SEBAIK sahaja pintu dikuak dan tubuhnya muncul di ruang tamu, mata Amar menangkap pada satu figura yang sedang berdiri melipat lengan di dadanya. Itu Elina, ibunya. Amar melepaskan satu keluhan panjang. Pasti ada sesuatu yang mengganggu fikiran mommynya itu.Amar berdiri mendekati Elina. Wanita itu menatap tajam bebola mata anak sulungnya itu. Ada riak tidak puas hati di balik pandangannya itu. Amar cukup pasti.
"Ada apa ni, mommy?" Amar terlebih dahulu menegur. Wajah garang ibunya ditenung.
"Am dari mana? Tengok jam pukul berapa ni?" Elina cekak pinggang pula.
"Mommy? Kenapa ni? Pukul 7.30 malam, kan?"
"Hmm... tahu pun. Dah Maghrib kan? Am pergi mana? Hari ni tak masuk pejabat daddy cakap. Tapi Am keluar dari pagi. Malam baru balik. Ada urusan apa? Ke mana perginya?" Bagai seorang pegawai polis, Elina bersoal jawab.
"Kan Am cuti seminggu, mommy. Takkan daddy lupa? Am pun perlu rehat juga, mommy. Qief kan dah masuk pejabat. So, apa masalahnya?" Amar tayang riak tidak puas hatinya.
"Qief tu banyak kena belajar dengan Am. Dia masih baru dalam selok-belok urusan syarikat. Am tak boleh lepas tangan macam tu je. Tak salah nak bercuti tapi itu tak bermakna Am takde ambil tahu langsung pasal perkembangam syarikat. Belum masa Am serahkan semua pada Qief. Qief belum banyak pengalaman macam Am." Elina mengutarakan pendapatnya berhasil membuat Amar sedikit risih.
"Am cuma ambil cuti seminggu ni untuk lupakan masalah pejabat. Am pun ada urusan personal yang hendak diselesaikan juga, mommy. Pasal tugas Am kat Syarikat tu, Am tahu tanggungjawab Am di mana. Mommy tak payah risau."
"Baik. Mommy faham. Cuma satu yang mommy tak faham sekarang ni, Am pergi mana setiap hari? Kalau tak pagi, petang sampai malam Am lesap. Am ada buat apa kat belakang mommy yang mommy tak tahu ke?" duga Elina.
"Mommy, please! Am dah besar. Am dah 29 tahun, mommy. Am bukan budak-budak lagi. Am takkan buat benda yang salah. Mommy jangan fikir yang bukan-bukan." Amar membela diri pula.
"Okey, dah besar kan? Mommy nak tanya ni. Lambakan sayur dalam but kereta mommy tu apa maksudnya? Pak Cik Ramli cakap, sayur tu kamu yang bagi. Dia cakap Am minta Pak Cik Ramli bagi pada jiran-jiran dia. Ada apa ni, Am? Mommy tak faham betullah! Sejak bila pula kamu ni taksub pada sayur? Biasa nak makan sayur punya memilih!"
Amar garu kepala. 'Halah! Pak Cik Ramli ni... kantoi la pulak!'
"Am cuma tolong kawan berniaga je mommy. Dia jual sayur. Jadi Am menyokong la usaha dia. Am beli sayur-sayur tu. Lepas tu Am sedekah pulak pada sesiapa yang perlu. Tu je. Apa salahnya, mommy. Kan bagus tu tolong orang, bersedekah."
Elina kerut mukanya. Makin bertambah tidak fahamnya tentang tingkah Amar sejak kebelakangan ini.
"Siapa kawan Am yang jual sayur? Setahu mommy, semua kawan Am kerja pejabat. Mana ada yang jual sayur?" Hampir bertaut kedua kening Elina.
"Mommy mana kenal semua kawan Am. Hal biasa je mommy."
"Sejak bila ni Am peduli tentang hidup orang lain? Sebelum ni mommy tengok, Am selesa dengan dunia Am sendiri. Tak bergaul dengan orang. Apa lagi nak terlibat dalam urusan remeh temeh macam ni. Hairan mommy! Amar Addin berurusan dengan sayur. Peliklah kamu ni, Am." bebel Elina lagi.
"Alah! Mommy tak payah nak hairan. Semua orang boleh berubah, mommy. Tak mustahil kan? Sepatutnya mommy gembira la bila Am berubah. Am pun nak jadi baik juga. Mommy suka bila Qief dah berubah, masuk pejabat semula. Tapi bila Am pun nak buat benda baik, kenapa mommy nak pelik?" Amar mula berdalih.
YOU ARE READING
SAYO-NARA [CETAK]
RomanceCover by : @MrsSufi Kerana sebuah tragedi, hidup seorang Addin seperti diganggu mimpi. Dia tidak tenteram saat mahu melelapkan mata. Sudahnya dia membuat keputusan untuk mencari kisah di balik tragedi hingga dia jatuh cinta pada tulusnya si gadis bu...