Bab 12

1.6K 72 0
                                    

SEPERTI BIASA, Aisha bertandang lagi ke rumah mama. Walaupun secara keseluruhannya barang-barang hantaran dah siap digubah, dia tetap datang juga. Dah biasa mungkin. Sebab sepanjang dua minggu lepas, memang itulah rutinnya. Balik saja kerja terus singgah di rumah mama. Kemudian apabila hampir pukul 9.00 malam barulah dia balik ke rumah Qhalid. Nasib baik kawasan di rumah mama ini banyak teksi. Tapi kadang-kadang Nura rajin saja untuk menghantarnya balik.

Hari ini, Nura mahu menunjukkan padanya baju pertunangannya yang dah siap dijahit. Untung sungguh Nura. Kawannya sendiri memang membuka sebuah butik pengantin. Nura mendapatkan khidmat kawannya itu. Atas nama kawan, harga yang diberi oleh kawan Nura itu sangat berpatutan!

Sampai saja di rumah mama, terus dia memberi salam. Mama yang sememangnya dah maklum dengan kedatangannya itu, hanya menjawab perlahan salamnya. Selalunya kalau dia datang mama akan mengelak untuk bertembung dengannya – sama ada mama akan berada di dapur atau di dalam bilik. Tapi entah kenapa hari ini mama tak 'lari' pun daripada dia.

Pelik.

Tak mahu digelar kurang sopan, terus dia hulurkan tangannya pada mama untuk bersalam. Seperti biasa, mama hanya menyambutnya secara bersahaja. Dia tak kisah pun. Dia dah biasa. Terus dia menjenguk ke arah dapur untuk mencari Nura.

"Nura kat atas." Tanpa nada mama memberitahu. Terkejut jugalah Aisha apabila mama bercakap dengannya walaupun ketika itu mata mama masih ke kaca TV. Dia tak tahu mahu bereaksi bagaimana. Akhirnya dia cuma menggangguk. Terus dia menaiki anak tangga ke tingkat atas.

Semasa dia masuk ke bilik Nura, dilihatnya gadis itu sedang meniarap di atas katil sambil menatap laptop. Melihatkan Aisha sudah sampai, terus Nura menyapanya.

"Akak!"

Aisha hanya senyum. Dia melangkah ke katil Nura dan meletakkan beg tangannya di atas katil itu. Dia melabuhkan duduk di birai katil. "Mana bajunya?"

"Orang tunggu akak datang la. Kejap orang ambik." Laju saja dia bangun lalu menuju ke almari di sudut bilik itu. Sebaik saja dia mengeluarkan satu baju kurung moden yang masih berbungkus plastik, terus dia tersenyum sambil menyuakan baju tersebut ke arah Aisha. "Cantik tak?"

"Pakai la dulu. Baru la nampak cantik ke tak," usul Aisha.

Nura terus bersetuju. Dia menukar t-shirt dan seluar yang dipakai kepada baju pertunangannya. Dia malas nak masuk ke bilik air semata-mata untuk menukar baju itu. Selang beberapa minit, dia berpaling semula. Dia baru nak bertanya kepada Aisha...

Tapi apabila melihatkan Aisha dah terbaring di atas katilnya, dia mendekati kakak iparnya itu. Dan akhirnya dia ketawa sendiri apabila menyedari yang Aisha sebenarnya tertidur. Kasihan sungguh kakak iparnya. Mesti penat.

QHALID MENJELING JAM DI TANGAN. Hampir pukul 8 malam. Dia sempat solat Maghrib di pejabat tadi. Dan sekarang ini dia berada di depan pagar rumah mama. Dia lapar sebenarnya. Sebab itulah dia singgah sekejap di rumah mama ini. Dia dah malas nak makan di luar. Kalau dia balik ke rumahnya pun, sama saja. Bukannya ada orang yang rajin nak masak pun. Aisha pun tak pernah masak untuk dia, kecuali semasa Rafi dan Awin datang dulu. Jadi, lebih baik dia datang sini saja. Senang.

Semasa dia masuk ke pintu utama, dia melihat mama dan ayah sedang menonton TV di ruang tamu. Terus dia mendekati kedua orang tuanya itu setelah memberi salam.

"Eh, Led?" Ayah sedikit terkejut dengan kehadirannya. Tangan yang dihulur Qhalid disambut untuk bersalam.

"Dah makan?" tanya mama prihatin.

Qhalid sengih. "Mama masak apa, ma?" Tali leher yang sememangnya dah dilonggarkan tadi, terus ditarik melepasi leher. Dia ada meeting dengan kontraktor tadi, sebab itu dia memakai tali leher hari ini. Kalau tak, jangan harap dia nak pakai. Dia menggenggam tali leher kelabu itu di tangan kanannya yang turut memegang kunci kereta. Hujung kemeja putihnya dah selamat keluar dari pinggang seluar.

Sampai Bila? [2014]Where stories live. Discover now