7. Realiti

125 19 5
                                    

Aku membuka mata. Terasa kepalaku sakit dan berat. Badanku begitu lelah. Aku cuba menyesuaikan penglihatanku dengan keadaan sekeliling.

Kekaburan pandanganku kian hilang. Aku dapat melihat siling, sebuah tingkap yang ditutupi langsir, dan akhirnya mama yang sedang duduk menekur di sebelah katil.

"Ma..." aku tak mampu mengeluarkan suara. Tekakku terasa begitu pedih.

Mama yang berada di sebelah katil tensentak.

"Adam...? Adam!" Dia terus memeluk aku dan mula menangis. "Abang!" Dia melaung memanggil Papa. "Bibik! Pergi panggil tuan, lekas!" Arahnya kepada orang gaji aku yang terkebil-kebil di tepi pintu.

Aku membalas pelukan Mama dengan bersusah payah. Terasa tiada kudrat yang tinggal.

"Syukurlah, Adam dah sedar. Mama minta maaf, sayang. Mama janji akan sentiasa bersama dengan Adam lepas ni..." Bisiknya hiba. Aku rasa ada air hangat yang menitis di atas bahuku.

Aku ingin sekali mengusap air mata itu dan memujuknya. Tapi aku masih tak mampu berkata banyak.

Papa muncul dengan riak terkejut. Dia juga datang memelukku. Dia tidak langsung berbicara, namun rangkulannya amat erat, seperti tidak mahu dilepaskan.

Seketika kemudian, seorang doktor lelaki dan beberapa orang jururawat datang. Mereka memeriksa keadaan aku. Selepas itu, doktor tersebut berbincang sesuatu dengan Papa dan Mama.

Malam itu, Mama menemaniku seperti selalu. Papa terpaksa pulang sebentar untuk menyelesaikan sedikit urusan.

"Syukur, doktor kata perkembangan Adam baik. Lepas terapi nanti, Adam dah boleh balik rumah." Mama tersenyum gembira. Jemarinya mengelus rambutku penuh kasih.

Aku mengangguk perlahan dan membalas senyuman itu.

"Adam nak apa-apa tak?" Soalnya lembut.

Hanya ada satu perkara yang bermain di mindaku sejak aku tersedar siang tadi.

"Jun..."

_________________________________________

Hampir seminggu aku menjalani terapi di rumah. Kekuatan aku semakin pulih. Physioterapist juga memuji perkembangan aku yang positif. Aku sudah boleh melakukan aktiviti seharian yang tidak terlalu berat.

Tetapi, di mana Jun?

Setelah aku keluar dari wad, aku cuba untuk ke rumahnya tapi dihalang Mama. Katanya aku masih lemah.

Adakah Jun tahu aku dah kembali ke badanku? Adakah dia datang melawat aku tetapi dihalau lagi oleh Papa?

Atau... adakah dia dah melupakan aku?

Persoalan-persoalan itu membuatkan aku jadi begitu hampa. Hampir gila aku memikirkannya.

Aku sudah tak sanggup menunggu lagi. Hari ini, aku terus mengarahkan driver aku membawaku ke rumahnya tanpa pengetahuan Papa dan Mama.

Pintu pagarnya dimanggakan. Aku cuba menjenguk ke dalam sambil melaung namanya beberapa kali. Basikalnya kelihatan tersandar pada dinding rumah. Pastinya dia ada di dalam.

Hampir setengah jam aku di situ. Akhirnya, seorang jiran muncul dari rumah sebelah. Aku kenal Mak cik itu. Dia selalu memberikan makanan kepada Jun. Wanita separuh abad itu menghampiri aku.

"Adik ni kawan Jun ke?" Dia bertanya sopan.

"Ya." Aku mengangguk laju. "Mak cik tau mana dia pergi?"

Mak cik itu diam sebentar sebelum membalas soalan aku.

"Dia kat hospital sekarang." ucapnya sayu.

Jawapan itu seperti halilintar yang merobek dadaku. Jantungku seakan terhenti.

"Kenapa...?" Suaraku bergetar.

Makcik itu menarik nafas dalam-dalam. Air mukanya berubah murung.

"Seminggu yang lepas, masa dia balik dari fun fair tu... ayah dia pulang ke rumah. Jun cedera teruk kat kepala. Banyak darah hilang. Sekarang dia masih tak sedar..."

Aku berpaut pada pagar. Kakiku terasa lemah. Semangat aku perlahan lenyap.

Satu Garisan Nipis (Completed)Where stories live. Discover now