BAB 30

1.4K 93 28
                                    

Aisyah menunggu kedatangan Rayyan dengan penuh debar. Semalam lelaki itu ada menghubunginya. Katanya ada hal penting yang perlu dibincangkan. Entah kenapa dadanya tiba-tiba berdetak laju. Makin tak senang duduk dibuatnya apabila figura Rayyan yang berpakaian kasual sedang berjalan ke arahnya. Hari ini, lelaki itu mengenakan sehelai t-shirt bewarna biru tua berjenama Nike dan seluar jeans hitam. Cukup kacak pada matanya. Lantas Aisyah menggelengkan kepala.

"Fokus Aisyah fokus," monolognya di dalam hati.

"Assalamualaikum," sapa Rayyan. Terhibur dia apabila sempat melihat perilaku gadis itu yang tiba-tiba menggeleng kepala sebentar tadi. Entah apa yang difikirnya.

"Waalaikumussalam," jawab Aisyah membalas ucapan salam dari Rayyan.

"Maaflah aku lambat sikit. Adib tanya macam-macam soalan tadi. Dia tengah merajuk kat rumah tu sebab tak bawak dia sekali untuk berjumpa dengan kau," ujar Rayyan tanpa dipinta. Disebabkan dia hendak membincangkan sesuatu yang serius, yang melibatkan soal hati dan perasaan, terus dia sogok Adib dengan mainan dinasour yang baru. Nasib baik menjadi taktiknya yang satu itu.

"Eh takpe-takpe. Aisyah okey je," tutur Aisyah. Masing-masing diam. Aisyah menunduk memandang ke arah jari jemari yang bertautan sesama sendiri untuk menghilangkan rasa gemuruh. Rayyan pula cuba memilih ayat yang sesuai untuk melafazkan rasa yang terbuku di hati.

"Aisyah," panggil Rayyan lembut. Matanya tertancap pada gadis yang sedang menunduk itu.

"Ya?" sahut Aisyah sambil memandang wajah Rayyan. Dengan pantas, dia melarikan wajah.

"Tolong dengar apa yang saya nak cakapkan pada Aisyah. Saya betul-betul ikhlas nak jadikan Aisyah sebagai isteri saya dan ibu kepada Adib. Tapi, saya tak paksa kalau Aisyah nak tolak lamaran saya ni sebab Aisyah pun berhak untuk tentukan siapa yang akan jadi pasangan Aisyah," jelas Rayyan sambil memandang Aisyah. Dia tidak mahu terlalu berharap. Dia tahu Syafiq juga sukakan Aisyah dan kebarangkalian untuk Aisyah membalas rasa yang sama kepada Syafiq adalah lebih besar. Walau apapun keputusan yang bakal dia terima nanti, dia sudah bersedia. Tanpa dia sedar panggilan aku juga sudah bertukar kepada saya.

Aisyah cuba mencerna setiap butir bicara yang lahir dari mulut Rayyan.

"Boleh saya tahu apa yang Tengku suka pasal diri saya ni? Saya bukan perempuan yang baik-baik Tengku," balas Aisyah rendah diri. Tengku Rayyan berasal dari keluarga orang-orang kenamaan. Apa pula nanti tanggapan ahli keluarga yang lain jika Tengku Rayyan memilih dirinya?

"Daripada apa yang saya nampak, saya yakin awak bukan perempuan yang macam tu. Kalau awak jahat, awak takkan didik anak saya untuk mengenali Islam dengan lebih dekat lagi. Dan kalau betullah awak bukan perempuan yang baik, itu adalah masa lalu awak. Saya tiada ada hak untuk persoalkan siapa awak pada masa lalu sebab saya hanya nak kenal siapa awak pada masa sekarang ni," luah Rayyan. Jika hendak bercakap tentang masa lalu, dia juga bukanlah insan yang baik. Masa lalu banyak mengajar dia untuk menjadi yang lebih baik pada masa ini.

Aisyah sudah kehabisan kata-kata. Mengangguk tidak, menggeleng pun tidak.

"Saya harap Aisyah boleh bagi jawapan kepada lamaran saya ni. Saya cuma nak ingatkan lagi sekali, saya akan hormati apa sahaja jawapan yang keluar dari mulut Aisyah. Kalau betul Aisyah menolak lamaran saya ni, saya akan berundur," ujar Rayyan sambil bibirnya mengoyakkan satu senyuman buat gadis itu.

"Kalau saya terima?" tanya Aisyah tanpa sedar. Lantas mulut ditutup dengan kedua belah telapak tangan saat dia sedar akan ketelanjurannya.

Rayyan tergelak kecil melihat teletah gadis itu. "Kalau Aisyah terima saya, saya nak kenal dulu dengan Aisyah dan keluarga Aisyah. Cukuplah saya buat kesilapan dulu. Lagipun Islam memang anjurkan lelaki dan perempuan untuk saling mengenali antara satu sama lain sebelum berkahwin. Dan, andai kata waktu kita berkenalan nanti Aisyah berubah hati, saya akan lepaskan Aisyah. Selagi saya tak memegang gelaran 'suami' kepada Aisyah, selagi itu lah Aisyah bebas untuk membuat keputusan. In Shaa Allah, saya terima seadanya," sambung Rayyan lagi. Tenang sahaja nada percakapannya padahal di dalam hati hanya Allah sahaja yang tahu.

Bahagia Buat Aisyah [COMPLETE]Tempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang