Bab 17

2.2K 83 0
                                    

TANGAN AISHA TERKETAR-KETAR. Dia perhatikan stik di tangannya dengan rasa tak percaya. Jadi, sangkaannya selama ini memang betul. Berkali-kali Aisha cuba menafikan apa yang difikirkan itu. Tapi semakin dia menafikan tentang hal itu, semakin banyak pula 'bukti-bukti' yang mula menunjukkan kesahihan perkara itu.

Apa yang patut dia lakukan sekarang?

Relaks, Aisha. Relaks. Itu yang paling penting.


SEMASA AISHA KELUAR DARI BILIK AIR, dia tak nampak pun kelibat Qhalid di dalam bilik tidur. Err... ya. Selepas Aisha mula berbaik dengan Qhalid, dia berpindah masuk ke bilik lelaki itu. Itu semua cadangan Qhalid. Pada mulanya, memang agak mengambil masa juga untuk Aisha bersetuju dengan cadangan Qhalid itu. Tapi lama kelamaan, apabila dia nampak usaha Qhalid untuk memperbaiki hubungan mereka, dia bersetuju untuk berpindah masuk ke bilik Qhalid.

Tapi, masih ada lagi barang-barangnya di bilik tidurnya yang lama. Sengaja dia tak nak pindahkan semuanya. Mujur Qhalid memahami situasinya itu.

Aisha melangkah ke arah pintu bilik untuk mencari Qhalid di ruang tamu. Sebaik saja tiba di pintu bilik, langkahnya terhenti. Dia terpandangkan Qhalid yang sedang memasang charger handphone ke plug di kabinet TV. Fikirannya berkecamuk. Patutkah dia memberitahu Qhalid?

Qhalid menoleh ke arah pintu bilik apabila dia menyedari Aisha berdiri di situ. Spontan dia tersenyum ke arah Aisha. Tapi senyumannya hanya bertahan untuk dua saat sebaik saja dia menyedari wajah Aisha yang pucat. Lebih-lebih lagi apabila dia terpandangkan riak kosong wajah Aisha yang masih berdiri kaku di situ. Apa yang telah terjadi?

"Kenapa?" tanya Qhalid, bimbang. Dia meletakkan handphone di atas kabinet sebelum melangkah ke arah Aisha.

"Qhalid..." Aisha dah mula rasa mahu menangis. Dia tak tahu kenapa dia perlu menangis. Sepatutnya dia gembira, kan?

"Ya, sayang. Kenapa?" Qhalid mencapai kedua-dua bahu Aisha. Pasti ada sesuatu yang telah terjadi. Kalau tak, Aisha takkan merengek kepadanya seperti ini.

Perlahan-lahan Aisha menunjukkan tangan kanannya yang dia sembunyikan di belakang tadi. Menggeletar tangannya semasa dia menunjukkan apa yang berada di tapak tangannya itu kepada Qhalid.

Pregnancy test stick.

"Ya Allah." Qhalid nyata terkejut dengan apa yang dilihatnya. Bulat matanya memandang stik di tangan Aisha, kemudian dia pandang pula wajah Aisha. Bibirnya tergerak-gerak tanpa suara. Dia tak tahu bagaimana untuk memberi respons dengan berita yang baru dia ketahui ini.

Aisha mengandung! Isterinya itu mengandung! Mereka berdua akan menjadi ibu dan ayah tak lama lagi!

Qhalid tersenyum lebar. Dia gembira. Dia betul-betul gembira. Rasa mahu dicium-cium saja wajah Aisha. Tapi apabila dia terpandangkan wajah mendung Aisha, senyumannya terus menghilang. Dia pandang Aisha, cuba membaca riak wajah isterinya itu.

"Kenapa?" tanya Qhalid.

"Aku mengandung." Dua patah Aisha menjawab.

"Ya, aku tahu. Tapi kenapa ni? Kenapa kau...pucat?"

"Aku takut." Aisha menangis. Tangannya masih lagi terketar-ketar.

"Hey, sini." Qhalid menarik Aisha ke dalam pelukannya. Dia mengusap-usap kepala Aisha untuk menenangkan isterinya itu. "Kenapa kau takut?"

Aisha teresak-esak di bahu Qhalid. Ya, dia gembira dengan berita kandungannya ini. Siapa yang tak gembira apabila mengetahui diri sendiri mengandung, kan? Tapi entah kenapa, perasaan takutnya lebih banyak dari perasaan gembiranya. Dia takut dia tak dapat menjaga kandungannya dengan baik. Dia takut dia tak boleh menjadi seorang ibu yang baik kepada anaknya. Dan dia takut sekiranya dia cuai ketika menjaga kandungannya sehingga akan memberi kesan terhadap bayi yang dikandungnya ini.

Sampai Bila? [2014]Where stories live. Discover now