ADAM mencari-cari telefon bimbitnya di bawah timbunan fail di atas meja. Sudah beberapa kali dia mendengar telefonnya berdering. Hatinya berdetak dengan rasa tidak enak.
Selepas beberapa minit mencari, barulah dia menjumpainya. Adam mengerut dahi tatkala melihat beberapa panggilan daripada ibunya. Tanpa membuang masa, Adam terus menekan nombor ibunya.
"Assalamualaikum. Ha, kamu ke mana Adam? Naik lenguh jari mak tekan nombor telefon kamu. Tapi, satu panggilan pun kamu tak angkat. Kamu ni memang sengaja nak naikkan darah mak ya? Isy! Geram betullah," omel Puan Halijah seraya mendengus kasar.
"Waalaikumussalam. Maaflah mak. Adam sibuk sikit hari ni. Banyak sangat kerja nak buat. Err... kenapa mak telefon? Anak-anak kesayangan Adam sakit ke?" tanya Adam cemas.
"Tak adalah Adam. Mereka baik-baik aje. Tengoklah siapa yang jaga," seloroh Puan Halijah lantas ketawa di hujung katanya.
Adam memutarkan bebola matanya ke atas.
"Mak ni riak pula," perli Adam selamba.
"Eh! Kenyataan tahu... Ni, sebenarnya mak ada perkara penting nak cakap..."
"Pasal apa?"
Pantas Adam mencaras kata-kata ibunya.
"Eh, kamu ni banyak sangat telan semut. Dah lupa ke? Bukan mak ada beritahu kamu yang mak nak ke Mekah?"
Puan Halijah mengingatkan anaknya yang mungkin telah lupa akan niat sucinya itu.
"Allah! Adam lupalah mak. Err... Bila mak nak ke Mekah?" tanya Adam lemah.
"Lagi dua minggu. Kamu kenalah cari orang untuk jaga anak-anak kamu ni. Bukannya sekejap mak di Mekah tu," tutur Puan Halijah dengan lembut.
"Adam lupa betul mak. Masya-Allah, siapa nak jaga anak-anak Adam bila mak kat sana nanti?"
Adam menyoal perlahan. Hatinya resah memikirkan anak-anaknya.
"Kamu carilah pembantu rumah ke, pengasuh ke. Yang penting, orang yang penyayang. Tak adalah nanti dideranya cucu-cucu mak tu nanti," usul Puan Halijah.
"Insya-Allah, mak. Err... jadi, mak nak buat kenduri doa selamat bila?" tanya Adam lagi.
"Seminggu sebelum mak pergilah," tutur Puan Halijah dengan lembut.
"Okey," jawab Adam sepatah.
Suaranya kedengaran lemah saja.
"Kamu kena lekas-lekas cari orang untuk jagakan anak-anak kamu ni Adam. Okeylah, mak letak dulu. Airin ni merengek nak makan bubur ayam. Assalamualaikum."
Adam memutuskan talian setelah menjawab salam. Dia memicit pelipisnya. Kepalanya berserabut memikirkan siapa yang akan menjaga anak-anaknya pada saat ibunya mengerjakan ibadah haji.
Adam berjalan menuju ke mejanya. Interkom ditekan, lalu dia memanggil Hanan masuk ke bilik.
"Masuk," arah Adam dari dalam apabila Hanan mengetuk pintu pejabatnya.
"Ada apa bos?" soal Hanan sambil membuka buku mini yang dijadikan buku nota untuk mencatit segala pesanan majikannya.
"Tolong telefon mana-mana agensi untuk dapatkan pembantu rumah. Kalau boleh, secepat yang mungkin," ujar Adam tanpa perasaan.
"Err... bos perlukan pembantu rumah? Mak Jah nak ke mana bos?" tanya Hanan sedikit teragak-agak.
"Mak saya akan menunaikan haji. Awak boleh keluar sekarang," arah Adam sambil memejamkan matanya.
Hanan jongket bahu. Dia terus berlalu meninggalkan bilik pejabat majikannya.
ADAM mengeluh berat. Terasa tidak tegar hatinya untuk meninggalkan anak-anaknya di saat dia sedang bekerja. Namun, dia tidak mempunyai pilihan lain. Lagi pula ini semua demi kebaikan anak-anaknya juga.