Tinta Rimbun Sayu

24 6 3
                                    

Senja, dan kau masih disini. Secara jujur aku tak begitu mengerti dengan dirimu, Si Penulis. Kau tahu tentang perasaanku yang sebenarnya, perasaan cinta yang aku luahkan awal-awal untuk dirimu. Perasaan cinta yang kau tak akan dan pernah jawab bahkan fahami. Tidak mengapalah, itu aku mengerti. Cukup dengan kehadiranmu setiap hari, bersandar padaku sambil membaca buku-buku dan hasil tulisan tinta puitis dari dirimu sudah mampu membuatkan aku gembira setengah mati. Pernah aku berharap, supaya kisah-kisah yang kau lantunkan itu adalah kisah dongeng antara kau dan aku. Tapi aku tahu, realiti dunia begitu bukanlah untuk makhluk sepertiku.

Hari ini kau menangis, puisimu berkisarkan perpisahan dan kesedihan yang merobek jiwa. Alunan lenggok intonasimu adalah sulaman sedu sedan, memeritkan. Akhirnya setelah kau mengusap air matamu buat beberapa kali sehingga lengan bajumu basah, kau mula melangkah pulang dan meninggalkan aku keseorangan begitu sahaja. Kau tahu, Si Penulis? Pernah aku terfikir, mungkin aku cuma tempat untuk kau meluahkan perasaan lalu berlalu pergi tanpa ucapan kasih. Pernah juga aku berharap supaya kau dapat ucapkan terima kasih kepadaku walau sekali, itu sudah mencukupi. Mungkin kau anggap aku sebagai objek yang tidak mempunyai perasaan, tetapi aku tetap makhluk hidup yang bernyawa. Susahkah untuk kau anggap peduli dan taburkan rasa sayang walau segenggam? Apa gunanya kecanggihan emosi dan perikemanusiaan dalam dirimu itu jika tidak digunakan? Adakah teknologi itu tidak layak untuk digunakan keatas diriku?

Keesokkannya kau datang dengan berpakaian baru, agak aneh pada pandanganku. Jubah itu kelihatan besar menyarungi tubuh kecilmu. Namun, apa yang pasti kau tetap kelihatan cantik dan anggun sekali. Hari ini kau tersenyum, lengkungan pada bibirmu mengundang sensasi yang berbunga-bunga buat diriku. Adakah musim luruh sudah kunjung tiba? Atau musim bunga? Ah, itu semua tak penting.

Tanganmu mencapai lembut keatas birai wajahku, kau tersenyum sambil mendongak. Kau kelihatan bangga dan gembira sekali. Seolah-olah menatap diriku dengan menyatakan yang kau sudah berjaya mencapai sesuatu. Lalu gulungan berbentuk silinder yang kau genggam itu aku tenung lama. Kelihatannya kau menggenggam ia dengan penuh erat sekali, aku kurang mengerti. Topi segi empat yang kau sematkan diatas kepalamu juga kelihatan lucu. Beritahulah aku, apa yang sebenarnya berlaku kepadamu hari ini Si Penulis?

Agak lama kau duduk bersandar padaku hari ini. Mengapa? Tanganmu juga menulis lebih ligat daripada biasa. Aku juga baru perasan yang hari ini kau mengenakan alat solek pada wajahmu, bibirmu kelihatan lebih merah jambu dan gelang baru yang kau pakai memantulkan sinar mentari senja. Bagaimanakah bisa kau sebegini cantik? Puisi dan alunan kisah puitismu kali ni berkisarkan perjalanan dan pengembaraan. Satu genre yang kau jarang-jarang selami dan sentuhi, membuatkan aku terus menduga. Apa yang telah berlaku kepadamu hari ini. Adakah kau sudah jatuh cinta, atau kau mahu… pergi jauh?

Langit sudah gelap, dan kau masih gigih bersandar padaku. Satu perkara yang kau juga jarang-jarang lakukan. Menatap bintang bersinar yang berselerakan seperti tumpahnya garam ini, kau tersenyum dan bersandar selesa. Kau tahu, Si Penulis? Selama aku hidup dan duduk di bawah langit ini, baru pertama kali aku dapat merasakan yang langit malam ini lebih indah dengan adanya kau disisi. Bagaimanakah bisa ini terjadi? Magis tanpa mantera apakah yang kau cuba racunkan padaku ini?

Kemudian tiba-tiba kau terkumat kamitkan sesuatu. Suaramu serak-serak basah dan belakang telapak tanganmu kau usapkan pada mata, adakah kau menangis? Kau bilang padaku yang kau ingin pergi jauh, mungkin kau tak akan kembali ke sini lagi. Kau bilang kau sudah tamat menengah tinggi, sudah tiba masanya untuk kau keluar bebas ke dunia luar dan hidup berdikari menyambung pengajian. Mendengarnya sahaja membuatkan aku seakan-akan ingin tumbang. Angin yang menyapaku malam itu seakan ribuan jarum yang mencucuk-cucuk kulit kerasku, dan langit malam sudah tak seindah tadi. Kata-katamu ibarat pedang tajam yang mencantas diriku rebah ke tanah.

Tergelincirnya Bebola Api UsangWhere stories live. Discover now