TERBELIAK mataku melihat koleksi wallpaper
di dalam komputer di depanku. Semuanya gambar artis
wanita Hollywood berpakaian tidak cukup kain dan sedang
posing maut. Gila gatal dia ni. Macam dah tak ada gambar
lain yang lagi bersih dalam dunia ini. Aci tak kalau aku padam
semua wallpaper yang ada ini dan gantikan dengan beberapa
wallpaper lain yang lebih sopan dan santun?
"Kamu buat apa tu?" Aku disergah secara tiba-tiba.
Mujur dia muncul dari arah tepi. Kalau dari
belakang, confirm dia tahu yang aku tengah skodeng folder
pictures dalam komputer dia ini.
"Err... Tak ada apa-apa. Saya tengah cek fail database
yang bos suruh nilah..."
"Habis tu, muka macam nampak hantu kenapa?"
Memang aku tengah nampak hantu pun sekarang
ni. Tapi kalau aku terus-terang, kau yang akan bertukar jadi
hantu kejap lagi.
"You want to say something, don't you?" desaknya
seketika kemudian.
"Tak ada." Sekali lagi aku menafikan.
"Dah siap belum tu?"
Aku geleng.
"Lambatlah kamu ni! Dahlah tadi saya panggil pukul
2 petang, pukul 2.10 baru kamu terhegeh-hegeh datang!"
Aku tarik senyum. Sabar, Wardah... Sabar!
"Yang sengih tu kenapa? I'm not making a
compliment."
"Saya tahu." Aku pura-pura cool.
"Yang saya lambat 10 minit tu, sebab saya pergi solat
dulu tadi. Nanti dah sibuk buat kerja, langsung terleka."
Sebijik aku bagi.
"Hmm, sambung kerja kamu. Saya bagi masa lagi 10
minit aje."
Aku akur dengan arahannya dan cuba menyiapkan
kerja sepantas yang boleh.
"Kamu tengok ni. Cantik tak?" soalnya tiba-tiba
sambil menunjukkan gambar seorang perempuan di dalam
telefon bimbitnya.
Tanya aku soalan yang tiada pilihan jawapan. Kalau
aku cakap tak cantik, mesti dia mengamuk puting beliung
satu negeri Selangor.
"Cantik, bos."
Jawapan yang tak berapa nak jujur. Perempuan dalam
gambar yang dikatakan sebagai kekasihnya itu bukannya
tidak cantik. Cantik... Cuma... tidak bertudung, rambut pula
berwarna blonde dan sangat seksi.
"Pandai tak saya pilih?"
"Pandai." Aku semakin tidak selesa apabila perlu
terus berbohong.
"Biar saya kenalkan dia dengan kamu."
Tanpa menunggu respons daripadaku, Encik Haiman
'menyeru' buah hatinya muncul di skrin.
"Liana, this is Wardah. Wardah, this is Liana."
Aku pandang Liana yang sedang live di skrin.
Memang cantik wajahnya, sekali imbas ada iras-iras Marsha,
bekas peserta AF tahun lepas.
"Hai, Wardah!" Dengan ramah Liana menyapaku.
Bila dia senyum, memang boleh luruh jantung yang melihat.
"Hye, Liana. Nice to meet you," balasku sekadar
berbahasa.
Selepas itu, aku kembali fokus pada komputer dan
menyambung kerja. Selesai semuanya, aku bangun. "Bos,
saya nak minta cuti dua hari?"
"Nak buat apa?"
"Konvokesyen."
"Bila?"
"Minggu depan." Aku pandang mukanya dengan
penuh harapan.
"Tak payah pergilah. Lainlah kalau kamu dapat first
class, tu lain cerita." Selamba dia mempersenda.
"Memang saya dapat first class pun, bos."
Aku tahan senyum melihat raut wajahnya yang
sedikit berubah.
"Berapa pointer? Setakat cukup makan baik tak
payah."
"3.96."
"Pergi dengan pakwe?"
"Famili."
"Famili ke pakwe? Budak zaman sekarang gatal-gatal.
Silap-silap kamu pun sama."
Aku istighfar dalam hati. Nak pelangkung tak boleh
sebab bos sendiri.
"Boleh ke tak saya cuti ni, bos?" ulangku lagi.
"Minggu depan, kan? Lambat lagi..." Dia jeda sejenak.
"Minggu depan kamu tanya balik pasal ni. Kalau
mood saya baik masa tu, kamu boleh cuti," sambungnya
kemudian.
Aku angguk.
Pasti. Balik rumah nanti, mulai hari ini, tiap-tiap
malam aku buat solat sunat hajat biar mental dia okey pada
minggu depan. Sia-sia belajar sepenuh akal, dapat result
bagus tapi tidak dapat pergi konvokesyen gara-gara mood
orang lain yang tidak elok. Cukup tidak adil.
MEEN separuh terlopong usai aku bercerita.
"Betul ke ni awak? Takkan macam tu sekali
teruknya?"
"Dia memang sewellah... Mood dia tu swing
semedang."
Saat ini, aku dan Meen sedang berehat seketika
setelah hampir sejam berjoging mengelilingi Tasik Titiwangsa.
Meen atau nama penuhnya Yasmeen Mustazah binti Amin,
kukenali ketika hari pertama masuk bekerja di syarikat. Kami
terlanggar di kafe sewaktu makan tengah hari, berkenalan,
berkawan dan semakin hari menjadi semakin rapat.
"Apa yang awak nak buat lepas ni?"
Aku pandang tepat wajah Meen. Riaknya kala ini
memang jelas menunjukkan rasa ingin tahu.
"Sweet revenge. Revenge to him, sweet for me."
Terlayar di mataku seraut wajah yang serius dan ketat tanpa
sebarang senyuman. Kau tunggulah!
Meen geleng kepala. "Nak balas dendam?"
"Bukan balas dendam, cuma nak bagi dia sedar
sikit." Aku sengih.
"Samalah tu."
"Balas dendam tu kejam sangat bunyinya, macam
pembunuh aje... and I don't intend to become one!"
Penutup botol air mineral aku pulas dan air aku
teguk sehingga puas.
"So, sekarang ni misi balas dendam awak sampai
mana dah?"
"Baru nak panas enjin. Nak join?"
"No, thanks. Kita belum nak jadi sewel lagi." Meen
memerliku dalam gelak.
Rasa nak kecil hati dengan kata-katanya tapi lepas
tu, aku sendiri pun tak dapat tahan gelak. Famous betul
perkataan 'sewel' tu dalam hidup aku sekarang ni...
"Susah tak membalas dendam ni?" soal Meen usai
ketawa.
Aku teguk air untuk kali kedua.
"Telinga ni kena tebal, Cik Yasmeen Mumtazah.
Faham-faham ajelah si sewel tu, tak maki orang sehari tak
sah. Ada aje benda yang nak diamuknya."
"Tapi kita rasa, depan dia awak senyum, kan?" Meen
dah jongket kening.
"Depan senyumlah! Bila dia marah dan menengking
tu, cepat-cepat kita ingatkan otak kita ni pasal misi membalas
dendam, kita istighfar banyak-banyak. Kalau tak macam tu,
ada jugak yang kita banjir depan dia. Rahang kita ni, puas
kita sekolahkan supaya sentiasa tarik senyum bila berdepan
dengan pak cik tu. Mulut kita yang mak uda cakap comel ni,
kita selalu ingatkan supaya berdisplin bila berdepan dengan
lelaki yang bernama Mohd. Haiman Hussein a.k.a si sewel.
Depan, mesti perfect like an angel. Belakang dia, lantak
kaulah nak mengata apa-apa pun." Panjang lebar aku meluah
perasaan, namun hanya mengundang ketawa Meen.
"Kelakarlah awak ni..." ujarnya.
"Awak tak kena, bolehlah rasa kelakar. Kita ni yang
sengsara."
"Kalau sengsara, just stop and leave. Buat apa nak
seksa diri kalau tak tahan?"
Aku bangun meregangkan otot-otot badan yang
keletihan. Berniat untuk joging lagi satu pusingan sebelum
balik.
"I will never quit. Kita takkan tarik diri selagi misi
membalas dendam ni tak tercapai. Dia silap bila jatuhkan air
muka kita depan orang, Meen. I won't take it and I will make
sure that in the end, I win! Kita akan pastikan... bila sampai
masanya, dia tak nak lepaskan kita sebagai assistant dia."
FAIL yang terjatuh di celah pintu yang terbuka memaksa aku
untuk sedikit menunduk sebelum boleh mencapainya. Namun
nasib tidak menyebelahiku kerana fail yang berwarna kuning
itu sudah terperosok jauh ke bawah kereta. Terpaksalah aku
turun dahulu dan meniarap untuk mengambilnya.
Kembali berdiri, aku tepuk dengan tangan bahagian
permukaan fail yang diseliputi tanah. Dah bersih, fail itu aku
selit di sisi tangan kiri dan mataku tertancap pada...
"Makkk...!!!"
Dari bahagian bawah lutut ke paras pinggang, baju
kurung yang aku pakai telah dipenuhi dengan sejenis rumput
lalang berbentuk bulat kecil berwarna hijau. Bukan satu
tetapi sangat banyak, malah sama banyak dengan corak daun
hijau di bajuku. Bila aku cuba tarik salah satu bebola rumput
yang melekat, tidak mudah ia tertanggal kerana duri-duri
pada bebola tersebut mencengkam kuat permukaan kain.
"Apa hal menjerit ni?" Encik Haiman yang baru
keluar dari kereta menyoal.
"Ni haa..." Aku tunjuk baju sendiri.
Dia pandang aku sekilas. "Tu balasan sebab
mengumpat bos sendiri dalam kereta," tuturnya selamba.
Tangan kanan yang tidak memegang fail aku kepal
menahan geram. Suka hati aje cakap itu balasan untuk
aku walhal aku terkena bebola berduri ini sebab dia yang
tak pandai parking sampaikan bahagian kereta sebelah
penumpang masuk ke kawasan lalang.
Menghembus nafas panjang, sambil menyabarkan
diri, aku bawa tubuhku jauh sedikit dari kereta dan mula
mencabut satu demi satu bebola rumput yang melekat
pada baju. Aku kerling jam tangan, sudah mencecah pukul
9.55 pagi. Mesyuarat pukul 10 pagi tepat. Aku panggung
kepala, pandang Encik Haiman yang sedang berdiri sambil
memegang beg bimbit. Raut mukanya serius tanpa sebarang
riak.
"Pergi dululah, bos. Kejap lagi saya datang," usulku.
Aku tak naklah dia terlambat masuk mesyuarat disebabkan
aku.
"Tak apa. Kamu cabut aje bagi habis, saya tunggu."
Tanganku yang mahu menyambung membersihkan
baju terhenti. Aku jadi pelik. Ini kes memang tak suka masuk
meeting ataupun dia sebenarnya memang jenis yang ambil
berat? Aku pandang muka dia, cari kepastian.
"Kamu ingat dengan pandang muka saya ni, baju
kamu tu boleh bersih?" Sinis si sewel 'sound' aku.
Malas hendak bertekak, aku sambung aktiviti
mencabut bebola hijau berduri. Mujur aku berbaju kurung,
mudah untuk aku mencapai bahagian belakang baju.
Gigih mencabut, beberapa minit kemudian, baju aku
kembali bersih.
"Jom, bos." Aku bagi isyarat 'dah settle' sambil mula
melangkah.
Tanpa membalas kata-kataku, tubuh tegap itu
berjalan dengan penuh gaya. Dalam beberapa saat, kami
sudah jalan bersaingan sehinggalah tiba di sebuah jambatan
kecil yang berhubung terus ke kawasan bangunan pejabat
klien.
"Kenapa, bos?" soalku bila dia berhenti secara
tiba-tiba.
"Tu, ada lagi," jawabnya sambil menghalakan
pandangan pada paras bawah badanku.
Aku tunduk. Ada sebiji yang masih melekat. Terus
aku cabut.
"Tu..."
Kali ini Encik Haiman tuding pada paras pinggang
bahagian tepi kiri.
Aku tengok tempat yang dimaksudkan. Ada dua biji.
Adeh, macam mana boleh tak perasan ni? Dengan muka tebal,
aku mencabut kedua-dua bebola rumput tersebut.
"Okey, dah tak ada dah..." Kemudian dia kembali
berjalan.
Tapi matanya aku perasan masih menghala pada
baju kurung yang aku pakai, seperti memastikan tiada lagi
bebola hijau yang tertinggal.
Terdetik dalam hatiku, prihatin juga si sewel ni
dalam sewel-sewel dia tu...
YOU ARE READING
Mimpi Yang Sempurna - Aiza Qriselda (AQ)
RomanceTAJUK: MIMPI YANG SEMPURNA PENULIS: AIZA QRISELDA (AQ) ISBN N0: 978-967-0907-40-6 BLURB: Dia bukan putera raja impian. Juga bukan jenis Prince Charming idaman semua. Malah, bukan calon untuk dijadikan suami. Pendek kata, dia bukan pilihan akal. Tapi...