Berontak 1

387 9 0
                                        

Kicauan unggas menghiasi suasana dengan lagu alam. Saling bersahutan memeriahkan buana. Sekali tidak sekala, bunyi deras air terjun dan arus sungai saling menyelangi. Hutan tebal itu bagaikan sedang bersenandung, menyebarkan irama ketenangan dan keheningan menyelimuti kawasan ini.

Di tengah-tengah belantara itu, wujud suatu kawasan lapang yang luas. Kelihatan beberapa rumah yang dibina daripada kayu dan buluh. Ia seperti berasimilasi dengan persekitarannya. Bangunan-bangunan tersebut sederhana, namun beberapa buah daripadanya kelihatan seperti mencakar langit kerana berada di tanah yang tinggi.

Di hadapan bangunan utama, terdapat kawasan tanah lapang. Ketika ini, ia tidak kelihatan lapang kerana diisi sekumpulan manusia.

Mereka berada dalam dua bulatan. Bulatan lebih dalam terdiri daripada kalangan lelaki. Sementara bulatan luarnya pula duduk khalayak wanita. Semuanya berpakaian sopan dan sederhana. Lelaki-lelaki itu berbaju lengan panjang bersama selempang pada pinggang, khalayak wanita pula mengenakan tudung litup dan berbaju kurung.

Di tengah-tengah bulatan tersebut, kelihatan tiga lelaki.

Seorang berdiri tegak, sambil memerhatikan dua lelaki lain yang sedang bertarung.

Teriakan mereka sekali-sekala menambah seri nyanyian hutan.

"Buya, saya tidak tenang."

Suara itu kedengaran lirih di celah-celah segala bunyi. Datang daripada seorang lelaki, sedang duduk dan menatap menghadap seorang lelaki tua.

Buya, mursyid kepada tempat ini.

"Beristighfarlah."

Buya mengenakan pakaian serba putih, janggutnya yang tidak terlalu panjang itu diurut. Matanya tenang memerhatikan lelaki di hadapan, yang tidak berseorangan.

Lelaki itu ditemani tiga lagi lelaki lain.

Mereka bukanlah bersahabat. Hanya kebetulan singgah ke tempat ini secara serentak. Dua daripada mereka datang jauh dari Kota Lemuria. Manakala dua lagi datang dari kota berhampiran. Keempat-empat tetamu ini berkunjung ke rumah Buya membawa hajat masing-masing.

Dalam menyantuni tetamu, sempat Buya melirik ke pintu, memerhati perkumpulan anak muridnya. Dia dapat melihat dua daripada mereka sedang bergelut.

Sememangnya sekarang merupakan sesi latihan seni tempur.

Mata Buya mendarat ke arah tetamu kedua. Seperti menerima isyarat untuk bersuara, lelaki tersebut terus meluahkan hajatnya.

"Saya dalam kesulitan kewangan, Buya. Puas saya berusaha, tetapi kondisi saya tidak pernah mahu berubah."

Buya melemparkan pandangannya ke sebuah papan putih di sudut rumah tersebut.

HARI INI

6 petang – 7 malam

Pengajian Tamu dan Tamu Ziarah

Perkataan-perkataan itu tertera jelas.

"Mungkin Buya boleh beri amalan yang bakal membuka pintu rezekiku?" Tetamu kedua itu menyambung.

"Beristighfarlah."

Tetamu kedua itu mula mengerutkan dahi, demikian juga tetamu pertama. Jeda mengisi ruang, sedang Buya pula mengisi sela masa itu dengan zikrullah. Ibu jari kirinya bergerak menghitung zikir. Pandangannya kini melandas pada tetamu ketiga.

Bertopi jerami, pakaiannya juga kusut.

"Buya, perniagaan saya jatuh. Tanaman di kebun, di ladang, tidak menjadi. Tambah lagi kemarau datang menyerang tempat aku bergadang. Apakah ada amalan yang boleh menurunkan hujan dan memajukan perniagaan?"

Amru RebellionWhere stories live. Discover now