Mulut Balder terlopong melihat kecantikan gua tersebut. Besarnya cukup memuatkan bangunan setingkat. Mulut gua itu perlahan sahaja mengalirkan air membentuk kolam di depannya.
Bahagian atas pintu gua tersebut dan bahagian sekeliling kolam berkenaan dipagari rimbunan pohon menghijau yang tinggi lalu meninggalkan tempat ini redup dan hanya sedikit mentari terik di muka kolam.
Mata Balder tidak berkedip langsung seperti dipukau oleh kecantikan tempat ini. Seperti panorama di Pekan Whabba yang indah kehijauan yang menjadi tumpuan para pelancong. Dia tahu yang Pekan Whabba terkenal dengan kehijauan bukit-bukau, tapi tidak seunik seperti apa yang dilihatnya kini!
"Oii! Sampai jadi patung kawan aku! Kau ok ke tak tu? Kalau ok, jom la kita makan, aku lapar ni!" teriak Roc berhampiran memutuskan lamunan Balder. Balder menoleh ke arah suara Roc yang melambai-lambai ke arahnya. Keindahan tempat tersebut begitu mengasyikkan sehingga dia terlupa yang dia sangat penat dan lapar!
Sebaik sahaja Balder mendapatkan Roc di sebuah batu yang menghampar, mereka mengeluarkan bekal masing-masing lalu mengisi perut. Bekalan yang mereka bawa itu dirasakan begitu nikmat dengan keindahan di sekeliling mereka.
Balder memandang ke arah gua dan sekeliling. Rasanya masih belum dia menikmati pemandangan tersebut. Seekor burung berwarna biru terang melintas berhampiran mereka lalu hinggap di dahan kecil. Dahan itu berhayun perlahan lalu menggugurkan sehelai daun ke kolam. Mata Balder mengekor pergerakan daun yang hanyut mengikut arus kolam yang mengalir perlahan, sehingga ia menghilang di sebalik bongkah-bongkah batu berdekatan.
"Macam mana kau jumpa gua ni?" tanya Balder sambil mengeluarkan Syncpad. Dari peta yang dipancar, tiada tanda kedudukan mereka kerana kekurangan signal. Hanya peta topographi kawasan dengan maklumat yang diambil dari Y-earn. Tiada simbol gua atau tanda anak sungai tidak ditanda.
"Itu rahsia yang aku akan cerita kemudian. Yang penting bila tak bertanda dalam peta, gua ni milik aku!" ujar Roc menyeringai sebelum dia membaham gigitan terakhir bekalnya.
"Janji dengan aku yang kau tak tanda tempat ni dalam Syncpad," pinta Roc dengan mulutnya masih penuh makanan. Balder terangguk-angguk setuju. Jika itu sahaja syarat sahabatnya, dia sanggup penuhi. Roc seorang yang sangat mementingkan janji, apabila berjanji dia tidak akan memungkirinya.
"Eh, habis dah air aku," Balder menepuk dahinya sebaik sahaja mengambil botol airnya. Baru dia teringat yang dia sudah menghabiskannya sebentar tadi.
"Bagi aku. Aku tolong isikan untuk kau," Roc mempelawa.
"Kau nak isi dengan air apa?"
"Dengan air kolam la."
"Kau serius?" tanya Balder tidak percaya. Roc sekadar tersengih dan membuka tangannya, meminta botol kosong milik Balder. Dia teragak-agak pada mulanya sebelum memberikan botol tersebut. Setahunya air di kawasan Pekan Whabba selamat untuk diminum cuma ia perlu ditapis, sekurang-kurangnya.
Roc turun ke gigi air lalu mula mengisi sehingga separuh.
"Kau tengok aku minum!" laungnya dengan tangan mengangkat tinggi botol. Terus dia minum tanpa teragak-agak sehingga habis. Kemudian dia sengaja membunyi decapan ketika meneguk air, sekali dengan wajah yang tenggelam dengan kesedapan.
Balder menelan keras baki roti yang terkemam dalam mulut. Entah mengapa hausnya semakin menjadi-jadi melihat gelagat rakus Roc meneguk air tersebut. Segera dia bangkit merapati Roc yang kini selesai mengisi air buat kali kedua. Kening Roc terangkat-angkat sambil menghulur. Balder terus menyambar dan meneguk.
Balder mencicip dengan teragak-agak sebelum meneguk air tersebut. Tegukan pertama membawa ke tegukan kedua lalu dia tidak berhenti sehingga habis sebotol.
"Haaa... segar gila air kolam ni!" teriak Balder lalu merapat ke gigi air dan mengisi semula air.
"Haha... baru kau tau kenapa aku nak tunjuk kau tempat ni." Roc menyeringai puas. Balder mencebik, terpaksa bersetuju. Benar tempat itu istimewa. Pakej lengkap buat mereka yang ingin merasa sendiri keunikan alam semula jadi. Sayangnya, ia terlalu jauh untuk dikunjungi dan dinikmati semua orang, fikir Balder. Dia melirik pada Roc yang sedang memejam mata menarik nafas dalam-dalam dengan kedua tangan di udara.
"Wei, jom balik. Nanti satu kelas risau kita takde dengan diorang." ujar Balder.
"Ok. Tapi kau tak nak ambil gambar kenang-kenangan ke? Aku sorang je tau tahu cara yang sampai tempat ni. Hehe."
"Mestilah kena ambil! Jom bergambar berdua," Balder segera mengeluarkan semula Syncpad lalu dipilih mode kamera.
"Kau pergi berdiri kat tengah kolam tu dulu. Aku pergi set Syncpad kat batu tu." Roc menurut sahaja. Balder pula meredah semula air dan berhati-hati memilih sebuah bongkah batu besar di pinggir kolam. Beberapa biji batu yang lain dikutip untuk dijadikan penyendal agar Syncpad dapat mengambil gambar secara panorama.
Roc sudah pun berada di posisi yang dimaksudkan. Dingin rasanya air menyelinap masuk membasahkan stokin. Cuma apabila pasir pula yang menyelinap, ia bertukar jadi menjengkelkan. Lalu dia buka sebelah kasut dan cuba mengeluarkan pasir sambil berdiri dengan sebelah kaki. Tapi badan Roc terlebih dahulu tercebur ke dalam air.
Kedengaran tawa Balder meletus galak, geli hati. Terasa puas apabila dia melihat baju Roc yang asalnya lebih kering berbanding dirinya, menjadi basah teruk. Roc meraup wajahnya yang kebasahan sambil cuba bangkit.
"Eh?" tiba-tiba matanya tertangkap sesuatu yang ganjil. Roc tidak jadi bangkit, dia menunggu sehingga riak air tenang. Kejernihan air menyerlahkan seketul batu yang sangat berbeza dengan batu-batu di sekeliling. Roc tidak teragak-agak mengutip dan memeriksa lebih dekat.
"Kau jumpa apa tu?" tanya Balder yang merapati.
"Kau tengok ni, pelik kan batu ni?" hulur Roc. Batu berkenaan bertukar tangan lalu Balder turut memeriksa.
"Batu apa ni?"
Kedua pasang mata tertumpu pada sebiji batu kecil berwarna coklat keputihan yang ditengah-tengahnya terdapat bentuk berpusar seperti siput.
"Weh, kita serius dah lambat. 3 saat cukup?" tanya Balder sambil menghulur semula batu tersebut. Apa yang Balder maksudkan adalah tempoh timer mode. Syncpad-nya jauh. Mujur ia berhubung terus dengan jam tangannya. Setelah puas bergambar dengan pelbagai aksi, Roc kembali tertumpu pada batu misteri tersebut.
"Kau nak bawak balik?" tanya Balder. Roc hanya diam. Melihat rakannya sedang berfikir panjang, Balder terus menongkah semula air untuk mendapatkan Syncpad-nya sebelum dia terlupa. Kehilangan Syncpad sama seperti kehilangan identiti. Segala maklumat peribadi, akaun bank, nombor identiti dan segala mak nenek maklumat tersimpan di dalam Syncpad.
Walaupun maklumat tersebut boleh didapatkan semua dari Pejabat Identiti dan Maklumat Peribadi, tapi prosesnya sangat perlahan dan perlu melalui pelbagai protokol yang melelahkan.
"Apa kata kita bawa je benda ni jumpa cikgu? Lagipun dah lambat dah ni," saran Balder. Roc mengangguk setuju lalu segera mendapatkan beg galasnya dan terus menyimpan batu tersebut. Mereka lantas beredar dari situ dengan Roc di hadapan.
Tanpa mereka sedari, gelagat mereka diperhatikan oleh dua pasang mata yang bersembunyi jauh di celah semak-samun.
![](https://img.wattpad.com/cover/216085744-288-k538092.jpg)
YOU ARE READING
Penjejak Kristal
AdventureNovel Ringan Aku yang pertama. Kalau dapat sambutan, memang ada sambungan. Aku open a few babs untuk korang baca dan nilai gaya light novel aku pula. Kalau berminat boleh beli di ebook - https://www.e-sentral.com/book/info/303293/penjejak-kristal B...