Kakinya dibiarkan berayun tak mencecah lantai marmar, sambil punggungnya melabuh selesa diatas kerusi. Menghadap dinding. Matanya memerhati serius corak rawak pada permukaan dinding kasar konkrit tu, tak berkedip. Sesekali ditelengkan kepalanya ke kanan dan ke kiri. Masih lagi tak nampak apa-apa. Dahinya berselang seli dalam kerutan dan matanya membundar merenung tajam.
“Apa lagi yang kau renungkan?” Muncul figura tinggi lampai dengan rambut separas bahu dibiar beralun. Cuba berdiri di belakang jasad yang sedang terduduk memerhati dinding kosong tadi.
“Membayangkan dunia tanpa kiamat.” Petahnya selamba.
“Gila.” Sahut spontan si tinggi lampai sambil turut menarik kerusi berdekatan dan mula duduk bersebelahan.
“Aku tak gila. Aku waras, cuma akal aku perlu bertutur.”
“Akal kau bertutur dengan cara yang begini?” Mereka mula bersahut-sahutan. Kebiasaan yang mereka selalu praktikkan sebelum sesi engkel mengengkel.
“Ya.” Jawabnya pendek.
“Okay. Jadi, apa yang kau dapat?”
“Tak ada apa.”
Si tinggi lampai mula untuk mengecilkan matanya, memerhati figura yang baru menyahut soalannya sebentar tadi. Agak jengkel.“Mana mungkin tak ada apa-apa. Tak akanlah akal kau bertukar bisu dan tak mampu bertutur?” Bidasnya sinis sambil bibirnya meleret dalam garis lurus.
“Bukan, bukan begitu. Hakikatnya aku tak dapat nampak apa-apa. Kosong.” Tuturnya tenang sambil pandangannya masih tertancap pada permukaan dinding. Khusyuk memerhati. Yang disebelah pula terdiam cuma, cuba untuk memahami isi tersirat.
“Persis seperti memandang dinding ini. Kosong. Tiada apa, perbuatan yang sia-sia dan membuang masa.” Kini dia tersengih.
“Jadi kenapa kau lakukannya kalau ia satu perbuatan yang sia-sia?” Rambut panjangnya mula diikat, menunduk dia sedikit sambil melontarkan soalan tersebut.
“Saje, membiarkan akal aku bertutur. Cuba menerima kenyataan bahawa dunia tanpa kiamat ibarat perbuatan aku ketika ini. Sia-sia dan membuang masa.”
“Maka lebih baik daripada awal lagi kau tak lakukannya.” Sahut pantas si rambut panjang dengan tocang satu.
“Betul, lebih baik daripada awal lagi dunia ni tak dicipta kalau kiamat itu tak wujud,”
“Jadi?”
“Jadi kiamat itu wujud.”
“Bagus.” Balasnya perlahan dalam kekaguman. Tangannya mencapai dekat, mengusap ubun-ubun anak kecil itu. Anak kecil itu hanya memandang kosong, matanya memancarkan sinar kekeliruan. Aneh terhadap reaksi gadis berambut panjang toncang satu tu mengusap ubun-ubunnya.
“Tapi kau golongan mulhid. Kau atheis. Tak percayakan Tuhan.” Gadis itu hanya tersenyum mendengar pernyataan itu. Dicubitnya pipi anak kecil comel disebelahnya itu kuat.
“Jadi?” Diregangkan pipi gebu anak kecil itu sambil menjuihkan bibirnya. Comel.
“Jadi, aku fikir kau akan tersinggung dengan perbualan kita sebentar tadi..” Matanya sedikit sayu, entah mengapa tunas rasa bersalah mula tumbuh.
“Oh.” Matanya membundar dan keningnya terangkat, tak menyangka yang adik lelakinya akan sesensitif itu.
“Dah tentulah tak, lagipun dah agak terlambat untuk rasa sedemikian.” Jelas Pilu, gadis dengan tubuh jangkung dan tocang ikat satu. Dia hanya tersenyum senget sambil mula bangun daripada tempat duduknya. Cuba dia meraba ke bahagian sisi pinggangnya, pistolnya masih tersemat rapi disitu.