*Mukadimmah*

221 9 0
                                    

Bumi yang kita kenali sudah tiada lagi. Sementelah dari zaman yang penuh kebencian dan peperangan, manusia telah meninggalkan Bumi kerana tidak mahu menerima bala yang bakal ditimpa oleh Tuhan. 

Mereka yang berkemampuan telah lari dengan menaiki kapal-kapal angkasa, meninggalkan sebahagian besar manusia yang tidak bernasib baik ditimpa ribut meteor. Batu-batu api dari langit telah melenyapkan segala peradaban yang kita kenali, menyelimuti angkasa dengan asap dan api dan memaksa manusia untuk menyorok jauh ke dalam kerak Bumi. Berakhirlah sebuah era manusia yang mereka namakan Dunia Lama.

Namun manusia terkenal dengan kedegilannya. Mereka tidak mahu mengalah dan berputus-asa. Mereka yang terselamat membentuk masyarakat yang hidup bawah tanah sehingga udara dan permukaan bumi selamat untuk didiami semula. 

Tiada catatan yang merekodkan berapa lama mereka tinggal di bawah matahari tiruan yang mereka cipta, tapi cukup lama sehingga membawa perubahan fizikal.

Apabila mereka keluar semula ke permukaan bumi, fizikal mereka kini lebih kecil. Anak mata mereka merah seperti saga. Rambut mereka putih kekelabuan. Begitu juga dengan rona kulit mereka. Mereka menamakan diri mereka manusia Passac dan dengan teknologi kuno yang diwarisi dari nenek moyang mereka, mereka cuba membina semula tamadun gemilang yang hilang. 

Ribut meteor yang melanda meninggalkan keindahan disebalik kekacauan. Pelbagai jenis kristal dan mineral pelbagai warna melata di Bumi dan diyakini tesimpan keistimewaan tersendiri. Berkat tinggal lama di dalm Bumi, manusia Passac lebih sensitif dengan alam dan segelintir mereka dapat memahami dan memanipulasi tenaga yang tersimpan di dalam kristal-kristal ini. 

Golongan ini digelar Maegea dan diberi kepercayaan untuk memimpin manusia ke arah kemakmuran dan keamanan.

Tapi keamanan yang mereka kecapi tidak bertahan lama. Manusia yang mengembara ke angkasa telah kembali tanpa diundang. Mereka yang menamakan diri mereka manusia Koloni telah menuntut hak untuk tinggal semula di bumi. Dendam kesumat diungkit semula dan penumpahan darah berlaku sekali lagi.

Perang besar ini berlanjutan sehingga tiga kali pusingan lengkap orbit bumi. Kemuncaknya apabila segelintir manusia Koloni mahu yang melancarkan bom-bom nuklear ke arah bumi. Puak Eaxtari, mereka rasakan tiada yang lebih layak tinggal di Bumi berbanding mereka. 

Mujur masih ada manusia Koloni yang berfikiran rasional. Perselisihan pendapat membawa kepada perang saudara di angkasa. Akhirnya, rancangan pelancaran bom nuklear terhalang dan puak Eaxtari telah dihalau sehingga ke Planet Merah.

Bibit ini telah membawa kepada penyatuan dua manusia, Passac dan Koloni mewujudkan manusia Deuterra dan tahun tersebut digelarkan sebagai Tahun Bumi Baru 01 (TBB-001). 

Penyatuan ini sangat menguntungkan kedua-dua belah pihak terutamanya dari segi perkongsian teknologi. Manusia Koloni yang sangat pakar dalam teknologi telah mencipta alat yang mampu menyedut tenaga dari mineral dan kristal secara efisyen. 

Dan ini tidak menyenangkan golongan Maegea yang rata-rata merasakan pembentukan Deuterra tidak menguntungkan mereka dan melemahkan penguasaan mereka. Namun mereka tidak terbuka menentang dan lebih bergerak secara subversif, membiarkan manusia menikmati keamanan dan kesenangan, sehingga masa yang sesuai.

Kini 115 tahun era Deuterra pun berlalu...

Penjejak KristalWhere stories live. Discover now