Bab 13

1.8K 73 0
                                    

AISHA MEMERHATIKAN SAJA dua buah kereta yang dipandu oleh abah dan Abang Jai menghilang di sebalik simpang jalan. Jam dah hampir menginjak ke pukul 2.30 petang. Tapi masih ramai lagi tetamu di rumah mama ini. Masing-masing mengambil peluang untuk berbual sekejap dengan mama dan ayah. Nura pula masih di dalam rumah, sibuk mengambil gambar kenangan bersama sanak saudara.

Alhamdulillah, selamat sudah adik iparnya itu menjadi tunang kepada Najmi.

Aisha melangkah masuk ke khemah selepas menghantar keluarganya hingga ke pintu pagar. Abah dan ibu tak dapat berlama kerana ada dua lagi rumah yang perlu mereka kunjungi. Maklumlah cuti sekolah tengah-tengah tahun ini ramai yang sibuk membuat majlis. Sampai tak menang tangan nak berkunjung ke setiap jemputan majlis.

Aisha mencapai sebiji gelas dan mengisinya dengan jus oren yang memang tersedia di atas meja bufet. Dari tadi dia sibuk menemankan Nura. Adik iparnya itu terlalu gemuruh tadi. Terpaksalah Aisha 'melekat' di sebelah Nura sampailah upacara menyarung cincin selesai.

Barulah sekarang ini dia dapat berehat sekejap.

Dia terus melabuhkan duduk di satu kerusi kosong di tengah khemah makan itu. Dia sebenarnya tengah 'lari'. Heh. 'Lari' daripada Pyan si jurugambar. Dia tahu sekarang ini ada sesi mengambil gambar kenangan. Sebab itu dia keluar dari rumah mama dan melepak di tengah khemah ini. Dia tak suka ambil gambar sebenarnya. Itu salah satu tabiatnya yang paling pelik, bak kata abah.

Abah memang. Yang pelik-pelik itu semuanya Aisha.

Apabila dah duduk di kerusi itu, dia membongkok sedikit untuk membetulkan tali sandalnya yang dah terbelit. Entah macam mana tali itu boleh terbelit. Merimaskan betul! Sebab itulah dia tak suka sangat pakai sandal atau kasut yang ala-ala perempuan ini. Melecehkan! Kalaulah memakai selipar tak menyalahi protokol sesebuah majlis macam ini...

... memang dia akan sarung selipar saja!

Aisha menoleh apabila seseorang meletakkan satu pinggan berisi nasi dan lauk di sebelah kanannya. Lantas Aisha mendongak – mencari wajah si tetamu. Senyumnya spontan terukir apabila dia bertemu pandang dengan seorang wanita muda yang lebih kurang sebaya dengannya. Wanita itu memimpin seorang kanak-kanak perempuan yang mungkin dalam usia dua atau tiga tahun. Wanita itu duduk di sebelahnya.

"Makan?" Wanita itu mempelawa.

Aisha cuma menggangguk dan tersenyum. "Makan. Bismillah."

Tetapi wanita itu masih tak menjamah makanannya. Mungkin dia sedang menunggu suaminya. Wanita itu membetulkan duduk anaknya di kerusi sebelah. Mata Aisha turun pada perut wanita itu yang dilitupi dengan jubah labuh berwarna ungu gelap yang dipadankan dengan sehelai selendang bercorak abstrak.

"Dhuha." Wanita itu memperkenalkan diri dan menghulurkan salam. Kelam kabut Aisha mencampakkan sandalnya ke bawah. Cepat dia menyambut huluran salam itu. Yalah, dari tadi dia dok ralit perhatikan wanita itu dan tanpa sedar tangan wanita itu dah terhulur ke arahnya.

"Aisha."

"Aisyah?"

Aisha mengangguk dua kali.

"Sama dengan nama si kecik ni." Dhuha menunjuk ke arah kanak-kanak perempuan tadi.

"Oh, ya?" Aisha memandang kanak-kanak yang comel berbaju kurung merah jambu itu. Rambutnya diikat dua di sebelah kiri dan kanan. "Hai, Aisyah..." Aisha melambai kecil pada Aisyah yang malu-malu melihatnya.

Dhuha tersenyum cuma melihat telatah anaknya yang pemalu.

"Berapa bulan dah ni?" tanya Aisha sopan sambil mengisyaratkan pada perut Dhuha. Cuba membangkitkan perbualan dengan tetamu itu. Yalah, takkan nak diam saja? Tetamu kan perlu dilayan dengan baik?

Sampai Bila? [2014]Where stories live. Discover now