TBB 115, era Deuterra. Hutan Santia Zeneza.
"Woi! Cepat la!" jerit Roc.
Balder segera menjengah ke bawah. Kelihatan rakannya sedang melambai-lambai tinggi sebelum bergerak pantas menuruni bukit. Mata Balder kembali melilau mencari ruang untuk dipijak selesa sebelum menghembus lelah. Dia mendongak melihat laluan yang mereka daki turun sambil mengesat peluh yang membintat di dahi.
"Tak pernah aku turun bukit macam ni punya susah. Boleh pula, dia lepak je turun macam jalan kat pasar!" keluh Balder. Kering dalam tekaknya menjadi-jadi. Segera dia mengambil botol air yang tersimpan di sisi beg. Berdeguk-deguk Balder mereguk air dengan rakus, mengharapkan ia bisa melunaskan haus dan juga lapar. Dia sebenarnya sudah lewat makan tengahari kerana termakan pujukan rakan karibnya yang berjanji untuk menunjukkan sebuah lokasi rahsia.
"Balder!" Roc melaung lagi, "Kau buat apa lagi tu? Cepatlah!"
Kali ini Roc sudah lebih jauh ke bawah, sedang bercekak pinggang menunggu Balder. Apa yang memisahkan mereka adalah benda yang sama yang Balder lalui sejak dari tadi, laluan curam yang berselirat dengan akar pokok. Jika tersilap langkah, dia boleh tersadung lalu jatuh bergolek-golek sehingga ke bawah bukit. Mungkin ia satu cara yang lebih pantas untuk sampai.
Tapi dia tidak sanggup merasai kesakitan dan pulang dengan luka-luka. Mahu tidak mahu, dia perlu menuruni bukit itu dengan berhati-hati sambil cuba mengejar rakannya.
"Roc. Kau turun bukit ni, tak boleh lagi laju?" sindir Balder sebaik sahaja dia mendapatkan rakannya yang sedang duduk di atas batu berlekuk. Roc hanya menyeringai senyum tidak mempedulikan sindiran rakannya yang lelah kepenatan.
Walau sudah mengenali Alzroc – atau lebih mudah dipanggil dengan nama Roc – sejak sekolah rendah sehingga di Akademi, rakannya itu masih lagi seorang yang bertenaga sepanjang masa dan adakalanya nakal.
Cuma anak matanya merah seperti delima berkilat, padan dengan warna rambutnya yang merah keperangan itu.
"Tu la, lain kali hidup kena aktif sikit! Aku dah biasa masuk hutan ni," bebel Roc seraya bangkit mengibas-ngibas punggung. Muka Roc langsung tidak kelihatan penat bahkan ceria. Berbanding dengan Balder, wajahnya berkerut penat dan berpeluh seperti kerbau jantan. Tidak padan dengan dirinya yang sedikit besar dan tinggi dari Roc.
"Jauh lagi ke?" Balder mengeluarkan sekeping kaca bersaiz tapak tangan dari kocek seluar dan memegangnya di bucu supaya mendatar. Serta-merta peta kawasan sekitar mereka dipancar secara hologram, terapung di antara mereka.
"Kita dah jauh dari kelas kita ni! Sempat ke kita nak patah balik?" Balder menjerit kecil, dia kerisauan melihat lokasi titik merah yang terpancar. Itu ialah kedudukan kumpulan kelas mereka, sedang mereka sudah jauh ke bawah.
"Tempat tu lebih kurang kat sini," tuding Roc ke arah satu kawasan yang jauh lebih bawah.
"Share je la lokasi tempat ni. Syncpad kau kan link dengan aku punya? Boleh la aku perlahan-lahan turun bukit ni bila kau tinggalkan aku." gumam Balder. Roc hanya ketawa kecil lalu menggeleng.
"Tak nak la. Dah nama pun lokasi rahsia. Aku tak simpan dalam Syncpad aku pun, nanti semua orang dapat tahu nanti!" kata Roc sambil bangun dari duduk.
"Habis, macam mana kau tahu mana nak pergi?"
Barisan gigi Roc dari tadi tidak pudar. Jarinya menuding ke arah batu yang dia duduk tadi. "Penanda."
"Huh?"
Balder melihat pada batu berkenaan. Ianya mempunyai bucu-bucu tajam yang bergeriji dan di tengahnya lekuk seperti sebuah kerusi. Lebih menarik perhatian, ia satu-satunya batu yang ada di lereng bukit ini selain batang-batang pokok yang menjulang ke langit.
"Dari batu ni, ke arah matahari terbenam pula," ujar Roc lalu mula menuruni bukit. Bibir Balder terherot apabila dia mendengar teka-teki Roc. Penatnya masih berbaki tapi dia tidak mahu ketinggalan seperti tadi.
"Kalau tak best, siap kau!" teriak Balder termengah-mengah.
"Kalau tak best, aku pun tak tunjuk kat kau!" balas Roc tanpa menoleh. Mereka meneruskan lagi perjalanan mereka menuruni bukit. Balder merasakan masa berjalan dengan begitu perlahan sekali walaupun baru lima minit sahaja berlalu.
Perutnya berteriak lapar. Mindanya membayangkan bekal roti berintikan daging kisar berempah, bersoskan tomato yang dibawanya dalam beg galas. Merayu meminta-minta diri mereka dimakan. Pada masa yang sama juga, dia tidak boleh mengalah. Mengenali Roc, jika ada rahsia yang dia ingin kongsi, rahsia tersebut pasti sebuah rahsia yang sangat menarik. Seperti mencari kedai yang menjual kristal Neurayn yang jauh lebih murah. Atau memilih ladang buah Eluberi yang paling sedap dan paling sedap di pekan Whabba.
Jadi sudah pasti, perkara rahsia di Hutan Santia Zeneza ini adalah sesuatu yang tidak boleh dilepaskan.
Tidak berapa lama kemudian, Roc mematikan langkah di sebuah pohon tumbang yang hujungnya ke arah bawah bukit. Akar kelihatan sudah lama tercabut dan kulitnya dipenuhi lumut-lumut hijau. Balder terus duduk melepaskan lelahnya di situ, dia mencapai botol airnya dan segera minum sehingga botolnya kering.
"Kita teruskan sekarang?" tanya Balder sambil menutup botol.
"Yup. Sekarang kita luncur!" jerit Roc.
"Huh?" Balder terpinga sekejap, seraya itu Roc terus melompat duduk di atas pohon tumbang lalu gelongsor menghilangkan diri di balik belukar rimbun. Balder melopong tidak percaya.
"Oi Roc kau biar betul!" ternyata ini kerja gila. Tapi hati Balder turut bertingkah, menjerit-jerit agar mengikut jejak Roc. Masih kedengaran jeritan gembira Roc yang masih belum putus. Air liur ditelan keras. Pohon yang condong itu dipanjat. Kedua tangan menahan badan dari menggelongsor terus. Matanya memandang belukar rimbun di depan. Hatinya benar-benar berharap rahsia Roc lebih berbaloi dari terkena selumbar di punggung. Segera dia memejamkan mata dan melepaskan tangan lalu-
"AAAAA!!!"
Segalanya berlaku pantas. Dari deruan angin dan libasan ranting-ranting kecil. Ia merupakan gelungsur yang paling lama pernah dia alami sebelum punggungnya sejuk meluncur di atas air lalu dirinya bergolek-golek di air yang cetek.
Kebasahan dan kebingunan, Balder berdiri sambil memikirkan alasan kenapa bajunya basah. Tapi itu semuanya hilang apabila di hadapannya tersergam gah sebuah mulut gua yang besar.
"Selamat datang, ke gua tanpa nama Hutan Santia Zeneza!"
![](https://img.wattpad.com/cover/216085744-288-k538092.jpg)
YOU ARE READING
Penjejak Kristal
AdventureNovel Ringan Aku yang pertama. Kalau dapat sambutan, memang ada sambungan. Aku open a few babs untuk korang baca dan nilai gaya light novel aku pula. Kalau berminat boleh beli di ebook - https://www.e-sentral.com/book/info/303293/penjejak-kristal B...