Bab 5

1.3K 82 0
                                    

RUMAH TERES DUA TINGKAT ITU dipandang dengan penuh rasa kagum. Di luar rumah tadi, tiga buah khemah megah berdiri di sepanjang jalan. Di tepi pintu pagar pula, tergantung satu banner besar yang terpampang gambar sepasang kekasih yang sedondon berbaju warna merah muda. Di atas banner itu juga tertulis 'Selamat datang ke Majlis Pertunangan Syuhada & Firdaos'.

Aisha hanyut seketika dengan kemewahan majlis pertunangan ini. Pelamin di dalam rumah dipandang dari jauh. Cantik sungguh bertemakan warna putih dan merah jambu. Ramai tetamu sedang berkumpul di pelamin – mengambil peluang bergambar dengan pasangan yang baru bertunang. Dia pula hanya berdiri tegak di ruang tamu, seronok memerhatikan pelbagai ragam tetamu yang kebanyakannya sangat teruja dengan konsep majlis pertunangan yang mewah.

Ini baru majlis pertunangan. Aisha tak sanggup nak berfikir tentang majlis persandingan mereka pula. Entah-entah bertemakan persandingan di pantai! Wah...

Bila agaknya aku boleh merasa majlis pertunangan macam ini?

Eh, sekejap. Aku lupa yang aku dah kahwin. Aiseh...

Aisha bergerak sedikit ke kanan apabila dia menyedari ada seseorang sedang berdiri di sebelahnya. Yang pasti, seseorang itu lelaki berdasarkan tubuh badannya yang tinggi. Lelaki itu juga berdiri di situ untuk menyaksikan suasana di pelamin itu. Dari ekor matanya, Aisha sedar lelaki itu sedang menoleh ke arahnya.

"Dah makan?" tanya lelaki itu.

Aisha menoleh. Pelik sebenarnya sebab dia tak kenal langsung lelaki itu. Sedangkan lelaki itu seolah-olah mengenalinya. Dia hanya tersenyum dan menggeleng. Dia sebenarnya sedang menunggu Kak Anis. Kak Anis yang juga sedang sibuk mahu bergambar kenangan dengan Syuha di pelamin.

"Datang dengan Qhalid?" tanya lelaki itu lagi.

Aisha mengangguk. Matanya tak lepas dari memandang ke arah pelamin. Tak selesa rasanya apabila berbual dengan seseorang yang dia sendiri tak kenal. Inilah kelemahan dia. Dia bukanlah seorang yang peramah – yang boleh terus berborak mesra dengan orang yang baru dikenalinya.

Eh, nanti. Lelaki ini sebut nama Qhalid?

"Err... awak kenal Qhalid?" tanya Aisha pada lelaki itu. Entah-entah dia kawan Qhalid. Mungkin dia mahu bertanya di mana Qhalid sebenarnya. Ha... kalau betul lelaki ini kawan si Qhalid, tak perlulah dia was-was untuk menjadi sedikit peramah. Mungkin kawan Qhalid ini cam muka Aisha semasa majlis persandingan mereka dulu. Aisha pula manalah nak ingat semua muka kawan-kawan Qhalid yang datang hari itu. Ramai sangat!

Baru Aisha sedar penampilan sebenar lelaki itu apabila dia menoleh memandang lelaki itu buat kali kedua. Lelaki itu nampak sempoi dengan t-shirt berkolar warna putih dengan jeans warna kelabu. Rambutnya yang kering terjuntai kemas di dahi - fesyen rambut lelaki zaman sekarang yang ala-ala selebet. Aisha bukanlah pandai sangat bab-bab gaya zaman sekarang, tapi entah kenapa dia rasa gaya itu sesuai pula dengan lelaki itu.

Lelaki itu ketawa pendek. "Kenal. Ayah kitorang kawan baik." Lelaki itu melemparkan pandangan semula ke arah pelamin. Dia memasukkan kedua-dua tangannya lurus ke dalam poket jeans, membuatkan bahu lelaki itu terangkat sedikit. Dan hasil daripada ketawa pendeknya sebentar tadi, bibir lelaki itu masih menguntum senyum walaupun dia tak lagi memandang ke arah Aisha. Lelaki itu nampak sungguh relaks.

Aisha masih memandang lelaki di sebelahnya itu. Dia terpesona seketika dengan aura lelaki itu.

Lelaki itu menoleh semula ke arah Aisha.

Aisha tergamam. Alamak, terkantoi sudah! Itulah... siapa suruh tenung anak teruna orang sampai macam itu sekali? Kan dah terkantoi. Laju saja Aisha menukar pandangan matanya ke arah lain.

Sampai Bila? [2014]Where stories live. Discover now