BAB 7

4.4K 47 0
                                    

ADAM tersenyum melihat anak-anaknya yang sedang terbaring di atas rumput.

Sudah menjadi kebiasaan mereka anak-beranak untuk meluangkan masa dengan beriadah setiap hujung minggu. Taman Tasik Titiwangsa akan menjadi pilihan mereka. Sambil berjoging, bolehlah juga mereka menikmati keindahan ciptaan Tuhan.

"Hai, anak-anak papa dah pancit ke? Baru tiga round ni," ujar Adam sambil ketawa.

Dia mengesat peluh yang menitis di dahi anak-anaknya.

"Penatlah papa," rengek Airisya, Adib dan Airin hampir serentak.

Adam hanya tersenyum mendengar rengekan anak-anak kesayangannya itu.

"Nak makan aiskrim tak?" soal Adam.

"Nak!"

Adam tergelak kecil mendengar nada teruja anak-anaknya.

"Sayang-sayang papa duduk diam-diam kat sini ya. Jangan pergi mana-mana. Tunggu sampai papa datang okey? Papa pergi beli aiskrim kejap aje. Kakak, abang jaga adik okey?"

Serentak Airisya dan Adib mengangguk tanda faham. Siap angkat tangan seolah-olah berikrar.

Adam tersenyum manis. Dia mengucup dahi putera dan puterinya sebelum berlalu pergi.

Adam mahu menjadi bapa yang penyayang untuk anak-anaknya. Sedikit pun dia tidak mahu anak-anaknya dilukai. Seboleh mungkin dia akan membahagiakan mereka. Biar sesibuk mana sekalipun, dia akan mencari masa untuk diluangkan bersama-sama mereka.

Yalah, kepada siapa lagi anak-anaknya mahu bermanja jika bukan dengannya?

Nak harapkan ibu mereka? Kirim salam sajalah!

Semenjak bercerai enam tahun yang lalu, Ika tidak pernah mengambil tahu perihal Airisya, Adib dan Airin. Andai Ika bertanya sekalipun, itu kerana didesak oleh Puan Sri Kirana.

Hendak bertanya sendiri, memang taklah!

Gamaknya, bila dunia nak kiamat barulah Ika akan mengambil berat akan anak-anak yang ditinggalkannya itu.

Tapi, bagus juga begitu. Tidaklah mereka berebutkan hak penjagaan anak-anak. Cuma, yang memeningkan kepalanya sekarang, bekas ibu mentuanya saja.

Entahlah... Bekas mentuanya itu nekad mahu Adam menyerahkan salah seorang anaknya kepada wanita itu. Namun, dia tidak akan sekali-kali menurut.

Airisya, Adib dan Airin adalah darah dagingnya. Jadi, tidak semudah itu dia akan menyerahkan hak penjagaan kepada wanita itu!


SETELAH seharian mencari kerja, Adel memandu tanpa arah tuju. Serabut memikirkan soal kerja, dia mengambil keputusan untuk menenangkan fikiran yang kusut.

Pemain mp3 yang sentiasa dibawanya ke mana-mana diambil. Pantas dia memutarkan lagu kegemarannya. Volume sengaja dikuatkan.

Beginilah cara Adel untuk melepaskan tekanan. Ya, hanya dengan mendengar muzik. Hatinya akan sedikit tenang.

Sedang asyik mendengar mp3nya, dia mengalih pandang saat mendengar suara kanak-kanak yang sedang rancak berbual itu. Dia mengecilkan mata untuk mengecam wajah kanak-kanak yang sedang berbaring di atas rumput itu.

Spontan bibirnya tersenyum. Pantas Adel mengatur langkah menghampiri kanak-kanak tersebut.

"Assalamualaikum, adik-adik comel," sapa Adel sambil tersenyum manis.

"Waalaikumussalam. Eh, Kak Adel!"

Serentak Airisya dan Airin menarik tangan Adel. Adel ketawa kecil melihat tingkah manja dua kanak-kanak kecil itu.

JODOHKU BABYSITTERWhere stories live. Discover now