BAB 4

74 2 0
                                    


Embun basuh rambut di perigi yang terletak di belakang rumah. Niat mandi hadas besar di laksanakan. Air perigi yang jernih dan sejuk itu menyegarkan sekujur tubuh Embun. Tempat mandi yang dikelilingi dengan daun kelapa yang dianyam sebagai dinding setinggi 1 setengah meter itu Embun buat sendiri dengan Emaknya baru beberapa bulan lepas. Tapi kini daun-daun kelapa yang berpanas dan berhujan itu sudah agak reput dan melepuh. Embun sesekali terdengar suara gelak tawa Hamdan dan hamid yang berada di rumah pakcik Usop. Setelah sudah menyelesaikan hajatnya, Embun naik ke atas rumah dengan hanya berkemban dan menutup bahunya yang terdedah dengan selendang lusuh berwarna kuning. Beberapa hari ini, Embun hanya membantu ibunya menganyam tikar mengkuang saja di rumah dan sesekali masuk ke hutan mencari kayu api. Kerja sudah selesai, Embun hanya perlu tunggu hujan turun lagi, barulah dia akan kembali menanam kacang hijau pula. Esah, ibunya sedang bersiap-siap untuk ke hutan, mencari kayu api.

"Mak nak ke hutan?"

Esah mengangguk. Sanggul kepalanya di perketatkan. Setelah kepalanya di tutup dengan sehelai selendang kelabu lusuh yang sudah hilang warna asalnya, Esah kemudian cubit sedikit tembakau dari bekas tin kopi kemudian di tenyeh ke gigi hitam kekuningannya. Embun pandang ke luar tingkap. Mencari kelibat adik-adik kembarnya. Hamid dan Hamdan masih di rumah Usop, menelek ayam jantan milik Usop, sahabat sehidup semati ayah mereka. Sudah 2 hari Ali tidak pulang ke rumah, setelah mendapatkan sebahagian duit hasil jualan jagungnya tempoh hari. Ali akan menghilangkan diri dengan betapa di tempat perjudian siang dan malam melepaskan gian kerana sudah lama tidak masuk ke tempat perjudian. Kemudian, bapa tirinya itu hanya akan pulang bila poketnya sudah tidak tersisa 1sen lagi. Embun dan ibunya sudah tidak pelik jika Ali hilang tanpa berita untuk dua-tiga hari. Itu adalah perkara biasa yang bapa tirinya itu lakukan setiap kali poketnya tebal.

"Biar Embun pergi dengan Hamid dan Hamdan. Mak tinggal di rumah saja, ya?"

"Ergh... ergh.."

Esah menggeleng. Tangannya di awang-awangkan.

" tak apalah... mak duduk di rumah ja, lagipun kaki mak tak berapa kuat sekarang"

Bantah Embun. Setelah rambut ikal mayangnya di keringkan, Embun ambil sehelai selendang yang tersangkut di paku dinding, kemudian di ikat ke kepala. Selendang putih itu tak kalah lusuhnya dengan selendang yang menutup kepala Esah. Esah diam, tanda setuju. Sesekali tangan kanannya menonyoh puntung tembakau yang ada dalam mulut ke kiri dan ke kanan, macam orang sedang membersihkan gigi. Embun ke tepi tingkap sekali lagi. Melaung nama si kembar dan di suruh balik. Adik-adiknya itu berlari pulang sambil bergurau senda sesama sendiri. Embun turun ke bawah. Parang yang selalu ibunya gunakan untuk memotong kayu api di ambil. Kemudian di sisip ke pinggang.

"Mari... ikut kakak ke hutan, cari kayu api"

Mendengar saja ajakan kakaknya, Hamid dan Hamdan terus bersorak keseronokan.

******

Sudah hampir 4 bulan sejak kali pertama Malek membantu Embun di kebunnya. Walau sudah berkali Embun melarang, tapi Malek tetap datang membantu jika dilihat 2-3 hari kerja-kerja itu masih belum siap. Lelaki itu jugalah yang membantu Embun menuai hasil jagung-jagungnya tempoh hari. Embun dan dua adik kembarnya mematahkan jagung manakala Malek memikul jagung-jagung tersebut ke kereta lembu untuk dibawa pulang. Kesanggupan lelaki itu datang menolong benar-benar menyentuh hati perempuan Embun. Sedang Ali sendiri juga tak pernah buka mata melihat kesusahan yang Embun tanggung tapi Malek, lelaki asing yang tak ada ikatan apa-apa dengan dirinya, sanggup berpenat lelah untuk membantu meringankan beban yang Embun galas tanpa meminta sebarang upah sebagai ganti.

Walau tak ada perbualan antara mereka kerana seorang di selatan, dan seorang di utara jauhnya, namun Embun merasa suasana kerja yang menyenangkan. Selama ini Embun hanya sendirian mengerjakan tanah kebunnya, cuma kadang-kadang Hamdan dan hamid datang membantu, itupun bukan selalu. Tapi bila Malek bermurah hati untuk menolongnya, hati Embun terasa seronok walaupun dia sendiri pening memikirkan harus membayar Malek dengan apa. Lelaki budiman itu, puji Embun dalam hati, langsung tak meminta apa-apa balasan dari Embun, Malek hanya mengambil beberapa tongkol jagung sebagai upah bila Embun suarakan kebimbangan kerana tak punya wang untuk diberi pada Malek. Embun sering mengenang peristiwa Malek yang tersedak kopi buatannya dulu. Kenang-kenangan itu juga sering menimbulkan senyum sungging di bibirnya.

EMBUN JAMILLAHWhere stories live. Discover now