C) MENGANGKAT SESUATU BANGSA SEBAGAI SUATU PENDAKYAHAN
Ketiga-tiga teks yang dibincangkan iaitu Sejarah Melayu, Tuhfat Al-Nafis dan Hikayat Merong Mahawangsa dilihat mempunyai unsur memerihalkan tentang sesuatu bangsa. Unsur ini tidak dilihat sebagai suatu unsur pemerihalan biasa, namun terdapat tujuan selainnya yang dilihat lebih penting iaitu menjadikannya sebagai suatu pendakyahan terhadap masyarakat. Pada teks Sejarah Melayu, sesuai dengan namanya yang mempunyai perkataan "Melayu", dilihat sebagai suatu hasil karya yang mewakili bangsa Melayu dengan tujuan agar bangsa mereka disanjung dan dihormati. Sejarah Melayu juga dilihat berusaha memegah-megahkan martabat dan kedudukan orang-orang Melayu Melaka. Sebagaimana terdapat pada teks, orang Melayu digambarkan sebagai bangsa yang berani dan gagah perkasa. Sebagai contohnya, peristiwa serangan Siam ke atas Melaka yang akhirnya dimenangi oleh Melaka.
Selain itu, kemegahan bangsa Melayu juga diangkat di dalam teks Sejarah Melayu melalui kisah perseteruan antara Hang Tuah dengan Taming Sari di Majapahit. Perseteruan ini pada akhirnya dimenangi oleh Hang Tuah sehingga membuatkan seluruh isi Istana Majapahit berasa kagum dengan kebolehan beliau sebagai pahlawan Melayu. Begitu juga dengan kisah keberanian seseorang hulubalang dalam pertempuran, sebagai contohnya kisah kegagahan Seri Nara Diraja melawan Raja Kapar. Melalui peristiwa-peristiwa ini, pengarang cuba mendakyahkan bahawa orang-orang Melayu ini mempunyai kehebatan dan kehandalan dalam pertempuran sekaligus mengangkat martabat orang-orang Melayu melebihi bangsa lain.
Selain teks Sejarah Melayu, konsep mengangkat sesuatu bangsa turut dikesan pada teks Tuhfat Al-Nafis. Sebagaimana yang sedia diketahui, karya ini memerihalkan tentang mengangkat kedudukan dan martabat orang-orang Bugis. Sementelah, dapat dikesan dengan jelas dalam karya ini bahawa pengarangnya iaitu Raja Ali Haji berusaha untuk memegah-megahkan martabat bangsa Bugis dari permulaan sehingga akhir karyanya. Sebagai tujuan untuk mengangkat martabat bangsa Bugis, Raja Ali Haji menyatakan dalam karyanya ini bahawa Hang Tuah, suatu figura terkenal dalam masyarakat Melayu sebagai berjurai keturunan Bugis.
Di samping itu, unsur mengangkat bangsa Bugis di dalam teks Tuhfat Al-Nafis juga dapat dikesan pada kekerapan pengarangnya menegaskan tentang kesetiaan orang-orang Bugis terhadap pemerintahan Kerajaan Johor-Riau-Lingga berbanding kesetiaan orang-orang Melayu. Dikatakan juga bahawa orang-orang Melayu Johor mempunyai kedengkian terhadap kekayaan yang dimiliki dan kemajuan yang dicapai oleh orang-orang Bugis serta tidak mengenangkan kebaktian yang dilakukan orang-orang Bugis kepada raja Riau. Hal ini memperlihatkan yang Raja Ali Haji sememangnya berusaha memuliakan kedudukan orang-orang Bugis dan memandang rendah kepada orang-orang Melayu, Johor, Siak, Terengganu dan sebagainya. Pada kesimpulannya, dapat dikatakan bahawa pengarang-pengarang kepada teks-teks ini mempunyai tujuan masing-masing dalam mengangkat bangsa-bangsa mereka sebagai suatu doktrinasi kepada minda masyarakat.
Gambar Hiasan. (Sumber: Google Images)
YOU ARE READING
Sejarah & Pensejarahan Melayu 1
Non-FictionEntri ini merupakan sebuah artikel yang berbentuk esei ilmiah di bawah tajuk: Tajuk Asal Artikel: SEJAUHMANAKAH TEKS SEJARAH MELAYU (SULALATUS SALATIN), HIKAYAT MERONG MAHAWANGSA DAN TUHFAT AL-NAFIS BOLEH DIANGGAP SEBUAH DOKUMEN POLITIK YANG SARAT D...