Bab 2: Aku Bukan Mistress
Sudah hampir seminggu Mikail tidak berbual dengan Mya. Sengaja dia menyibukkan diri di pejabat dan selepas waktu pejabat dia menghabiskan masa di padang futsal bersama Adam. Bukan dia membenci Mya, cuma hatinya belum bersedia berhadapan dengan gadis itu. Bukan jijik, cuma hatinya masih marah dengan insiden itu apatah lagi apabila melihat Mya yang berlakon selamba seolah-olah tiada apa berlaku.
Kadangkala bila dia sampai ke apartment, Mya ada menonton televisyen di tingkat atas namun masing-masing mendiamkan diri walaupun berlaga pandang. Selama itu juga lah Mya tidur di bilik tengah, langsung tidak menjejakkan kaki ke bilik tidurnya. Mungkin Mya tahu dia ingin waktu bersendirian. Ah, macamlah dia yang dirogol!
Setelah menyisir rambut yang basah dengan jarinya, Mikail mencapai sebuah majalah kereta di atas katil dan dijinjing bersama menuju ke pintu. Dia bercadang menghabiskan masa di ruang rehat sambil menonton bola kerana pasukan kesukaannya Manchester United akan beraksi malam ini.
Namun langkahnya kaku di ruang rehat apabila terpandang sekujur tubuh terbaring di sofa kulit berbentuk L itu. Dia serba salah apabila Mya memandangnya sekilas. Entah kenapa dia berasa kekok dan asing.
“Awak nak tengok bola ke?” Mya bertanya sebelum matanya kembali memandang TV. Rancangan kegemarannya sedang ke udara ketika itu.
“Nevermind.” Mikail membalas. “Saya tengok kat bawah je.” Langkahnya dihala menuju ke tangga. Walaupun dia lebih selesa di ruang atas kerana TVnya bersaiz besar, entah kenapa hatinya beralah. Padahal boleh saja dia menghalau Mya dari situ kerana dia lebih berhak.
“Mika..” Panggilan Mya menghentikan langkahnya. Sungguh sudah lama dia tidak mendengar suara germersik itu menyebut namanya.
Mikail berpaling memandang Mya yang berseluar pendek kelabu dan t-shirt putih bergambar kartun di dada. Mya sudah pun duduk tegak di atas sofa. Wajahnya yang bengkak dan lebam sudah beransur pulih malah bibirnya juga sudah kemerahan seperti biasa.
“Saya rasa tak selesa sekarang.” Lambat tutur katanya menembusi telinga Mikail. Wajah mulus dan tenang dihadapannya ditatap penuh tanda tanya. “Awak langsung tak bercakap dengan saya sekarang. Kenapa?”
Mikail mengeluh perlahan. Patutkah dia memberitahu Mya bahawa hatinya sedang sakit kini?
“Nothing.” Ucap Mikail berselindung. “Saya busy sikit lately.”
Mya mengangguk perlahan. Riak wajahnya tenang tanpa perasaan. “Kalau busy pun, perlu ke kunci bilik tidur awak?”
Mikail tersentak. Maknanya selama ini Mya cuba masuk ke biliknya? Perasaanya mula resah.
“Kenapa? Awak boleh tidur dekat bilik tetamu kalau tahu saya kunci pintu. Saya tak nak diganggu.” Balasnya serius.
Mya merenung tepat ke matanya. “Saya bukan nak masuk bilik awak sebab suka-suka.Malam kelmarin ribut kuat sangat, saya takut.”
Mikail terdiam dan mengeluh perlahan. Bukan dia tidak tahu selama ini Mya terlalu fobia dengan ribut. Selama ini pun, jika ribut menghentam langit, Mya akan lari dalam dakapannya. Duduk berlindung di sebalik lengan dan dadanya. Rasa bersalah terbit dari hatinya secara tiba-tiba apabila mengenangkan ketakutan yang dihadapi oleh Mya malam itu.
“Sorry.” Mikail serba salah. Entah bagaimana dia mahu menerangkan kepada Mya tentang keresahannya atas apa yang berlaku.
Mya tersenyum tawar. “Tak apa. Tapi, boleh tak lepas ni awak jangan kunci pintu lagi?”
Mikail terpempan dengan soalan itu. Sungguh dia tidak tahu apa hendak dijawab. Jika dia membiarkan Mya tidur sekatil bersamanya, dia bimbang dia akan hanyut. Imannya bukanlah sekuat mana!
Selama ini pun, pantang Mya di sisi pasti imannya goyang dan dia akan tenggelam dalam gelora nafsunya. Aura Mya sangat kuat, diri gadis itu dipenuhi ciri-ciri yang melemahkan naluri lelakinya. Dia takut dia tidak boleh bertahan.
“Err..ok” Mikail cepat-cepat beredar ke tingkat bawah. Dadanya berdebar-debar tanpa sebab. Duduknya dilabuhkan di atas sofa kulit berwarna merah dan tangannya pantas menekan remote control TV, cuba menghilangkan resah dihati namun otaknya melayang entah ke mana.
Macam mana kalau dia kembali ‘bersama’ Mya? Dia tidak yakin dia mampu setelah membayangkan yang dia bukan satu-satunya lelaki yang..ah, sungguh hatinya sakit kini!
************
Lena Mikail terganggu apabila terasa ada sesuatu bergerak di sisinya. Terpisat-pisat dia membuka mata dan jantungnya berdebar tatkala melihat wajah Mya betul-betul dihadapannya. Harum semerbak rambut gadis itu membuatkan dia asyik dan khayal.
“Mya?” Hanya itu yang terkeluar dari mulutnya. Lagipun dia baru terjaga dari lena, otaknya bergerak lambat untuk berfikir.
“Ribut..Saya takut.” Bergetar suara Mya membuatkan Mikail simpati. Telinganya dapat menangkap jelas bunyi guruh berdentum dentam menghentam langit. Memang semenjak dua menjak ni cuaca agak buruk pada waktu malam. Sudah tiga malam berturut-turut hujan lebat menyimbah bumi menambahkan nikmat manusia untuk berlingkar di bawah selimut.
Tubuh Mya dirangkul dekat padanya. Jelas terasa tubuh Mya menggigil ketakutan. Entah kenapa Mya terlalu fobia dengan ribut, dia sendiri tidak pernah bertanya.
Bunyi dentuman yang semakin kuat disertai pancaran kilat membuatkan Mya mendakap Mikail penuh erat.
Mungkin dia rasa selamat dalam dakapan hangat itu. Terasa bagai dilindungi dari ganasnya guruh dan teriknya pancaran kilat.
Mikail membalas pelukan Mya dan dalam keadaan separuh sedar dan mengantuk yang masih bersisa, Mikail berkali-kali mencium ubun-ubun kepala Mya. Sama seperti saat dahulu. Malah keharuman rambut Mya membuatkan dia leka dan menciumnya berkali-kali.
Hatinya yang tadi tenang, mula berdebar dan hangat. Gelora dihatinya membuak-buak apatah lagi merasai tubuh hangat Mya yang berada dalam rangkulannya. Antara sedar dan tidak, Mikail sudah mencium pipi Mya namun dia tersentak tatkala Mya menolaknya lembut.
“Mika..Please.Not now.” Renungan redup Mya membuatkan Mikail tersedar. Hampir-hampir dia tewas tadi!Bodohnya dia!
Kulit pipinya terasa tebal dan kebas. Pantas Mikail berpusing dan menghadap tingkap. Tak sanggup dia menentang wajah Mya, dia benar-benar malu!
Namun Mya memeluknya erat dari belakang. Gadis itu masih ketakutan, tetapi ego Mikail menghalangnya untuk berpusing dan mendakap Mya semula.Dia juga bimbang kalau-kalau dia bisa hanyut sekali lagi. Mana mungkin dia mampu menerima penolakan kali kedua!
Namun rasa kantuknya mengatasi segalanya, dua tiga minit selepas itu dia sudah lena dalam buaian mimpi yang indah dan panjang.
YOU ARE READING
Aku Bukan Mistress
RomansSinopsis: Mya Arlissa terperangkap dengan permainan dunia yang kejam. Dia tercampak ke dunia yang kelam dan gelap tanpa kerelaan hatinya. Tangan yang disangka boleh memimpinnya ke arah yang lebih lurus, rupanya tidak berbeza seperti lelaki lain yang...