MALAM raya. Bunyi mercun di kampung abah ini
sabung-menyabung antara beberapa rumah. Aku mengambil
kesempatan untuk melepak di pangkin luar bersama mak uda,
umi, alang dan adik bongsuku. Abah tengah melayan cerita P.
Ramlee di TV dengan pak uda. Acik pula pergi menenggek
di dapur menemani opah membakar kuih sepit. Nama sahaja
lelaki tapi suka bab memasak. Aku yang perempuan ini pula
kaki mengelat ke dapur.
"Manalah budak hantu dua orang tu..." Mak uda
separuh mengomel.
"Apa hantu pulak? Anak kamu tu, Emma..." tukas
umi dengan suara yang lembut.
"Macam mana saya tak panggil hantu, kak ngah?
Tengoklah, orang malam raya duduk di rumah, buat apa yang
patut ataupun berkumpul dengan keluarga. Ni budak dua
orang tu, lepas aje berbuka tadi, lesap entah ke mana."
"Tak ke mana perginya budak-budak tu, lebih-lebih
jumpa geng kat kampung ni aje. Tak payahlah kamu risau,
Qayyim dan Qaid tu dah besar, pandailah diaorang jaga diri."
"Qayyim tu saya tak risau, kak ngah. Yang saya
risaukan si Qaid tu. Nakal dia tu tak dapat nak dijangka."
Aku sengih dengan kata-kata mak uda. Teringat
beberapa peristiwa sejak aku duduk menumpang di rumahnya
di Taman Cempaka tu. Sememangnya Qaid nakal berganda
daripada Qayyim. Ada sahaja benda pelik yang selalu dia buat.
Jadi padaku, kebimbangan mak uda itu memang berasas.
"Yang kamu ni sengih sorang-sorang, kenapa Adah?"
Terperanjat aku bila tiba-tiba umi menyiku.
"Teringat si Adib ke?" Suara mak uda dah meleret.
Aku menyandarkan badan pada dinding pangkin.
"Adib apanya, mak uda. Ni sengih sebab terkenang
zaman kecil-kecil orang dulu yang asyik merayau tengok
orang main mercun masa malam raya. Konon berani
sangat nak main meriam buluh, sekali kena tempik dengan
tok penghulu, berterabur kami lari." Si Qaid tu menurun
perangai oranglah sekarang ni, sambungku dalam hati.
"Adah ni dah ada buah hati lain ke kat KL tu, Emma?
Senyap aje dia dengan Adib."
"Mana ada!" Cepat-cepat aku menafikan sebelum
sempat mak uda menjawab.
"Hmm... Adah ni mana ada buah hati. Buah kaki
adalah kat pejabat tu."
"Buah kaki?" Serentak umi, alang dan adik bongsuku
memberi reaksi.
"Buah kakilah, sebab selalu rasa macam nak sepak aje
orang tu, kan Adah?" Mak uda sengih sambil angkat-angkat
kening.
Aku pandang muka umi yang berubah serius. Tak
sporting betullah umi ni. Dengan mak uda dia suruh jadi
sporting dengan anak-anak, dengan anak sendiri tegas tahap
petala ketujuh.
"Siapa Adah?" Tegas suara umi menyoalku.
"Si sewellah, umi."
Seperti mak uda, umi juga tahu tentang Encik
Haiman a.k.a si sewel. Bezanya, umi tahu sikit-sikit, hanya
secara umum sedangkan mak uda, hari-hari aku bercerita
kepadanya apa yang terjadi di pejabat.
"Si sewel???" Alang merapatkan tubuhnya kepadaku.
Adik lelaki aku yang ini, memang rapat dengan aku sejak
sekolah rendah sampai sekarang.
"Macam menarik aje cerita ni, Kak Adah?"
"Banyaklah kau menarik! Seksa tahu tak kerja
dengan bos sewel tu."
"Jangan sewel-sewel, Kak Adah... nanti jadi laki."
"Mulut jaga eh! Teringin sangat nak dapat abang ipar
orang tua?"selaku geram.
Selalunya aku dengan alang ngam dalam banyak
perkara tetapi bab si sewel ini, aku memang tak boleh nak
ngam. Simpang malaikat aku nak kahwin dengan orang
macam tu. Terdera segala organ bila jadi bini dia. Dahlah
jarak umur 14 tahun.
"Selalunya yang kita tak nak itulah yang kita akan
dapat," sampuk umi pula.
"Janganlah cakap macam tu, umi. Sengsara kalau
betul. Adah bukannya penyabar mana. Ni pun, hari-hari dapat
dosa sebab asyik mengutuk dalam hati bila dia buat perangai."
Acik datang dengan membawa sepinggan kuih sepit
yang masih panas. Aroma harum kuih tradisional tersebut
menerjah ruang.
"Dah habis ke membakar? Opah mana?" Mak uda
bertanya sambil mengambil sekeping. Acik pula mengambil
tempat di sebelah kananku.
"Dah settle dah. Opah on the way ke sini."
Terasa gegaran di dalam saku seluar. Cepat-cepat
aku seluk dan keluarkan telefon bimbit tapi tak sempat nak
menjawab, deringan telah berhenti. Panggilan tak berjawab
daripada Adib. Dan tidak lama selepas itu, masuk satu
WhatsApp.
Hai sayang. Selamat hari raya! Miss
you.
"Siapa, Adah?" Umi menegur selepas aku mengeluh
kecil.
"Adib."
"Kamu ni sebenarnya macam mana dengan Adib?"
Aku jongket bahu.
"Entahlah, umi. Adah malas dah nak fikir. Kejap ada,
kejap hilang. Ikut hati Adah, putus aje terus, senang."
Adib, kawan along. Adib, tunang untukku, pilihan
along.
Telefon bimbitku berbunyi lagi. Kali ini WhatsApp
daripada Meen. Ucapan selamat hari raya dalam bentuk
pantun. Terus aku forward WhatsApp tersebut kepada
kenalan-kenalan yang aku terasa nak hantar. Memang jadi
amalanku, tunggu dapat WhatsApp yang menarik baru
copy-paste dan hantar. Malas hendak perah otak untuk cipta
ucapan raya sendiri.
Seminit kemudian, satu lagi WhatsApp masuk. Bulat
mataku bila tengok nama pengirimnya ialah si sewel. Terus
aku buka.
Kamu balik ofis bila?
Huaaargh, menyesal forward WhatsApp Meen tu kat
dia jugak! Gila perosak mood! Aku baru nak bersenang hati
sambut raya, tak nak fikir pasal kerja, tapi dah diterjah dengan
soalan bila nak mula kerja. Padahal dia yang sain borang cuti.
"Gila."
Terpacul perkataan tersebut daripada mulutku dan
dalam masa yang sama, tangan membalas WhatsApp.
"Apa kes tiba-tiba sebut perkataan gila ni?"
Aku ketap bibir pandang mak uda yang menantikan
jawapan. Agak-agak kalau aku terus-terang, aku kena sakat
tak? Mak uda ini bila kumpul ramai-ramai macam ni, aura
menyakat dia tu melambung tinggi.
"Apa kes ni, Adah?" Untuk kali kedua dia menyoalku.
Sekarang ini bukan dia sahaja tetapi semua orang
yang berada di pangkin ini, termasuk opah yang baru muncul,
sedang memandang ke arahku.
"Si sewel nilah... ada ke patut dia tanya bila balik ofis?
Borang cuti tu dia yang sain dan luluskan, lagi mau tanya."
Tawa mak uda pecah.
"Sayang betul si sewel tu dekat Adah ni, kak ngah.
Tak boleh pisah lama sikit. Lepas raya ni Adah dah duduk
menyewa dengan Meen, tak ada lagilah story telling pasal
orang sewel dalam rumah tu."
Sah! Aku sepatutnya tak cakap apa-apa pasal ni.
Lesson of the day... the first thing that came to mind is
always the best one, Wardah!
YOU ARE READING
Mimpi Yang Sempurna - Aiza Qriselda (AQ)
RomanceTAJUK: MIMPI YANG SEMPURNA PENULIS: AIZA QRISELDA (AQ) ISBN N0: 978-967-0907-40-6 BLURB: Dia bukan putera raja impian. Juga bukan jenis Prince Charming idaman semua. Malah, bukan calon untuk dijadikan suami. Pendek kata, dia bukan pilihan akal. Tapi...