"NEKAD dah?"
Aku mengangguk dalam keadaan menunduk.
Mungkin sekarang ini aku terlalu emosional tetapi aku
memang nekad. Sabarku tidak setinggi gunung. Cekalku
tidak seteguh tembok batu. Aku mengaku kalah dan aku
memilih untuk tarik diri.
"Sayang, Wardah."
Tisu yang sudah lunyai dengan air mata aku campak
ke dalam tong sampah di sisi meja.
"Saya bukan nak resign, saya nak minta tukar
department aje," luahku dengan suara yang serak.
"Nak tukar, perlu ada alasan kukuh."
Aku pandang wajah Puan Zulaikha yang relaks di
hadapanku. Bengkak-bengkak mata aku menangis, tidak
kukuh lagikah alasan untuk aku tukar department? Hari
pertama aku datang ke syarikat ini, dia cakap ada apa-apa
masalah, boleh datang jumpa dia. Tapi sekarang bila dah
jumpa, tak nak tolong pula.
"Saya memang tak tahan dah kerja kat situ. Saya tak
boleh nak pikul tanggungjawab tu. Saya tak minat dan saya
tak ada kebolehan untuk pegang jawatan tu." Aku cuba tagih
simpati.
"Macam nilah... kamu cuba dulu kerja di situ sampai
enam bulan."
Aku rasa mahu rebah terus. Enam hari pun sengsara,
inikan pula enam bulan.
Puan Zulaikha senyum memandangku. "Kami di HR
ini percaya, enam bulan pertama adalah tempoh penyesuaian
diri untuk apa-apa keadaan baru. Selepas enam bulan, kalau
masih tak mampu nak adapt, maknanya memang tak sesuai.
Masa tu saya janji, kalau Wardah datang jumpa saya dan
minta tukar, saya akan uruskan pertukaran."
"NAK menang di tangan lelaki, kena faham dulu lelaki tu
macam mana. Ingat ayat along ni sampai bila-bila."
Masa ini aku tewas di tangan along ketika bermain
galah panjang. Kecewa tahap giga. Main empat kali,
empat-empat kali aku kalah. Dengan muka tak puas hati dan
mencebik bibir, aku tunjuk protes tak nak keluar dari padang.
Along datang dekat, usap kepalaku dan sebut ayat ini, yang
sampai sekarang aku tak faham apa maksud sebenarnya.
"Helo, along! Assalamualaikum." Badan
kuhempaskan ke atas tilam. Terbayang wajah along di siling
yang berwarna putih. Satu-satunya abang yang aku ada dan
aku sayangi sepenuh hati.
"Waalaikummussalam. Princess along ni sihat?"
Bibir spontan melirik senyum. Princess... Along dan
perkataan manis bergula memang tidak dapat dipisahkan.
"Princess konon. Kak long tu nak letak mana?"
dugaku.
"Kak long tu queen of my heart. Kenapa telefon
along ni? Nak tanya apa?"
Aku garu kepala yang memang gatal. "Tahu aje orang
nak tanya dia soalan..."
"Dah kau tu adik along, along tahulah. So,
soalannya?"
"Along ingat lagi tak ayat keramat along pasal lelaki
dulu tu?"
Senyap di hujung talian. Aku pandang skrin, jelas
panggilan masih bersambung. Takkan tertidur kut?
"Along?" seruku perlahan.
"Ayat keramat along pasal lelaki ada satu je."
Aku tarik nafas dalam-dalam. Along jarang bernada
serius sebegini.
"Apa sebenarnya yang kita kena ambil tahu pasal
lelaki untuk kita faham dia?" Patah demi patah aku sebut bagi
jelas.
Lama along gelak di hujung sana. Bila aku berdeham,
baru dia berhenti.
"Sebelum tu along nak tanya dulu. Kau nak
mengurat siapa ni?"
Rasa seperti ingin tercekik dibuatnya.
Mengurat? Haih... never!
"Tak manis orang perempuan mengurat lelaki.
Nampak desp..."
"Along!" Laju aku cantas kata-katanya. "There's no
such thing like mengurat okey!"
"Then?"
Keluhanku terlepas jua. "Nanti sampai masa orang
cerita. Now just help me, please? Please... please... please..."
Terdengar keluhan along pula yang panjang.
"Nak menang di tangan lelaki, kena faham dulu lelaki
tu macam mana. Maksud along, kena faham cara pemikiran
lelaki tu macam mana... faham prinsip dan pegangan dia."
Daripada baring terlentang, aku mengiring ke
sebelah kanan. "Kena tahu fikiran dan prinsip? Macam susah
je!"
"Dalam pesanan keramat along tu, along tak cakap
pun senang..."
YOU ARE READING
Mimpi Yang Sempurna - Aiza Qriselda (AQ)
RomanceTAJUK: MIMPI YANG SEMPURNA PENULIS: AIZA QRISELDA (AQ) ISBN N0: 978-967-0907-40-6 BLURB: Dia bukan putera raja impian. Juga bukan jenis Prince Charming idaman semua. Malah, bukan calon untuk dijadikan suami. Pendek kata, dia bukan pilihan akal. Tapi...