerja. Semuanya gara-gara berkasar dengan pelanggan. Salah ke apa yang dia buat?
Dia cuma membetulkan tanggapan mereka saja. Tahulah penampilannya tak serupa perempuan, tapi haih! Aku ni perempuan okey! Asli dan tulen lagi.
"Opocot mak kau!" latah mamat sotong di hadapan Adel.
"You nak apa lagi ni? I dah buang you tahu? I tak perlukan pekerja biadab macam you. Sana, sana. Syuhhh! Syuhhh!" halau mamat sotong itu.
Adel menahan senyum apabila mendengar suara kepit Sally. Elok-elok mak ayah bagi nama Salleh, tukar jadi Sally. Haih! Dunia, dunia. Macam-macam hal.
"Kau ingat aku ni anak ayam ke nak halau-halau macam tu?" bentak Adel geram.
Kecil besar, kecil besar saja dia lihat Sally.
"Urusan kita dah selesai. You pergilah balik," halau Sally dengan suara kepitnya.
"Aku nak gaji aku. Selama mana aku bekerja. Kalau tidak, aku repot ke pejabat buruh. Kata kau dera aku. Kerah tenaga aku selama 12 jam dan diberhentikan mendadak tanpa sebab yang kukuh."
Sally mencebik.
Adel menahan marah. Okey, cara ugutan tak jalan. Aku guna cara yang lebih ganas. Agak-agak kalau aku tumbuk muka dia yang mekap 10 inci tebal tu, apa jadi? Kutlah dia boleh jadi sado pula lepas terima tumbukan padu aku.
Adel menyeringai. Pantas dia mendekatkan diri ke meja Sally.
Meremang bulu roma Sally melihat senyuman yang terukir di bibir Adel. Liur yang ditelan terasa berpasir saja.
"You... you nak bu... buat apa ni?" soal Sally terketar-ketar.
"Kalau aku tumbuk kau, apa jadi eh? Aku teringin sangat nak tumbuk muka kau yang 'lawa' tu," ujar Adel bersama senyuman penuh makna.
"Hei! You ja... jangan berani sentuh muka I."
Adel tergelak melihat wajah Sally yang pucat tidak berdarah.
"Okey, kalau kau tak mahu muka kau lebam-lebam, serahkan duit gaji aku. Kalau kurang walau satu sen pun, aku akan tuntut," ugut Adel lagi.
Seronok benar Adel lihat wajah Sally ketika ini. Pucat yang teramat sangat. Andai ditoreh pisau pasti setitik darah pun tidak mengalir keluar. Dia tersenyum geli hati.
"Nah! Kiralah sendiri," ujar Sally.
Adel menarik sampul yang dipegang oleh Sally. Kemudian, dia merengus geram melihat Sally yang seakan-akan tidak mahu melepaskan sampul berwarna coklat itu.
Melihatkan renungan tajam Adel, akhirnya Sally akur. Walaupun berat hati, dia lepaskan juga sampul tersebut.
Adel tersenyum melihat sejumlah wang yang berada di dalam sampul tersebut. Setelah berpuas hati, dia menapak keluar dari pejabat itu. Namun, dia berpatah kembali untuk memberikan beberapa 'pesanan' kepada Sally.
"You nak apa lagi?" tanya Sally sambil menutup wajahnya.
Takut kena penumbuk.
Adel mencebik bibir sambil mata dijulingkan ke atas.
"Aku nak pesan dekat kau. Lain kali jangan tuduh sembarangan. Aku kurang ajar dengan pelanggan tadi sebab dia pandang hina kepada aku. Dia kata aku ni tak ubah macam jantan. Itu aku boleh terima lagi. Tapi, bila dia kata aku ni kurang didikan agama, aku panas hati.
"Lagi satu, aku nak ucapkan terima kasih. Kau dah bagi aku peluang kerja dekat sini. Aku bersyukur. Walaupun sebulan je kerja, tapi aku seronok. Dahlah, benda dah jadi. Aku pun dah kena buang kerja. Okeylah, Aku cau dulu. Assalamualaikum."