Gersang. Itulah perkataan pertama yang terbit diminda Pilu saat dia menatap rumah banglo dihadapannya tika itu. Rumahnya yang dulu menjadi tempat dia sekeluarga berteduh menyemai kasih kini tak terurus dimamah alam. Belukar dan semak samun menemani usangnya bangunan itu. Hatinya pedih nan pilu menyaksikan struktur rapuh yang dulunya pernah teguh berdiri merangkap sebagai tempat tinggal. Kini yang tinggal hanyalah jejak memori kelam.
“Aku tak pasti, kalau kita mampu untuk—“
“Aku pasti, kita boleh.” Cantas Syahdu.
“Ayuh.” Sambung Syahdu sambil tangannya menggenggam tangan Pilu. Mereka mula melangkah masuk ke dalam gerbang utama. Tepat injakan pertama mereka memasuki perkarangan rumah banglo itu, tanah seakan bergegar. Langit mulai gelap dan angin kencang mulai hadir menggoncang tubuh mereka berdua.
“Tapi, Syahdu! Sudah sepuluh tahun ia berlalu!! Adakah kau boleh—“ Jerit Pilu sambil matanya menyepet, cuba melawan arus angin kencang yang menerpa mereka berdua.
“Aku yakin!!”
Seraya itulah cahaya putih seakan-akan memecut laju kearah mereka berdua. Menabrak dan membuatkan mereka berdua hilang kesedaran. Sepi. Sebelum akhirnya Pilu membuka tirai matanya dan mendapati dirinya sedang terbaring diatas katil empuk. Aneh dan janggal. Dia bangun dan duduk, memerhati dari atas katil cuba untuk memahami situasi yang dia sedang alami tika ini. Pakaiannya dilirik sipi, jelas dia sedang memakai gaun tidur. Juga tubuhnya seakan-akan mengecil, kembali beberapa tahun lebih muda. Pilu seakan kaget, matanya membundar dan tangannya refleks menyentuh belakang kepalanya cuba mencari rambutnya yang ditocang. Ia tiada. Rambut Pilu turut berubah pendek.
Terus Pilu menderu turun dari atas katil, jam dindingnya diperhati dalam detakan jantung berselang satu. Pukul tiga lima puluh empat pagi dengan tertera tarikh pada kalendar dinding sebagai 13 Februari 1991. Pilu telah kembali kepada hari rumahnya dipecah masuk oleh perompak dan ia sepuluh minit dari sekarang.
“Syahdu!!” Pilu cuba memanggil Syahdu dengan berteriak, jelas ia amat kuat sehingga pintu kamarnya terbuka. Memaparkan dua orang watak dengan wajah gusar yang memang Pilu benar-benar kenali, ibu dan bapanya.
“Pilu.. Kenapa menjerit malam-malam ni? Kamu mengingau ya?” Ujar si ibu sambil mengelus perutnya yang membuncit, bibirnya melengkung tersenyum seakan memujuk.
“Nak tidur lagi dengan ibu dan ayah di bilik sebelah?” Pelawa sang ayah sambil melutut, cuba untuk mendukung Pilu versi kecil.
Pilu terkesima. Dia membungkam, hampir tiada tutur kata yang dapat menggambarkan perasaannya tika ini. Perasaan disaat bersemuka dengan insan tersayang yang hakikatnya sudah lama meninggalkan dunia. Ibarat ibu bapanya yang telah mati kini hidup semula. Deras. Air mata Pilu jatuh berderai melimpah tanpa perlu disuruh, bibirnya turut terketar-ketar dalam sebak.
“I-ibu...? Ayah?” Pantas Pilu pergi mendapatkan kedua ibu dan bapanya, dipeluknya mereka erat dalam sedu sedan alunan tangis.
Ibu dan bapa Pilu seakan kurang mengerti dengan reaksi Pilu, dianggapnya saja bahawa anak perempuannya itu sedang mengigau. Terus digendongnya Pilu keluar daripada bilik. Seraya itulah ada satu bunyi berdentum dari hadapan rumah. Gerbang rumahnya dirempuh kasar dengan kenderaan pacuan empat roda sebelum kedengaran beberapa derapan tapak kaki mulai berdentum-dentum mendekati pintu masuk.
Belum sempat apa-apa lepasan beribu das tembakan bertubi-tubi menembusi tetingkap dan dinding rumah. Tiga butir peluru tepat menembusi kepala milik bapa kepada Pilu, tersembam sang ayah menyembah bumi sambil menggendong anak perempuannya. Pilu tercampak dari dakapan ayahnya yang sudah tidak bernyawa, menghadap mata ayahnya yang terbeliak berdarah menahan azab oleh sakaratul maut. Manakala apabila dia menghadap ke sisi, ibunya sudah terkujur sambil bibirnya melimpahkan cecair merah pekat. Abdomen membuncitnya dicengkam dalam kesakitan tak kepalang, jelas ada dua bekas tembakan sudah menembusi perutnya. Pilu seakan histeria.
Dirapati tubuh si ibu sambil air matanya berderai laju, nafasnya tersekat-sekat dan dadanya terasa seperti hendak meledak melihat dua kujur ibu bapanya itu tumbang kurang dalam satu kelipan mata saja. Sistem keselamatan rumah mula berfungsi dan siren kecemasan membingitkan telinga membuatkan Pilu tergugah mengingatkan Syahdu. Dimanakah Syahdu?
Refleks, ibunya yang sarat mengandung dengan mulutnya yang masih tercungap-cungap itu dipandang tajam. Abdomen membuncitnya perlu Pilu robek secepat mungkin jika mahu Syahdu terselamat. Terus Pilu berlari ke dalam bilik, menyelongkar laci mejanya bagi mencari pisau boleh laras yang pernah dia senyap-senyap simpan tika bermain dulu. Derapan tapak kaki semakin rancak berdentum di tingkat bawah, kelihatannya selepas tahu kemungkinan besar pemilik rumah ini sudah tumbang kesemuanya, mereka tidak memperdulikan apa-apa lagi. Bergegas cuba mencuri apa sahaja yang ada kerana sebentar lagi pihak polis akan tiba hasil kecanggihan sistem keselamatan rumah yang berbunyi sebentar tadi.
Pilu tak banyak tingkah, terus dia capai pisau itu dan duduk melutut menghadap ibunya. Sempat ibunya memegang pipi Pilu, seakan merelakan. Pada hari itu hamis darah adalah segala-galanya buat Pilu. Dipejamkan matanya ketat, sebelum tangan kecilnya mulai membenam dan menghiris abdomen membuncit ibunya sendiri. Membuak buak darah yang terkeluar mematikan terus sang ibu manakala Pilu menahan mual dalam kerancuan pelbagai emosi dan rasa. Syahdu akhirnya berjaya dikeluarkan. Bayi itu terus Pilu gendong selepas tali pusatnya dipotong.
“S-Syahdu?” Sunyi. Tiada esakan tangis seorang bayi, tiada alunan dada bukti pernafasan, juga tiada denyutan nadi. Pilu terduduk, jantungnya seakan ingin berhenti melihat keadaan zahir Syahdu yang seakan mati. Ditepuk tubuh kecil adik lelakinya yang baru lahir itu beberapa kali tanda usaha Pilu supaya dia menangis, namun selepas digoncang jua tubuhnya tiada hasil. Kelam cuma.
Pilu seakan boleh gila, tuturnya tiada bicara lagi. Membungkam tahap dewa. Sebelum bahunya disentuh oleh satu tangan kecil dari belakang. Kelihatan Syahdu sedang berdiri bersahaja sambil tersenyum.
“S-Syahdu?”
“Pilu.. Sudahlah, inilah kebenarannya. Sudah lama aku pergi bersama ibu dan ayah kita. Ini adalah detik-detik dimana saat pertemuan kita yang pertama dan terakhir. Aku tak dapat diselamatkan pada hari itu, Pilu,” Tutur Syahdu fasih dan jelas. Pilu hanya mampu membundarkan matanya, kelu.
“Perompak itu berjaya kau bunuh selepas lima tahun kemudian, lalu kau diberikan tugas dalam pasukan special unit kerajaan.”
“Pilu, sedarlah. Mengakulah bahawa Tuhan itu wujud dan Dia akan menjagakan aku untukmu.” Syahdu merapati Pilu dan segalanya bertukar putih. Rumah, rompakan, jasad ibu dan bapanya lenyap begitu saja. Tubuh Pilu juga sudah kembali normal.
“Kakak, bangunlah. Tuhan masih lagi mengasihimu.” Dikucup lembut dahi Pilu oleh Syahdu. Air matanya menitis tepat mengenai hidung Pilu, tanda selamat tinggal.
Pilu tersedar dan dia berada di tengah-tengah kawasan larangan dengan pita kuning menyala, dalam hutan kawasan perindustrian. Jelas ada lampu neon malam dipasang lengkap dikawasan itu. Bunyi generator bingit memekakkan telinga. Beberapa orang dengan kelengkapan lengkap juga mundar mandir mengerjakan tugas mereka. Zainal dan ahli pasukannya mula mendekati Pilu. Pilu seakan masih dalam keadaan labil, seakan baru tersedar dari mimpi yang teramat panjang.
“Bagaimana?” Tutur lelaki berkumis tebal kepada Pilu. Pandangan Pilu masih agak kabur, terdiam seketika dia menelan air liur.
“Pukul berapa sekarang ni?” Sebut Pilu perlahan.
“Sekarang dah subuh. Lima jam dah berlalu,” Jawabnya sambil melirik kearah jam tangan Rolex miliknya. Kumisnya diusap sambil memerhatikan Pilu yang keletihan.
“Suspek adalah suspek yang sama dengan beberapa kes bunuh dan rogol sebelum-sebelum ni. Memandangkan gaya dan senjata yang digunakan oleh suspek untuk memutilasikan badan mangsa adalah sepadan. Suspek menggunakan kapak tajam berukuran dalam tiga puluh enam inchi panjang dengan mata kapak dalam empat inchi luas,” Pilu mula menerangkan sambil membetulkan ikatan rambutnya.
TAMAT