2.1 PENDAKYAHAN MELALUI KEDUDUKAN RAJA-RAJA.

41 3 0
                                    

A) PENDAKYAHAN MELALUI KEDUDUKAN RAJA-RAJA.

Ketiga-tiga teks klasik yang dibincangkan iaitu Sejarah Melayu, Hikayat Merong Mahawangsa dan Tuhfat Al-Nafis sememangnya dilihat sebagai sebuah dokumen politik yang mempunyai unsur pendakyahan. Hal ini kerana ketiga-tiga teks ini dilihat mempunyai unsur pendakyahan melalui pemerihalan berkaitan kedudukan raja-raja. Pengarang teks dilihat cuba mengangkat kedudukan raja-raja lebih tinggi dengan mengaitkan asal-usul raja-raja dengan unsur-unsur agama Islam, berasal daripada keturunan tokoh-tokoh dunia dan agama Islam serta mengaitkan dengan unsur-unsur magis atau alam keajaiban. Selain itu, dikaitkan juga dengan beberapa konsep seperti "pantang anak Melayu derhaka". Oleh yang demikian, penulis melihat bahawa pengarang cuba mempengaruhi minda para pembaca dengan pemerihalan kedudukan raja-raja Melayu yang dilihat sebagai berjurai keturunan yang tinggi dan mulia.

Teks Sejarah Melayu telah menggambarkan tentang asal-usul raja-raja Melayu secara luar biasa. Antaranya ialah dikatakan bahawa raja-raja Melayu itu berasal daripada jurai keturunan Iskandar Zulkarnain, seorang raja dari "Makaduniah" dan berbangsa "Rom". Hal ini memperlihatkan bahawa pengarang cuba mengangkat kedudukan raja-raja Melayu setaraf dengan tokoh terkenal dunia yang berada di luar negeri. Sebagai contoh petikan di bawah daripada Sulalatus Salatin:

"...kata empunya ceritera, bahawa Raja Iskandar, anak raja Darab, Rom bangsanya, Makaduniah nama negerinya, Zul-Karnain gelarannya..."

Selain itu, teks Sejarah Melayu juga mengaitkan asal-usul raja-raja Melayu sebagai "pancaran Nabi Sulaiman 'alaihis salam", bahkan digambarkan pula bahawa nenek moyang raja-raja Melayu itu muncul secara tiba-tiba dari muntah lembu, dari dasar laut, keluar melalui buluh betung dan sebagainya serta disambut penuh ketakziman dan kesyukuran oleh masyarakat setempat.

Teks Sejarah Melayu juga menggambarkan kemuliaan kedudukan raja-raja Melayu melalui konsep "pantang anak Melayu derhaka". Konsep ini diterapkan oleh pengarang dengan tujuan untuk mengikat kesetiaan rakyat kepada raja-raja. Maka, diceritakanlah beberapa kisah tokoh yang mulanya berasa marah kepada raja dan ingin membalas dendam, namun memutuskan niatnya disebabkan konsep "pantang anak Melayu derhaka". Hal ini pada hakikatnya tidak pernah dikeluarkan dari mulut rakyat jelata melainkan semuanya adalah pengucapan golongan istana. Hal ini dapat dibuktikan bahawa tiada satu contoh pun dari teks Sejarah Melayu yang ungkapan tersebut terbit dari mulut rakyat jelata. Tiada bukti yang meyakinkan yang pernah dipaparkan tentang kerelaan rakyat dalam soal pantangan ini. Oleh yang demikian, penulis berpendapat bahawa unsur ini dimasukkan oleh pengarang sebagai mendoktrinkan kedudukan raja-raja Melayu itu tinggi dan mulia.

Selain teks Sejarah Melayu, teks Hikayat Merong Mahawangsa yang memerihalkan tentang asal-usul raja-raja Kedah turut mengaitkan asal-usul pemerintah Kedah dengan unsur mitos dan lagenda. Sebagaimana yang terdapat pada teks, antara unsur mitos dan lagenda yang dikaitkan ialah seperti kisah kegagahan Raja Merong Mahawangsa melawan Geroda, peranan Nabi Sulaiman dan hubungannya dengan Kedah dan sebagainya. Malah, pengarang teks juga mengaitkan keturunan raja-raja Kedah dikatakan berasal-usul daripada kerabat diraja Rom yang bernama Raja Merong Mahawangsa yang telah datang ke Kedah. Perkaitan antara Raja Merong Mahawangsa dengan Raja Rom dapat dilihat melalui petikan daripada teks Hikayat Merong Mahawangsa di bawah,

"Maka adalah dalam banyak segala raja-raja yang duduk mengadap itu adalah seorang raja yang besar lagi bermakuta, sehabat kepadanya (raja rom), bernama Raja Merong Mahawangsa."

Selain itu, melalui perkaitan asal-usul antara raja-raja Kedah dengan keluarga diraja Rom memperlihatkan pengarang telah terpengaruh dengan gaya teks pensejarahan Melayu lain yang cuba menyamakan asal-usul pemerintah Kedah dengan asal-usul raja-raja Melayu lain yang dikatakan berasal daripada Raja Iskandar Zulkarnain, pemerintah Makadunia. Hal ini dilihat sebagai suatu bentuk pendakyahan oleh pengarang terhadap pemikiran masyarakat supaya tunduk kepada pemerintah.

Selain dua teks di atas, teks Tuhfat Al-Nafis yang dikarang oleh Raja Ali Haji juga tidak terlepas daripada unsur mengagungkan kedudukan raja-raja. Melalui teks Tuhfat Al-Nafis, pengarang dilihat mengaitkan keturunan raja-raja Bugis dengan tokoh dalam agama Islam sama seperti gaya teks Sejarah Melayu. Sebagaimana yang diperihalkan dalam teks, asal-usul keturunan raja-raja Bugis itu dikatakan berasal daripada jurai keturunan Ratu Balkis dari Yaman dan Nabi Sulaiman. Hal ini sebagaimana disebutkan pada petikan di bawah;

"Bermula adalah asal raja-raja Bugis yang mengembara ke sebelah barat daripada pihak tanah sebelah Bugis adalah asalnya seorang raja perempuan, nama negerinya Luwuk, nama raja itu Sitti Mallangkik. Adalah Sitti Mallangkik itu pada setengah kaul orang Bugis, keturunan daripada Puteri Balkis konon."

Hal ini menjelaskan bahawa pengarang cuba untuk menerapkan dalam minda masyarakat tentang keagungan raja-raja Bugis melebihi raja-raja lain di Johor pada zamannya.

Hal ini menjelaskan bahawa pengarang cuba untuk menerapkan dalam minda masyarakat tentang keagungan raja-raja Bugis melebihi raja-raja lain di Johor pada zamannya

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Gambar Hiasan. (Sumber: Google Images)

Sejarah & Pensejarahan Melayu 1Where stories live. Discover now