Radhi dan Jae yg baru tiba di penghujung belukar, berhenti melangkah. Mereka saling berpandangan. Itu suara Eli. Raungan Eli jelas kedengaran. Radhi mula cemas tak tentu arah. Jae mencengkam lengannya dengan erat, meminta dia menelefon polis.
Selepas panggilan dibuat, Radhi menapak berhati-hati memasuki ruang tingkat bawah bangunan terbiar itu biarpun pihak polis meminta mereka tidak mengambil sebarang tindakan yang boleh mendatangkan bahaya. Namun tak betah dia menunggu. Takut mereka terlambat. Dia hanya mampu bergantung pada cahaya rembulan memandangkan tidak mahu kehadiran mereka disedari.
Jae mengikut dari belakang dengan cukup berwaspada. Mereka yakin jeritan itu datang dari tingkat atas. Entah tingkat ke berapa mereka tidak pasti. Anak tangga yang belum siap sepenuhnya mereka daki. Semakin lama, semakin jelas kedengaran esakan memilukan.
Radhi memejamkan mata, cuba meraih kekuatan. Itu tangisan Eli dan ianya cukup menghiris hati. Serasa ingin sahaja dia menerpa masuk dan memeluk Eli. Pasti isterinya itu sedang ketakutan.
Jae menepuknya dari belakang dan memberi isyarat agar mereka bersembunyi.
Berbalam-balam dalam cahaya suram, mereka lihat Eli yang terikat sebelah tangannya sementara kelihatan seorang wanita lain terbaring di situ. Cuba untuk memahami situasi yg berlaku namun sukar sekali hendak dimengertikan.
Berang dengan Eli yang mula menangis, Hans mengambil pita pelekat di atas kotak kosong di situ. Dipotong dengan pisau di tangannya. Eli dihampiri. Kepalanya direntap kasar hingga Eli terngadah. Kasar dia menampal mulut Eli dengan pita pelekat itu.
Eli cuba menghalang. Tangannya dihayun sekuat hati ke arah leher Hans namun lelaki itu pantas menyedari tindakan Eli yang songsang. Segera dia mengelak tetapi paku panjang itu berjaya membenam di bahunya.
Hans menderam menahan sakit dan marah. Eli dipandang tajam. Tidak semena-mena dia menampar Eli dengan kuat hingga terjelepuk Eli ke atas lantai konkrit yang kotor.
Eli tergeletak menahan sakit apabila kepalanya terhantuk kuat sekali lagi. Terdengar Hans menyumpah seranah apabila darah mengalir laju dari bahu kanannya ketika dia cuba mencabut paku yang terpacak di situ.
"Kurang ajar!" Hans bertempik.
Pisau yang tercampak tadi dicari namun tidak kelihatan. Pantas dia mencapai pisau bersarung yang lain. Dibuka sarungnya dan dia melangkah laju ke arah Eli.
"Kau akan merayu pada aku bila aku robek keluar jantung kau!" Hans merengus kasar. Perwatakannya berubah menjadi bengis. Nafasnya kencang dan matanya mula merah. Namun belum sempat tangannya mencapai Eli, tiba-tiba kepalanya dihentak dari belakang hingga dia tersungkur hilang imbangan.
"Eli!"
Suara Radhi menerpa pendengaran, Eli terus berpaling. Hilang segala kesakitan dan ketakutan saat Radhi memeluknya. Bagai tidak percaya suaminya muncul di situ. Namun, dia kenal sangat dengan bau lelaki itu membuatkan dia yakin bahawa dia tidak bermimpi.
Pita pelekat di mulutnya dibuka perlahan-lahan kemudian tubuhnya tenggelam semula ke dalam pelukan Radhi. Terasa lega seluruh jiwa raganya. Terasa ada tempat untuk bersandar rasa. Sepenuh hati dia menghamburkan ketakutan di dada suaminya itu.
Jae memegang erat kayu di tangan. Kakinya menolak sedikit tubuh Hans yang terbaring kaku, melihat jika lelaki itu masih dalam keadaan sedar. Tangannya sedikit menggeletar. Tidak pernah seumur hidupnya mencederakan orang lain. Setiap hari kerja dia adalah membantu orang untuk kembali sihat dan hidup dengan gembira.
"Jae. Tolong aku buka rantai besi ni." Dalam cemas Radhi meminta pertolongan.
Jae meletakkan kayu ke bawah. Segera dia menghampiri Radhi namun tiba-tiba langkahnya terhenti. Eli menjerit nyaring saat melihat tubuh Hans yang berdiri di belakang Jae. Wajah Jae hilang reaksi berganti kerutan halus di dahi.
YOU ARE READING
Antara Koma (Completed)
Horror"Awak dengar saya ketawa tadi ke? Kuat sangat eh? Sorry.. saya bukan ketawa sebab novel ni tapi sebab keletah anak jiran kita ni kelakarlah. Dahlah comel, mengintai-intai lagi dgn mata dia yg bulat tu. Awak, kenapa kita tak ada anak lagi? Kalau tak...