One for sorrow
two for mirth
three for wedding
four for a birth
five for silversix for fitton
seven for a story never to be written.KEJORA
Mata aku jatuh mengamati tubuh sasa di atas singgahsana. Kuning emas persalinan diraja bergemerlapan indah. Tidaklah ketahuan akan rupa sang raja kerana kedok yang melindungi sebahagian wajahnya. Adapun terlihat hanyalah senyuman tajam yang bisa menambah getar di dada.
Gahnya si Raja Berma, empunya takhta. Sedangkan diri ini hanya jelata, tiadalah gelar di pangkal nama. Maka, ketahuilah aku berdamping dengannya hanya mimpi siang si Jenin. Masakan si pipit mampu terbang bersama enggang.
Dingin alun-alun istana menikam segenap tubuh. Selendang kuning ditiup bayu malam menghentam kulitku. Irama kendang memecah keheningan istana, debar di dada tiadalah kurang kuat nya .
Satu.
Tidak berantara aku membuka langkah tari. Selendang kualunkan gemalai bak lalang ditiup angin. Moleknya warna kuning selendang di bawah rembulan. Kuning itu lambang kekayaan. Ada pun kemilau emas juga warnanya kuning. Namun, apalah gunanya kaya emas dan permata andainya nanti berjumpa mati? Darah yang mengalir tetap sama merahnya, bukan?
Dua.
Pawana malam umpama mengikut lenggok tari, dinginnya bercampur hangat dari tubuh ini. Renunganku bertemu dengan sang raja, detak jantung semakin kencang. Mata kupejamkan seketika laksana mahu tenggelam dalam kegelapan malam. Lenggok tubuh ini diiringi ulah di hati.
Dalam persarungan penuh kerendahan, dalam kehidupan penuh kerakyatan, kepada dirinya kasih ini tertumpah. Sesal meruntun sukma. Masakan mampu- masakan mampu aku tundukkan sang raja. Umpama langit dan bumi yang tidak bisa bersatu.
Namun, dia mendekat.
Semakin dekat. Derapan telapak kakinya angkuh menghunus getaran di setiap jiwa yang memandang. Anehnya sang raja turun dari singgahsana hingga menjadi renungan penghuni istana. Hujung jemariku disentuh lembut, susuk tubuhnya berdiri di belakang aku. Aku dan sang raja. Menari bersama, kami bernafas angin yang sama. Hangat.
"Kelihatannya tuan puteri ini tiadalah pernah bermakhkotakan apa-apa." Bicaranya datar tetapi bagai irama menusuk ke telinga.
Nafas kulepaskan. Tajam. Bukan ini niat aku datang ke istana tapi aku terleka, leka dalam rasa yang membuai. Hanyut dalam mimpi tiada kesudahan. Irama Kendang. Gong. Gambang. Bunyinya larut di dalam dunia aku dan dia. Renungan penghuni istana tiadalah lagi menjadi endahan aku. Rasa dalam sukma bagaikan berbunga-bunga, umpama mimpi di awangan. Mimpi yang aku tidak mahu terjaga daripadanya.
Namun, adapun mimpi itu hanyalah mainan lena.
Wajah sang raja kupandang tepat.
Terpaksalah juga aku akhirnya berpijak di bumi nyata.
Tiga.
Tubuhnya aku tolak jatuh ke bumi. Bilah pisau yang tadi kusisipkan di pinggang, dihunus ke tengkuknya. Tubuhnya kaku. Air mukanya berubah. Seakan-akan kecewa mengenali aku yang sebenarnya.
Pemain-pemain irama tariku tadi membuka langkah bertempur. Menghalang sesiapa mendekati aku. Bilah pisauku masih kekal di tempatnya, mengancam nyawa si Raja Berma. Sang raja yang gah akhirnya rebah ke bumi.
"Apa lagi yang tuan hamba lakukan? Lekas!" Jeritan menyuruh aku lekas membunuh lelaki ini. Penghuni istana yang lainnya semakin mendekat.
"Jadi setelah apa yang kita lalui bersama, adakah ini balasan tuan hamba kepada beta?" Aku diam, tidak mahu membalas kata. Bilah semakin dekat di tengkuk sang raja. Raut wajahnya tegang.
Buk!
Giliran tubuhku pula jatuh ke bumi. Si Raja Berma berdiri angkuh. Mata bertentang mata. Tubuhku di tariknya kasar, melutut di hadapannya.
"Adapun setiap ungkap kata yang tuan hamba tuturkan itu tiada bermakna, adapun janji yang tuan hamba ikat itu dusta semata. Begitukah hakikatnya, Kejora?" Bicara dinginnya menusuk luka di dalam jiwa, mengundang hangat di tubir mata.
Bilah pisau kulepaskan.
"Pa- patik tiadalah pernah berdusta dalam berbicara." Si Raja Berma ketawa, tidak percaya lagi akan bait-bait yang aku tuturkan. Kelihatan beberapa orang berlari mendekati. Syamsir-syamsir bentara kiri dan kanan sang raja menghiris sedikit kulit tengkukku. Menanti titah untuk membunuh seorang penderhaka seperti aku.
Aku tahu. Aku tahu tulah yang menimpa seorang rakyat menderhaka akan rajanya. Dengan nafas yang berat dan dada yang berombak, senyuman manis kuukirkan untuk si Raja Berma. Tawa kecil kulepaskan. Luka yang pedih di tengkuk tidak kuendahkan.
Detik-detik pertemuan kami berlari-lari dalam benak fikiran. Darah. Perihal yang sama. Wajah kudongak melihat setiap lekuk wajahnya yang dikucup sinaran rembulan. Rasa yang sama.
Mengapalah jiwa ini tidak mahu mengikut tuannya?
Mengapa rasa ini hadir tanpa pernah aku pinta?
Pandangan kami bersatu. Sang perabu seperti bisu tidak mampu menyusun kata namun pandangnya jelas berbicara. Lekuk wajahnya mengundang debar di dada. Persalinan dirajanya bergemerlapan bagaikan mencabar sinar bintang di angkasa.
Persis sang purnama yang melemaskan cahaya bintang di langit sama.
Purnama.
Bukankah purnama itu sesuai dengan sifat sang raja?
Purnama yang setia menghias gelapnya malam,
purnama yang kesepian walaupun indah berpagarkan bintang,
purnama yang hendak dicapai namun tidak kesampaian,
Begitulah ia, si perabu purnama yang aku impikan jadi bintang kejoranya.
Namun hakikatnya mimpi hanya mimpi, bukan?
•❅──────✧❅✦❅✧──────❅•
Stars wink with enchanted dreams,
moonlight dance upon the tree,
don't let the music pass us by.Darling, won't you dance with me?
YOU ARE READING
Perabu Purnama
Historical Fiction[ Book 1 in Mávros series ] Perabu Purnama | King of The Moon •❅──────✧❅✦❅✧──────❅• "Ada pun mahligai berhiaslah kencana di bukit sana, adapun di dalamnya ribut yang menentang, dengan libasan pedang dan bala tenteranya, akan ditakluk sem...