PART 1.8- PAKCIK MISTERI

3K 241 75
                                    

Aku dan Arman sedang sibuk menyusun barang dagangan di atas meja kayu. Suasana agak hingar-bingar. Hari ini nampaknya ramai pembeli datang. Ada penjual yang sedang menjerit melelong barang jualan. Ada juga pelanggan yang sedang tawar-menawar harga dengan penjual.

"Ramai hari ni, Man."

"Iyalah. Aku harap jualan kita hari ini habis. Boleh kita balik awal," balas Arman sambil tersengih. Aku turut membalas sengihannya.

"Kau balik awal kerja nak tidur sajalah. Macam tak ada benda lain nak buat," balasku bersahaja.

"Aku nak buat apa lagi? Aku bukan reti cari kayu, lepastu buat alat perhiasanlah, alat rumahlah, macam kau."

"Kalau kau nak belajar, aku boleh ajarkan."

"Malaslah aku," jawabnya pendek. Lantas Arman terus bangun. "Dahlah aku nak beli makanan. Kau nak kirim apa-apa tak?"

"Emm... Aku mintak kopi panas. Haus pulak rasanya," jawabku.

"Iyalah. Aku pergi dulu."

Aku tersenyum sahaja melihatnya berjalan menuju ke gerai makan di hujung pasar.

Tiba-tiba penyakit rindu aku datang kembali. Ahh, mengada betul hati ni. Tak boleh ada ruang sedikit. Kalau sebelum ni, penat aku hendak menidakkan hati yang dilamun rindu. Lama-lama, aku dah penat. Mulai dari itu, aku layankan sajalah kalau hati nak mengada-ngada.

Aku meraba kocek seluar. Satu kantung kain kecil berwarna biru aku keluarkan dari kocek seluar. Aku buka kantung dan aku keluarkan sanggul yang pernah aku beli suatu ketika dahulu. Sanggul yang tak sempat aku beri pada Asha.

Cantik. Dan aku yakin, Asha akan nampak cantik kalau memakainya.

Ini sajalah kenangan yang aku ada bersamanya.

Untuk sekarang, cukuplah sanggul ini menjadi peneman aku.

"Kau merinduinya?" soal seorang lelaki tua kepadaku. Dia berdiri sambil membongkok tidak jauh dari tempat aku berniaga. Dia membawa seberkas kayu api di bahunya. Bajunya agak kotor dan compang-camping. Keringat membasahi dahi dan tubuhnya. Rambutnya juga agak kusut. Aku rasa, dia baru pulang dari hutan dan duduk di hutan dalam tempoh yang lama.

Aku terdiam seketika tatkala disapa begitu. Terus aku letakkan sanggul ke tepi dan berdiri di tepi meja. Mungkin dia saja menyapa dan mahu membeli pakaian untuk keluarga di rumah sebelum pulang.

"Mahu beli apa, pakcik? Ada macam-macam jenis kain yang saya jual. Kain batik ada. Sutera pun ada. Bolehlah pakcik pilih mana yang berkenan."

Dia tersenyum mendengar kata-kataku. Tapi, wajahnya ibarat tersimpan seribu makna. Senyumannya juga seakan mengejek aku. Apa aku yang terasa sendiri, atau memang dia sebenarnya hendak mengejek. Mungkin di dalam fikirannya, "Orang muda. Baru berjauhan sedikit dengan keluarga, sudah rindu."

Dia mendekati meja jualanku. Jalannya perlahan, dan terbongkok-bongkok.

"Aku tak mahu beli apa-apa. Cuma aku tertarik dengan apa yang kau fikirkan, anak muda," balasnya.

"Maksud pakcik?"

"Dia itu, orang yang kau rindu. Dia juga merindui engkau," balas pakcik itu lagi. Aku tersenyum dan menunduk. Pakcik ni cuba menenangkan perasaanku. Desis hatiku. Sanggul di tepi meja aku ambil dan aku tatap sekali lagi.

"Tapi dia..."

"Dia manusia, kan?"

Langsung aku angkat wajah, menatap wajah pakcik itu.

"Mana pakcik tahu?"

"Biarpun dia sudah pergi dari dunia kita ini, tapi Asha tak pernah lupa akan perasaan yang pernah singgah di hatinya."

Pakcik ni... Dia tahu nama Asha?

"Indra..." tegur Arman. Dia segera berdiri di sebelahku dan memegang bahuku. Bungkusan makanan dia letakkan di atas meja. Mata Arman bertentang mata dengan pakcik itu. Ada satu perasaan dingin saat Arman melihat pakcik itu.

"Pakcik pergi dahulu," ucap pakcik itu lalu berpusing ke belakang, dan berjalan meninggalkanku.

"Sebentar, pakcik!" jeritku. Aku ingin mengejar pakcik itu tapi tangan Arman semakin erat memegang bahuku.

"Indra."

"Arman, sebentar. Aku nak kejar pakcik tu," aku lepaskan tangannya dari bahuku. Lantas Arman menarik tanganku pula.

"Indra. Tak perlu!"

"Kenapa kau ni? Kau tahu, pakcik tu kenal Asha. Dia pasti tahu sesuatu. Aku nak kejar dia."

"Kau tak perlu kejar pakcik tu. Dia tu gila. Semua orang dalam kampung ni tahu yang dia tu gila."

"Gila?"

"Ya. Gila."

Tak mungkinlah gila. Takkanlah orang gila boleh tahu apa yang ada dalam hati aku. Dan boleh tahu siapa yang aku ingat-ingatkan.

"Aku tak kesah," balasku langsung melepaskan tangannya. Aku langsung berlari ke arah pakcik itu pergi dan mencari pakcik itu ke sana sini. Tapi entah kenapa, bayangnya langsung tak kelihatan.

Mungkin sudah keluar dari pasar. Detik hatiku.

Aku lantas berlari keluar ke pintu gerbang pasar, melihat kira-kira pakcik itu masih ada di luar pasar.

Tapi hampa. Dia tetap tak kelihatan! Di dalam pasar tiada, di luar pasar juga tiada.

Tolonglah! Mana pakcik tu! Jerit hatiku.

Aku... tak tahu harus mencari di mana. Aku masih tak hafal sangat jalan daerah sini. Dan aku tak kenal sangat orang di sini. Tempat ini masih lagi asing untuk aku. Bagaimana untuk aku cari pakcik tu?

Dengan rasa berat hati, aku kembali juga ke meja jualan. Rasa sebal menebal dalam hati. Kalau bukan Arman yang halang aku, dah tentu aku boleh kejar pakcik tu dan bertanya bagaimana dia boleh tahu tentang Asha. Tapi, tengoklah sekarang, entah ke mana pakcik tu menghilang pun aku tak tahu.

Tapi dalam satu sisi lain, aku tertanya-tanya juga. Dengan jalan perlahan dan terbongkok-bongkok tu, cepat pula dia melesapkan diri. Aku rasa, tak adalah lama sangat dia pergi sebelum aku kejar dia tadi. Aneh.

Sesampai di meja jualan, kelihatan Arman cuma berlagak biasa sambil mengunyah mee goreng. Dia sekadar mendongak dan mengangkat kening. Aku yang masih menayang muka sebal, dia cuma buat tak tahu.

Kerusi aku tarik lantas aku mengambil tempat duduk di sebelah Arman. Kopi O panas aku ambil dari atas meja lalu aku minum. Dahlah memang haus, mengejar pakcik tadi pulak tu. Dua kali ganda haus aku.

"Tak jumpa, kan?" Soal Arman. Aku mengerutkan dahi. Aku rasa semacam pelik soalan tu. Kebiasaannya orang akan bertanya, 'macam mana? Jumpa? Pakcik tu cakap apa lagi pada kau?' Itu... soalan biasa kan?

Arman sekadar melihat sekilas wajahku lantas sambung makan. "Hah, tak jumpalah tu."

Dan sekarang aku keliru, sama ada pakcik tu yang pelik, atau kawan aku ini yang aneh.

ASHANDRAWhere stories live. Discover now