BAB 2

396 12 0
                                    

RAIHANA terus menelefon kawannya itu, namun masih tidak berjawab. Dia sudah menggelabah. Dalam keadaan kelam-kabut, dia menggeledah habis tas tangannya demi memastikan kesemua barang pentingnya ada, tanpa menyedari pasportnya telah tercicir tadi.

Dikeluarkan nota kecilnya lalu tanpa sedar dompetnya pula terjatuh di atas lantai. Raihana terus berjalan ke depan sambil memasukkan semula notanya itu ke dalam tas tangan.

Aduh, kenapa Shida tak jawab telefon aku dari tadi ya? Raihana memegang kepala yang sudah pening. Melilau dia mencari kelibat kawannya itu. Kutlah bateri handphone Shida mati ke.

Sekali lagi dia mendail. Apa yang memeranjatkan, nombornya telah disekat secara tiba-tiba. Berderau darahnya. Bodohnya aku! Macam manalah aku boleh percaya dengan dia sebegitu mudah?

Raihana dapat rasa Shida sengaja menipunya. Shida hanya mahukan duitnya. Dia begitu sedih kerana Shida tergamak memperlakukannya begini. Hidup-hidup dia ditipu Shida!

Kononnya hendak mencari ketenangan di sini. Sudahnya, dia ditipu kawan sendiri.

Padahal Shida sudah berjanji untuk menemuinya di depan tourist information centre di stesen ini. Segala perbelanjaan seperti makan minum dan penginapan boleh dijimatkan, memandangkan dia akan tinggal di rumah sewa Shida yang turut menumpang bersama kawan-kawan yang lain.

Dalam dia tengah berkira-kira, dia terfikir untuk melihat berapakah lagi wang tunai yang ada di dalam dompetnya. Mungkin dia perlu mengeluarkan duit daripada akaun banknya dari ATM berhampiran.

Sekali lagi Raihana terkejut. Mana pulak dompet aku ni?

Rasanya tadi memang ada di dalam tas tangannya. Habis digeledahnya, namun tak berjumpa. Raihana terpaksa membuka beg berodanya tanpa mempedulikan pandangan orang sekeliling yang lalu-lalang di situ.

Semuanya habis diselongkar. Di celah-celah pakaian pun tiada. Dia berpusing-pusing di sekitarnya, mencari dompetnya, namun ia langsung tak kelihatan.

Wajah Raihana bertukar pucat lesi bersama degupan jantung yang berdetak laju. Tanpa berlengah lagi, dia terus menuju ke pejabat kecil berhampiran bagi membuat aduan dompetnya yang hilang. Raihana sempat memberikan nombor telefon yang boleh dihubungi kepada salah seorang pegawai beruniform putih.

Cuma satu saja masalahnya sekarang. Dia langsung tak berduit.

Apa aku nak buat ni? Raihana mulai panik. Sudahlah dia tak kenal dengan sesiapa pun. Dia keseorangan. Dengan siapa dia nak minta pertolongan?

Nak patah balik Malaysia, semuanya perlukan duit.

Tak! Aku tak boleh balik Malaysia. Aku malu dengan umi. Kalau umi dapat tahu, mesti umi lagi mengamuk. Fikirannya terarah kepada seseorang.

Harraz! Mungkin Harraz boleh tolong aku.

Raihana terus menapak laju mencari lelaki itu. Tadi beria-ia dia tergesa-gesa keluar dari shinkansen sebab nak lari daripada Harraz. Malu dia dengan gaya Harraz yang terlebih ramah itu. Macam nak mengurat dia pun ada. Tapi sekarang lain pula ceritanya. Hatinya meronta-ronta mahu meminta pertolongan daripada lelaki itu.

Matanya meliar. Terasa berpeluh satu badan walaupun cuaca dingin ketika itu. Alamak! Raihana menggigit bibir bawah. Mana Harraz ni?

Hah, tu dia!

Mujurlah lelaki itu berdiri tidak jauh daripadanya. Harraz berpusing-pusing berhampiran dengan konbini. Gayanya seperti sedang mencari sesuatu. Meliar matanya ke sekeliling sambil bercekak pinggang. Sesekali lelaki itu meraup muka dengan sebelah tangannya.

KUPILIH HATIMUWhere stories live. Discover now