2.2 PENDAKYAHAN MELALUI KEHEBATAN SESEBUAH KERAJAAN

20 4 0
                                    

B) PENDAKYAHAN MELALUI KEHEBATAN SESEBUAH KERAJAAN

Selain unsur kedudukan dan jurai keturunan raja-raja, ketiga-tiga teks klasik ini turut memperlihatkan unsur kehebatan sesebuah institusi pemerintahan atau kerajaan yang dilihat sebagai suatu doktrinasi terhadap pemikiran pembaca. Berdasarkan penelitian pada ketiga-tiga teks klasik ini, dapat dilihat pada setiapnya memfokuskan kepada sesebuah kerajaan. Melalui teks Sejarah Melayu, penulis melihat pengarangannya dilihat lebih banyak memerihalkan tentang Kesultanan Melayu Melaka di samping menceritakan tentang beberapa kerajaan lain seperti Pasai, Singapura, Tanjung Pura, dan Johor. Pada teks Hikayat Merong Mahawangsa pula, pengarangnya memfokuskan kepada Kesultanan Kedah sebagai latar penceritaan dalam teks manakala Tuhfat Al-Nafis pula dilihat banyak memerihalkan tentang Kerajaan Johor-Riau-Lingga. Penulis mendapati bahawa pengarang-pengarang teks dilihat cuba untuk memperlihat dan menonjolkan keagungan kerajaan-kerajaan tersebut.

Dalam teks Sejarah Melayu, pengarangnya memperlihatkan bahawa kerajaan Melaka sebagai sebuah kerajaan yang gagah, hebat dan makmur, malahan berkemampuan dalam bidang perdagangan dengan negara-negara luar. Malahan, pengarang Sejarah Melayu turut memerihalkan bahawa kedudukan Kesultanan Melaka jauh lebih besar berbanding kerajaan-kerajaan besar lain yang bertaraf empayar seperti China. Hal ini dapat dilihat pada teks Sejarah Melayu, di mana berlakunya peristiwa kononnya Maharaja China terkena penyakit kedal selepas menerima "sembah" dari Sultan Melaka yang merasakan dirinya lebih rendah daripada Maharaja China. Hal ini seakan-akan ingin menunjukkan bahawa kedudukan Sultan Melaka jauh lebih besar dan berdaulat daripada Maharaja China. Jika dinilai dari sudut realiti sejarah, dapat dilihat bahawa kedudukan Maharaja China dibuktikan jauh lebih besar melebihi kedudukan Sultan Melaka.

Selain itu, kemegahan Kerajaan Melaka juga ditonjolkan melalui konsep keunggulan pemerintahan Melaka sehinggakan dikatakan raja-raja dari negeri lain perlu menghadap raja Melaka. Hal ini dapat dilihat pada teks Sejarah Melayu, diceritakan bagaimana unggulnya Kerajaan Melaka ini sehingga jika ada raja dari negeri-negeri lain tidak datang menghadap ke Melaka, maka mereka akan dikenakan hukuman seperti diperangi atau ditakluki. Hal ini sebagaimana yang dikenakan ke atas Kampar dan Siak yang tidak menghadap ke Melaka. Konsep keunggulan Kerajaan Melaka juga diperlihatkan melalui peristiwa Raja Kedah dan Raja Patani memohon untuk dinobatkan oleh Raja Melaka. Hal ini sebagaimana berdasarkan petikan di bawah;

"Maka Cau Seri Bangsa pun menyuruhkan menterinya Okun Pola namanya, mengadap ke Melaka, mohonkan nobat pada Sultan Mahmud Syah."

"Arkian Raja Kedah pun datang mengadap ke Melaka. Hendak mohonkan nobat; setelah datang ke Melaka; didudukkan oleh Sultan Mahmud di atas ceritera..."

Petikan-petikan di atas jelas memperlihatkan bagaimana kedudukan Kerajaan Melaka yang dilihat sebagai agung dan gagah melebihi kerajaan-kerajaan lain yang sezaman dengannya.

Seperti mana Sejarah Melayu, Hikayat Merong Mahawangsa dilihat mengangkat keunggulan pemerintahan Kerajaan Kedah setaraf kerajaan-kerajaan lain di Tanah Melayu. Kerajaan Kedah digambarkan sebagai sebuah kerajaan yang hebat dan gagah sehinggakan mampu menabalkan kaum kerabat mereka sebagai pemerintah atau raja di negeri lain. Sebagaimana yang ditonjolkan oleh pengarang dalam teks tersebut di mana Raja Merong Mahapudisat yang memerintah Kedah telah menabalkan empat orang anaknya sebagai pemerintah di empat wilayah. Putera sulung dirajakan di Siam, putera kedua diraja di Perak, puteri tunggal dirajakan di Pattani, dan putera bongsu ditetapkan sebagai pemerintah di Kedah. Dalam erti kata lain, keturunan raja-raja Siam, Pattani, Perak dan Kedah dikatakan sebagai bersaudara. Hal ini bagaimanapun, penelitian terhadap realiti sejarah menunjukkan bahawa keturunan pemerintah di Siam, Pattani dan Perak sebenarnya tiada langsung hubungan kekeluargaan dengan Kedah.

Selain daripada itu, Hikayat Merong Mahawangsa juga dilihat mengangkat kehebatan Kerajaan Kedah melalui unsur menyahkan ketuanan Siam ke atas Kedah. Hal ini sebagaimana yang diteliti pada teks tersebut di mana pengarang cuba menyampaikan bahawa isu penghantaran bunga emas dan perak ke Siam itu sebagai suatu hadiah antara adik-beradik apabila mendapat anugerah atau berita baik dan bukannya sebagai satu bentuk ufti. Hal ini sebenarnya melawan fakta sebenar sejarah yang merekodkan bahawa penghantaran bunga emas dan perak oleh Kedah adalah sebagai ufti yang menandakan pertuanan Siam ke atas negeri tersebut. Oleh yang demikian Penulis melihat pengarang cuba mendoktrinkan kepada pembaca dengan mengatakan bahawa Kerajaan Kedah itu merdeka dan bebas daripada pengaruh Siam.

 Oleh yang demikian Penulis melihat pengarang cuba mendoktrinkan kepada pembaca dengan mengatakan bahawa Kerajaan Kedah itu merdeka dan bebas daripada pengaruh Siam

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Gambar Hiasan. (Sumber: Google Images)

Sejarah & Pensejarahan Melayu 1Where stories live. Discover now