BAB 5

186 6 0
                                    

JAUH juga Raihana menapak ke sebuah hotel bajet berhampiran dengan pejabat Harraz di sekitar Ginza. Kelihatan beberapa orang pejalan kaki sedang melalui lorong sempit itu.

Tiba-tiba Raihana jadi tidak sedap hati pula. Patutnya dia terima saja pertolongan yang dihulurkan Harraz tadi. Nampak lelaki itu ikhlas mahu membantunya. Tiada langsung riak macam nak ambil kesempatan.

Tapi, dia ini perempuan. Masakan dia nak tinggal menumpang di rumah Harraz? Tak manis rasanya.

Raihana terdengar bunyi derap langkah seseorang mengekorinya dari belakang. Dia berpusing. Seorang lelaki berbangsa Jepun sedang berjalan dan melalui lorong itu dengan sut lengkap gaya macam baru balik daripada kerja. Bau arak menusuk ke rongga hidung. Lelaki itu berjalan terhuyung-hayang.

Raihana mempercepatkan langkahnya supaya dapat menjauhi lelaki mabuk itu. Suara lelaki itu sesekali kedengaran menampar deria telinga. Raihana makin tak sedap hati. Harap-harap bukan anggota yakuza.

Raihana pernah dengar cerita tentang ahli kongsi gelap dalam kalangan masyarakat Jepun yang menakutkan itu. Kalau jumpa perempuan cantik, pasti nak dirogolnya. Tambah seriau Raihana dibuatnya.

Sudahlah cuaca malam ini semakin lama semakin sejuk. Sejuknya kian mencengkam ke tulang sumsum. Menggigil Raihana yang hanya mengenakan jaket denim. Dia memeluk tubuh dan langkah kaki diayun entah ke mana.

Ketika Raihana berpusing, lelaki itu sudah tiada. Lesap entah ke mana. Tiba-tiba, lengannya terasa direntap seseorang. Terperanjat dia sebaik berpusing. Lelaki mabuk tadi tersenyum kepadanya. Degupan jantungnya mula berdetak kencang!

"Eh, apa ni?!"

Akibat terlampau panik, Raihana boleh tercakap Melayu pula. Padahal lelaki itu bukannya faham sepatah haram pun.

Lelaki itu tidak menjawab. Raihana berusaha merentap tangannya. Pautan itu semakin kuat.

"Tasukete (Tolong)!" jerit Raihana.

Malangnya, tiada sesiapa di situ. Bau arak semakin membuatnya tak selesa. Raihana berusaha meloloskan diri. Lelaki itu nampaknya masih tidak sedar. Raihana semakin takut. Begnya dijatuhkan ke bawah.

"Hana!" Suara Harraz kedengaran bertempik kepadanya.

Harraz meluru ke arahnya dan lelaki itu. Raihana membulatkan mata sebaik terpandang kehadiran Harraz. Harraz mengekori dia ke tadi?

Serta-merta Harraz merentap pegangan tangan lelaki itu daripada Raihana. Dengan muka serius, Harraz terus menarik tangan Raihana supaya menjauhi lelaki tersebut.

"Awak tak apa-apa ke?"

"Kejap! Beg saya."

Raihana melepaskan pegangan tangan mereka. Cepat-cepat dia mencapai semula begnya dan disangkutnya ke bahu. Raihana menghampiri Harraz yang masih tercegat di situ.

Lelaki tadi tidak mengendahkan mereka. Sebaliknya, dengan langkah terhuyung-hayang dan suara yang tak jelas, lelaki itu melangkah pergi dari situ.

Raihana menghela nafas lega. Dia beralih dan memandang Harraz. Sekali lagi dia terhutang budi dengan lelaki itu. Hati Raihana tiba-tiba terasa sesuatu. Dipandangnya raut Harraz yang tampan, namun tampak serius itu.

"Thanks Harraz."

"Awak tau kan bahaya awak jalan sorang-sorang dekat sini. Nasib baik saya ikut awak tadi."

"Setahu saya, Jepun ni negara yang selamat."

Harraz menggeleng dengan jawapan selamba Raihana.

"Memanglah. Tapi, macam mana pun kita tetap kena berjaga-jaga."

"Saya dah tak tau nak ke mana, Harraz." Perlahan suara Raihana.

"Dah, jomlah. Awak ikut saya balik ke apartmen saya."

"Tak apa ke?"

"Habis? Awak nak saya biarkan awak lepas apa yang terjadi tadi? Macam tu?"

Raihana berfikir sejenak. Betul juga tu. Dia nak tidur hotel pun dengan duit yang dia ada sekarang, esok atau lusa terus licin. Tak sempat nak tunggu dapat kerja lain. Dengan dompetnya yang masih hilang, pening kepala Raihana memikirkannya.

"Baiklah Harraz. Saya err... tumpang apartmen awak sekejap ya."

Harraz mengangguk setuju.

"Awak boleh tumpang tinggal seberapa lama pun yang awak nak. Sampai awak dapat kerja lain. Saya tak kisah pun." Harraz senyum.

Raihana mendiamkan diri. Dia mengekori langkah lelaki itu dengan rasa bercampur baur.

"Terima kasih Harraz. Kalau awak tak ada, saya tak taulah apa jadi agaknya."

"Sama-sama," balas Harraz dengan senyuman.

Raihana akhirnya bersuara. Perut Raihana tiba-tiba berbunyi. Raihana memegang perutnya lalu tertunduk malu. Dia mengetap bibir. Alamak, Harraz dengar ke?

"Awak dah makan?"

Senyuman Harraz makin lebar. Dia tak pandang pun muka Raihana.

"Err... belum," jawab Raihana lambat-lambat.

"Kita makan dululah kalau macam tu. Dekat apartmen saya tu bukan ada apa pun. Awak faham ajelah rumah orang bujang macam mana."

"Oh..."

"Awak nak makan apa-apa tak?"

"Saya tak kisah. Kalau singgah konbini pun saya beli onigiri aje."

"Kenyang ke? Atau awak nak ikut saya makan di satu tempat?" Harraz kerling Raihana.

"Kat mana?"

"Area Shibuya. Kita makan daging wagyu."

"Maafkan saya Harraz. Saya tak ada duit sangat sebenarnya."

Harraz menahan senyuman dalam hati. Hai, dah lapar macam tu pun tak mahu mengaku lagi. Cukup ke setakat makan onigiri?

"Tak apa, saya belanja."


"HARRAZ, awak tinggal sorang aje ke dekat sini?" tanya Raihana.

Dia makan dengan penuh berselera sambil memandang daging wagyu yang berada di atas pemanggang di depan mereka. Berasap satu kedai. Sesekali Raihana menghirup teh hijau panas dengan rasa lega yang teramat sangat.

"Yup."

"Betul ni awak tak ada kawan-kawan lain yang tinggal sekali dengan awak?"

"Betul. Awak jangan risau. Kalau tak, tak adalah saya confident nak ajak awak tinggal sekali dengan saya. Lagipun awak cakap sekejap aje kan?"

"Sekejap apa?"

"Yelah, sekejap aje kan awak tinggal dekat apartmen saya tu."

"Ha'ah. Dah dapat kerja lain, saya akan cari apartmen lain."

Harraz mengangguk mendengar jawapan Raihana.

"Awak betul-betul buat saya risau tadi."

"Kenapa?"

"Entahlah. Saya jadi risau bila tengok awak jalan sorang diri keluar dari ofis saya. Tu yang saya nekad ikut awak," kata Harraz sambil angkat bahu.

Raihana tersenyum kecil.Dia memasukkan sekeping daging ke dalam mulutnya dan mengunyahnya. 

KUPILIH HATIMUWhere stories live. Discover now