Roc dan Balder segera mengikuti langkah Madam Blu. menyelusuri koridor-koridor sunyi dan suram. Mereka bagai rusa masuk kampung kerana mereka tidak pernah sampai ke bahagian yang mereka sedang lalui, memandangkan hanya kakitangan ILA sahaja yang dibenarkan.
Ada juga mereka terserempak dengan kurator-kurator yang lain tapi kewujudan mereka hanya disapa dengan tolehan tanpa makna.
Akhirnya mereka tiba ke sebuah lif kecil.
'Khas untuk pekerja ILA agaknya,' getus Roc sambil melihat Madam Blu mengimbas kad pekerja yang terlekat pada bajunya. Punat nombor 4 ditekan lalu lif berkenaan bergetar-getar naik.
Tiba-tiba mata Roc silau disinari cahaya terang sehingga dia terpaksa menghadang guna tangan. Alangkah terkejutnya Roc dan Balder apabila mata mereka kini dijamu dengan pemandangan atap-atap bangunan di Pekan Whabba dengan jalan-jalan yang membelah di sana sini membentuk jaringan perhubungan buat pengguna.
Tidak berapa jauh di hadapan mereka adalah sebuah bangunan berbentuk kubah diperbuat daripada kaca; Grandomar, sebuah pusat beli-belah yang wujud di setiap bandar dan pekan. Termasuk dengan bangunan Akademi yang kelihatan megah di kaki permandangan sebelah kiri mereka, ketiga-tiganya ialah bangunan paling besar dan tinggi di pekan ini.
'Pekan kecil lebih seronok jika semuanya cukup tanpa bangunan gedabak,' minda Roc teringat omelan Puan Scha satu ketika dahulu.
Langkah mereka diteruskan melintasi sebuah koridor panjang sehingga mereka tiba ke pintu berwarna biru yang bertanda nama Blu Elstur. Madam Blu membuka pintu dan mempersila dua remaja itu untuk masuk.
Hidung Roc berfungsi terlebih dahulu menangkap bau kertas-kertas lama. Tidak hairan lagi kerana di dalam pejabat kecil berkenaan terdapat susunan buku-buku yang meninggi, himpunan kertas-kertas menguning bersepah dengan gulungan lembaran-lembaran lama di dalam kotak-kotak tersusun dan keadaan rak buku yang Roc rasakan mampu membuatkan pakcik angkatnya, Pa'Yah yang pengemas itu menjerit nyaring.
"Maaf, bersepah sikit bilik saya. Kamu tunggu saya kat situ," Madam Blu menuding ke arah satu-satunya meja yang kemas dengan komputer di atasnya. Roc dan Balder menurut sahaja sambil mata mereka meliar-liar melihat pejabat Madam Blu. Ini agaknya realiti hidup seorang kurator ILA.
Masyarakat hanya tahu dan merungut mengenai kelembapan pengetahuan di hujung jari mereka. Walhal mereka boleh sahaja datang ke sini dan mencarinya. Sekurang-kurangnya, kurator seperti Madam Blu tidaklah terperap di pejabat berhari-hari, betungkus-lumus mahu memastikan Y-earn sentiasa dikemaskini mengikut kehendak masyarakat.
Melihat Madam Blu masih belum kembali, Roc membuka beg galasnya dan mengeluarkan kotak kecil mengandungi buah eluberi.
"Wei, kau nak makan kat sini ke?" desis Balder dengan mata terjegil.
"Tak lah, aku nak bagi Madam Blu. Saja nak bagi dia..." Roc meletakkan kotak tersebut berdekatan dengan komputer Madam.
"Aku punya mana?"
"Kau dah banyak kali merasa eluberi gergasi ok? Jangan nak mengada-ngada," Balder mencebik mendengar tingkahan Roc. Kecur juga melihat buah berwarna ungu berkenaan. Bentuknya tidak ubah seperti strawberi dari Dunia Lama. Cuma permukaan buah tersebut mempunyai hablur-hablur kecil seperti disadur dengan gula. Rasanya masam-masam manis, cukup membuatkan mulut terliur apabila mendengar.
Madam Blu kembali dengan membawa sebuah buku bersaiz besar yang perlu diangkat dengan dua tangan. Muka depannya sudah pudar, tulang belakang buku juga sudah koyak-rabak menampakkan himpunan muka-surat yang digam bersama. Matanya kemudian menangkap kehadiran sebuah kotak yang berisi buah eluberi yang besar.
YOU ARE READING
Penjejak Kristal
AdventureNovel Ringan Aku yang pertama. Kalau dapat sambutan, memang ada sambungan. Aku open a few babs untuk korang baca dan nilai gaya light novel aku pula. Kalau berminat boleh beli di ebook - https://www.e-sentral.com/book/info/303293/penjejak-kristal B...