Berontak 4

251 6 0
                                        

"Allahu akbar!"

Amru tersentak, bangun. Terus dirasai bisa kesakitan dari belakang tubuh.

"Ugh."

Tangan Amru pantas mencapai bahu, dan cuba menoleh untuk melihat sisi belakang tubuh. Barulah dia perasan yang kawasan itu sudah berbalut kain kasa. Balutan itu jelas merupakan balutan baharu.

Amru perlahan-lahan menebarkan pandangan ke sekeliling, sedang minda cuba mengingati kembali apa yang telah berlaku.

Istighfar meniti di bibir.

Dia kini berada di sebuah bilik mewah serba putih. Katil tempat dia berbaring nyata teramat empuk dan tidak pernah dirasai sepanjang hayatnya. Tubuhnya tidak berbaju, dan dibaluti kain kasa dari bawah ketiak, meliputi kawasan tembakan. Dari pinggang ke hujung kaki, dia berselimut tebal dan putih. Seluarnya sahaja masih kekal tidak berganti.

Di tengah-tengah nyaman dan harum bau bilik, hidungnya dapat menangkap bau kurang enak daripada seluarnya.

Mungkin kesan kotoran daripada lopak air dan darah.

"Bonda!"

Amru segera turun dari katil. Beberapa pilihan baju kelihatan tergantung pada sisi katil. Awalnya, dia cuba mencari baju miliknya, kemudian teringat bahawa baju itu menjadi mangsa tembakan. Lalu, dia memilih untuk meminjam terlebih dahulu baju yang ada di hadapannya.

Baju berhud menjadi pilihan.

Kemudian, terus Amru melangkah keluar dari bilik.

Namun, belum dia sampai ke pintu, pintu tersebut telah terbuka. Dalam hatinya pantas terdetik rasa kagum, kerana menyangka pintu itu bertindak secara automatik tika mengesan kehadirannya.

Tetapi sangkaannya meleset.

Lelaki yang diselamatkannya muncul sambil memegang tombol.

"Ah, penyelamat saya sudah sedar. Bagus." Lebar senyuman lelaki tersebut.

"Err ... Tuan ..."

"Mansur. Mansur Jabbar." Mansur menghulurkan tangan. "Engkau Saifullah, bukan?"

Tangan Mansur disambut Amru lalu dijabatnya erat. "Tuan kenal saya?" Dahinya berkerut.

Amru teringat yang dia tidak menggunakan namanya yang sebenar. Yalah, tidak mahu apa yang buruk berlaku sekiranya ada yang mengenalinya. Pengalaman lalu yang berlaku ke atas ahli keluarganya di Kota Lemuria ini membuatkan dia lebih berhati-hati.

"Oh tidak, tetapi aku dapat mendengar laungan nama engkau ketika pertarungan bermula."

Amru tersengih. Serba salah. Dia mahu bergerak pergi kerana risaukan bondanya. Tetapi jelas tidak beradab pula dengan Mansur, yang nampaknya telah memberikan rawatan dan tempat yang selesa.

"Tidak perlu risau, engkau berada di rumah aku." Mansur bersuara. Seperti menghidu kegelisahan Amru.

"Ah, tuan, bukan, saya bukan risau."

"Engkau ternyata amat berani dan berkebolehan, anak muda. Tiada nilainya balasan yang dapat membayar jasa dan nyawa yang engkau pertaruhkan untuk menyelamatkan aku. Walaupun kita tidak pernah berkenalan, anggaplah ini sebagai hadiah atas jasa kau itu."

Mansur menyerahkan sekeping cek kepada Amru.

Amru teragak-agak menyambutnya. Dia melihat cek itu tidak tertera padanya nilai atau angka. Tetapi cek itu sudah siap ditandatangani Mansur. Dahi Amru berkerut.

Amru RebellionWhere stories live. Discover now