BAB 14

387 10 1
                                    

HARRAZ menjawab panggilan sebaik saja tiba di tingkat bawah apartmennya. Suara itu amat dikenalinya. Siapa lagi kalau bukan sepupunya. Lukman Arez. Sudah lama rasanya mereka tak bertemu kerana sibuk dengan pengajian masing-masing.

"Bro! Apa cerita sekarang?" Suara Lukman yang ceria menampar telinganya.

Harraz tersengih. "Aku okey. Kau pula apa cerita?"

"Tak, bukan tu maksud aku."

"Dah tu?" Dahi Harraz berkerut.

Lukman sudah tergelak-gelak di hujung sana. Pelik Harraz mendengarnya. Hai, lain macam saja.

"Kau masih teruna lagi ke?"

Gulp! Terbeliak mata Harraz. Lukman ketawa besar. Biul betul kepala sepupunya yang seorang ini.

"Apa punya soalan kau ni? Kau... kalau tak mengarut dalam satu hari tu tak boleh ke?"

"Manalah tau kut dah tinggal jauh daripada keluarga. Aku tau... awek dekat sana cun-cun kan?"

"Heh, tak kuasa aku nak layan kau!"

"Come on Harraz. Aku saja nak usik kau. Hei, relakslah!" balas Lukman dalam tawa yang masih bersisa.

Harraz menggeleng, tidak faham dengan kerenah sepupunya. "Kau dekat mana ni?"

"Kau rasa aku ada kat mana sekarang?"

Harraz angkat kening. "Celah ketiak mak kau kut?"

Sekali lagi meletus tawa sepupunya itu. Kali ini Harraz turut gelak sama. Mereka berdua sememangnya begitu sejak kecil. Sama-sama sempoi. Disebabkan itulah Harraz dan Lukman boleh rapat. Sudah macam adik-beradik.

"Siotlah kau ni Harraz. Aku tengah hiking ni."

"Kat mana?"

"Everest."

"Mak aih, biar betul? Luke, sejak bila pulak kau pergi hiking dekat sana?"

"Sejak aku drop medic school dekat Rusia lagi. Aku dah lama rancang nak jejak kaki kat Everest ni. Kalau kau nak tahu Harraz, inilah impian yang aku idamkan selama ni. Sekarang, aku dah bebas," jawab Lukman selamba.

Harraz dah agak. Sepupunya yang muda dua tahun saja daripadanya itu pernah bertanyakan pendapatnya tentang keinginannya untuk berhenti belajar medic. Lukman masih lagi di awal pengajian. Disebabkan itu Lukman tidak kisah agaknya.

Tapi, kalau benar sepupunya itu sudah tidak berminat, lebih baik dia berhenti dari sekarang. Tidaklah terlalu rugi dari segi masa dan kos. Cuma, Harraz tak sangka pula sepupunya benar-benar nekad untuk berhenti belajar.

"Banyaklah kau punya impian. Heh! Habis, mak long dengan pak long tau tak yang kau ada kat sana?"

"Tau..." Kata-kata Lukman terhenti.

"Dah tu?"

"Harraz, ini Luke. Luke Skywalker okey."

"Kau ni macam tak menjawab soalan aku aje. Lain yang aku tanya, jauh pulak kau pergi merepek meraban."

"Diorang mengamuk gila kau tau? Hari tu masa aku call mak aku, cakap aku nak berhenti dari sekolah perubatan tu, terus dia menangis. Aku bagitau ajelah benda betul. Buat apa nak sorok?"

Harraz menggeleng perlahan. "Memanglah. Yang kau gatal nak berhenti tu kenapa?"

Lukman mengeluh di hujung talian.

"Kau tau kan bro, aku tak minat dengan jurusan kedoktoran ni. Baik aku habiskan masa layan hiking. Weh, bro, aku nak sambung hiking ni dulu kejap. Nanti aku call kau balik." Talian terus diputuskan.

"Nantilah dulu kut ya pun. Luke... Luke!" Harraz melihat telefon bimbitnya.

Hai, dia boleh berhenti macam tu aje? Tak faham betul aku dengan si Luke ni. Apa nak jadilah.


Hana...

KIRIMAN WhatsApp itu dibaca. Benci betul Raihana saat ini. Untuk apa Izzat menghubunginya lagi?

Hmm, nak apa?

You kat mana sekarang?

Dekat rumah famili I. Ada apa hal you WhatsApp I?

You tak payah nak tipu I, Hana. Baik you terus terang dengan I you ada kat mana.

Betul, I ada kat rumah umi. Yang you sibuk sangat nak tahu ni kenapa? Pergilah berseronok dengan makwe baru you tu.

Baru puas hati Raihana dapat menyindir begitu. Dalam masa yang sama, masih terasa kepedihan semalam.

Hana, I minta maaf okey pasal tu. I tahu I salah. Hana, kan I dah bagitau yang I dah takde apa-apa lagi dengan Azira.

Raihana mencebik.

Oh, sekarang dah takde apa-apa pula ya? Sebelum ni, bukan main lagi di belakang I you tipu dan bawa perempuan tu ke hulu ke hilir. Ada you fikir pasal I? Bila dah kantoi baru nak mengaku. You curang, Izzat! I benci lelaki curang dan penipu macam you!

Please Hana. I betul-betul minta maaf. Bagilah I peluang.

Tak Izzat! I takkan bagi peluang lagi kepada you. Cukuplah.

I masih sayang you, Hana.

Kita dah takde apa-apa hubungan lagi, faham! Jangan ganggu I lagi!

Okey, kalau macam tu, I nak you bayar balik duit lima ribu tu. No matter what. Kalau tak, I akan jejak you sampai dapat!

Raihana menggigit bibirnya. Tambah sakit hatinya bila Izzat tak habis-habis meminta semula duit yang dipinjam itu. Tak sedar diri betul! Huh, dia yang berhutang dengan kita, boleh pula dia selamba buat muka tak malu. Tak risau ke Izzat dengan ugutannya sebelum ini?

Macam mana you nak tau I ada kat mana?

Banyak sumber yang I boleh dapat. Hana, you jangan fikir you boleh larikan diri daripada I macam tu aje. Ingat, I nak semula duit I tu!

Raihana tidak membalas lagi. Dia termenung sejenak menghadap dinding apartmen yang menjadi tempat penginapan sementaranya itu. Tangannya yang memegang iPhone dijatuhkan ke sisi. Berapa lama lagi masa yang tinggal untuk berada di sini?

Tidak mungkin dia mampu hidup di sini tanpa bekerja. Raihana harus melakukan sesuatu. Dia berfikir mahu lari ke mana lagi. Raihana tak sanggup menghadap umi dan kakak tirinya.

Selama ini pun hanya dia saja yang menganggap Fira sebagai kakak yang cukup dihormatinya. Tapi, dia sedar layanan Fira terhadapnya pula bagaimana. Ah, dia tak sanggup nak kembali dan tinggal bersama keluarganya itu.

Sampai bila dia harus menjadi pelarian di rantau orang?Raihana menyeka air matanya yang mula merembes keluar. Dia telah gagal!

DAPATKAN NOVEL KUPILIH HATIMU DI PASARAN.
PENGHANTARAN PERCUMA​.

🍀Untuk melanggan
http://www.wasap.my/+60132588069
http://www.wasap.my/+60132588069
http://www.wasap.my/+60132588069​​

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Aug 04, 2020 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

KUPILIH HATIMUWhere stories live. Discover now