07

2.3K 221 32
                                    

JAD tolak pintu rumah. Salam diberi. Kelihatan sang ibu yang sedang duduk di ruang tamu. Wajah tua itu tunduk memandang telefon bimbit.

"Baru balik Long." Puan Khadijah menyapa.

"Ya, bu."

"Ni tiba-tiba balik ni kenapa?" Puan Khadijah menyoal. Anak sulungnya ini sekejap ada sekejap tiada. Tapi dia tidak kisah. Rumah ini rumah anak-anaknya juga. Mereka sudah besar, pandai menjaga diri.

"Macam tak bagi je along balik?" Jad hempaskan badan di atas sofa. Letih sungguh. Ini belum lagi dia membersihkan diri. Pasti matanya terus terlelap saat rebah di atas tilam.

Senyap. Puan Khadijah kebil kan mata. Lama dia menatap Facebook. Lebih banyak membaca status yang dikongsi oleh kenalan di muka buku. Begitu juga dengan isu-isu semasa.

"Ibu..."

Puan Khadijah menoleh saat namanya dipanggil. Itu pasti si bongsu. Dia punyai tiga orang anak. Si sulung Irfizzad, diikuti Iqbal dan terakhir Khayra.

"Eh, along!" Khayra menegur.

"Baru balik?" Terkejut juga Jad melihat adiknya yang berada di rumah ini.

"Dah dua hari dah..." soalan Jad dijawab dengan jari dinaikkan tanda peace.

Melihat mata si abang yang sudah terpejam, fokus Khayra beralih pada sang ibu.

"Ibu..."

"Hmmm, nak apa?"

"Nak makan nasi..." Suara Khayra meleret. Bahu ibunya dipeluk.

"Nak makan pun nak cakap dengan ibu ke? Pergilah ambil sendiri." Puan Khadijah gelengkan kepala. Khayra bukan budak kecil lagi. Sudah 21 tahun.

Khayra sengih. Saja mahu bermanja dengan ibu. Pulang dari universiti semasa cuti semesta buatkan hatinya melonjak gembira. Akhirnya, boleh juga dia jadi puteri di rumah.

"Ala, ibu ambilkan lah..."

"Dah... tak payah nak mengada-ada. Dah besar, pergi ambil sendiri." Puan Khadijah menjawab pantas.

"Tengok ni Cik Yam. Ibu mana sporting nak manjakan Khayra." Nama pembantu rumah, Maryam dipetik saat kelibat Cik Yam melintas di ruang tamu. Wajahnya sengaja dimasamkan.

"Nak Cik Yam ambilkan makanan?" Soal Cik Yam prihatin.

"Tak payah lah Cik Yam. Khayra saja je. Nanti Khayra ambil sendiri. Cik Yam pergilah rehat." Khayra sengih.

"Tak nak makan lah. Nak makan buah tembikai je." Tubuhnya condong ke hadapan. Mengambil potongan buah tembikai yang diletakkan di atas meja kayu.

"Tadi kata nak makan nasi. Ni kenapa makan buah je?" Puan Khadijah menjeling. Bukan tidak tahu Khayra hanya mengada-ada.

"Diet!" Mata dibawa pada siaran TV yang terpasang.

"Eh, abang mana?" sambung Khayra. Nampak Jad di depan mata tetapi tidak Iqbal, buatkan dia tertanya. Entah kenapa dia tak panggil Iqbal dengan panggilan angah seperti yang dilakukan keluarga yang lain. Yang dia tahu Irfizzad dipanggil along dan Iqbal pula dipanggil abang. Jarak umurnya dengan Iqbal agak jauh. Beza umur mereka tujuh tahun. Dan dia selalu dibuli Iqbal, mengatakan dia adalah anak angkat.

"Dekat dalam bilik dia lah tu." Ujar Puan Khadijah. Cawan yang berisi teh hijau dihirup perlahan. Dikerling lagi pada Khayra yang sedang menunduk, sibuk dengan telefon bimbit.

"Along, ibu nak tanya ni?"

"Tanya apa?"

"Rumah along tu tak nak sewakan ke? Daripada duduk main-main macam ni." Puan Khadijah lempar soalan tiba-tiba. Dia sedang mencari topik mahu berbual dengan anak sulungnya. Rumah sekarang ini sudah cukup besar untuk menampung mereka lima beranak, sekali dengan pembantu rumah. Kalau ada cucu pun, masih boleh tampung lagi. Boleh dikatakan lebih dari muat. Rasanya baru sekali dua sahaja dia berkunjung ke rumah Jad. Itu pun awal-awal dahulu.

Jad buang pandang. Soalan ibu tidak segera dijawab. Betul juga apa yang diperkatakan ibu. Tapi buat masa ini dia tiada keinginan untuk berbuat demikian. Dia masih belum terdesak.

"Tengoklah macam mana." Jad jawab malas. Dia masih lagi keluar masuk rumah itu.

Puan Khadijah diam. Sudah berbuih mulutnya menasihati. Dia sendiri tahu mereka punyai wang sendiri.

"Ada jumpa Nurina ke?"

Jad angkat kepala. Pelik kenapa ibu tanya pasal Nurina.

"Ada. Semalam."

"Dia bagi ibu hadiah dari Indonesia. Dia ada bagi Jad apa-apa?"

"Seriuslah kak Nurina belikan ibu baju?" Belum sempat Jad menjawab, Khayra datang menyampuk.

"Dia bagi oleh-oleh je."

"Habis tu, Khayra punya mana?"

"Eh, eh budak ni. Tak reti malu, ya?" Jad tegakkan tubuh. Dahinya berkerut dengan perangai Khayra. Mata ditekan, mengantuk.

"Biarlah. Mana aci. Tak apa. Nanti Khayra call Kak Nurina." Khayra buat muka lantas berpaling. Kaki dibawa menuju ke anak tangga.

"Jad rapat lagi dengan Nurina?" wajah Khadijah terarah pada Jad yang sudah membuka langkah. Anak lelakinya itu mahu beredar.

"Sama je. Kenapa ibu?" Pelik. Apa yang terjadi dengan Nurina?

"Baru berangan nak jadikan menantu. Ibu suka dia." Ujar Khadijah selamba. Mana tahu memang tekaannya mengena. Hati seorang ibu tidak boleh dibawa main.

Jad telan liur. Dia tidak pernah terfikir akan hal kahwinnya. Apatah lagi dengan wanita yang bernama Nurina. Bagaimana ibu boleh terfikir begitu?

"Tak nak ke?"

"Belum lagilah bu. Lain kalilah cerita." Jeda. Dia tak bersedia.

"Along masuk bilik dulu." Jad melangkah meninggalkan Khadijah seorang diri. Nafas lemah dilepaskan. Tidak mahu memikirkan kata-kata Khadijah.

Jad berhenti di depan pintu saat kocek seluarnya bergetar. Telefon bimbit dikeluarkan lalu tombol pintu dipulas.

Aku rasa aku dah tahu siapa yang hantar video tu.

Mesej daripada Razin dibaca.

Siapa?

Jari-jemarinya laju membalas.

Nanti esok, aku jumpa kau, aku beritahu.

Telefon bimbit digenggam. Memang dia minta tolong Razin akan hal yang satu itu. Dia serahkan pada Razin. Terpulang pada rakannya mahu berbuat bagaimana. Yang dia tahu, dia mahukan si pengirim. Pandangannya tajam menekur lantai.









Dia SebenarnyaWhere stories live. Discover now