LATAR BELAKANG TEKS
Sebagai suatu pengenalan, penulis akan menerangkan secara ringkas tentang latar belakang ketiga-tiga teks yang dibincangkan. Teks pertama ialah Sejarah Melayu atau Sulalatus Salatin yang merupakan sebuah karya pensejarahan Melayu tradisional yang banyak memerihalkan tentang perturunan raja-raja Melayu khususnya Melaka. Di samping itu, diceritakan juga tentang alam ketamadunan Melayu yang berpusat di Melaka. Karya ini dikatakan dikarang pada tahun 1612 oleh seorang pembesar Istana Johor dan bernama Tun Seri Lanang. Karya agung telah menjadi salah satu teks pensejarahan Melayu yang popular dalam pengkajian sejarah Alam Melayu.
Gambar Hiasan. (Sumber: Google Images)
Teks yang kedua ialah Hikayat Merong Mahawangsa yang merupakan sebuah karya pensejarahan Melayu klasik yang banyak memerihalkan tentang salasilah raja-raja Kedah dari zaman Raja Merong Mahawangsa sehingga zaman Sultan Ahmad Tajuddin Abdul Halim Syah. Karya ini dikatakan telah dikarang pada sekitar tahun 1650 oleh pengarangnya yang tidak menyatakan nama pada karya tersebut. Namun dikenal pasti seorang pengarang istana kerana pengarang dikatakan menerima perintah daripada sultan untuk mengarang karya tersebut sebagai warisan kepada anak keturunan mereka kelak.
Gambar Hiasan. (Sumber: Google Images)
Teks terakhir ialah karya agung Tuhfat Al-Nafis atau (Hadiah Yang Bernilai) yang banyak memerihalkan tentang jurai keturunan raja-raja Bugis di dalam Kerajaan Johor-Riau-Lingga di samping menceritakan tentang perjuangan orang-orang Bugis di Johor dalam mempertahankan hak mereka dalam pemerintahan beraja Johor. Karya ini dikatakan telah dikarang oleh Raja Ali Haji pada tahun 1860an. Teks ini dikatakan mempunyai versi pendek dan versi panjang di mana dikatakan bahawa versi pendek telah dikarang oleh Raja Haji Ahmad, bapa kepada Ali Haji dan versi panjang pula dikarang oleh Raja Ali Haji sebagai kesinambungan daripada penulisan bapanya. Teks ini dianggap sebagai karya pensejarahan Melayu tradisional yang agak moden berbanding dua teks sebelum ini.
Gambar Hiasan. (Sumber: Google Images)
YOU ARE READING
Sejarah & Pensejarahan Melayu 1
Non-FictionEntri ini merupakan sebuah artikel yang berbentuk esei ilmiah di bawah tajuk: Tajuk Asal Artikel: SEJAUHMANAKAH TEKS SEJARAH MELAYU (SULALATUS SALATIN), HIKAYAT MERONG MAHAWANGSA DAN TUHFAT AL-NAFIS BOLEH DIANGGAP SEBUAH DOKUMEN POLITIK YANG SARAT D...