BAB 3

257 9 1
                                    

"SAH! Aku rasa memang betul tempat ni."

Raihana berdiri di depan sebuah bangunan yang sederhana gahnya di antara bangunan yang ada di sekelilingnya. Tak berkelip matanya memandang. Dipandang lagi aplikasi Google Maps di tangannya dengan dahi berkerut.

Kalau tak silap, memang inilah Takeshi Design Studio yang pernah disebut Harraz dulu. Terletak di Ginza, berhampiran dengan sebuah pusat beli-belah terkemuka.

Ya, dia pergi berjumpa Harraz sekali lagi. Lelaki yang cuba dielaknya sebelum ini.

Bangunan tinggi berpuluh tingkat itu dipandang lagi oleh Raihana dengan rasa berbaur. Tidak pasti apakah betul tindakannya itu. Dia tidak ada nombor telefon Harraz, jadi sukar untuknya menghubungi lelaki itu.

Mujurlah dia masih ingat Harraz ada menyebut nama syarikat tempatnya bekerja sewaktu pertemuan pertama mereka di Shinjuku dulu. Sebenarnya Raihana tidak mahu mengganggu lelaki itu, tapi dia tiada pilihan.

Harraz menapak keluar dari ofisnya.

Raihana yang perasan cepat-cepat menyorok di sebalik dinding. Topeng mukanya yang berwarna putih dibetulkan. Dinaikkan ke paras bawah mata bagi mengelakkan penyamarannya itu terbongkar. Langkah Harraz diekori dengan berhati-hati.

Langkah kakinya semakin laju. Tidak mahu lelaki itu perasan. Lantaklah apa hendak jadi pun. Dia sudah nekad.

Sebaik lelaki itu membelok di sebuah kaki lima, Raihana tercari-cari. Pening dirinya. Ke mana pula Harraz ni? Tadi ada di depan matanya. Tak sampai beberapa saat, lelaki itu lesap entah ke mana.

Raihana terus berjalan ke depan. Bahunya nyaris terlanggar seseorang. Langkahnya terhenti di selekoh itu. Raihana memerhati sekelilingnya. Dia berpusing. Bulat matanya sebaik terpandang Harraz sedang tercegat di belakangnya sambil berpeluk tubuh. Lelaki itu merapatinya.

Raihana mula rasa berdebar. Sedar dirinya tertangkap oleh lelaki itu. Memang silap besarlah! Dia begitu yakin dirinya tidak mungkin tertangkap tadi.

"Awak ni..." Harraz bersuara curiga.

Matanya dikecilkan. Dipandang gadis yang berjaket denim dan berkasut but hitam itu atas dan bawah.

"Kita pernah jumpa kan sebelum ni?"

Raihana diam membisu seribu bahasa. Dia memejamkan mata seketika. Ketika itulah, Harraz menarik topeng muka yang dipakai Raihana ke bawah, menampakkan seluruh wajahnya.

Berkerut dahi Harraz. Satu keluhan dilepaskan. "Hana?"

Mata Harraz merenungnya tajam.

Raihana yang tergamam terus berpura-pura. Dia mengangkat telunjuknya ke arah Harraz. Tubuh tegap lelaki itu dipandangnya dengan muka yang sengaja diceriakan.

"Eh, ini Harraz kan? Tak sangka pula kita boleh jumpa dekat sini."

"Awak ikut saya ke tadi?" Harraz menyoal serius.

Kata-kata Raihana tidak dihiraukan. Dia kembali berpeluk tubuh.

"Erm, mana ada saya ikut awak. Saya pun kebetulan lalu dekat kawasan ni."

"Kebetulan?" Lelaki itu merapatinya.

Hai, bukan ke hari tu dia beria-ia lari daripada aku? Macam pelik pun ada perempuan ni, fikir Harraz.

"Yup, kebetulan." Raihana berundur setapak ke belakang.

Dia tidak sedap hati dengan renungan Harraz yang semacam. Harraz seperti mengesyaki sesuatu. Matilah aku.

"Awak nak apa daripada saya Hana? Mana awak tahu ofis saya dekat sini?" Harraz bertanya.

Raihana terdiam.

KUPILIH HATIMUWhere stories live. Discover now