"Kata Einstein, masa itu nisbi"
***
"Pelik kan?" soalan Pak Long membuatkan aku tersenyum. Aku memerhatikan kembali pokok rambutan yang dikatakan. Yang didakwa 'berkelakuan' pelik.
Sebahagian dari batangnya kelihatan rapuh. Seperti dimamah usia. Daunnya sudah bertukar perang, dan kebanyakannya sudahpun gugur menyembah tanah.
Sebahagian lagi tegap dan sihat, dan merimbun dengan dahan berbuah. Menjemputku untuk mengambilnya.
"Orang tak nampak apa-apa yang pelik pun Pak Long," tututku sambil mengambil batang pengait. Aku kaitkan dahan itu dan membawa turun buah yang memang aku inginkan. Yang menjadi tujuan utama aku ke sini.
"Kau tak nampak ke, pokok ni mati. Yang peliknya belah kanan je mati. Belah kiri elok, siap berbuah rimbun lagi," balas Pak Long.
Aku akui, ada betulnya juga kat Pak Long tu. Tapi masa tu aku tak fikirkan sangat. Sebab aku dah kemaruk tengok rambutan gula batu yang merah menyala warnanya.
"Saya ambil buah ni eh pak long. Untuk kawan-kawan saya."
Pak Long mengeluh. Barangkali kecewa bila aku tak melayan ceritanya.
"Mana kawan-kawan kau?"
"Diorang tunggu kat bangsal. Malas nak jalan lah tu, panas," balasku.
"Nah, kau letak dalam bakul ni, pak long nak pergi tengok pokok durian kat belakang," tutur Pak Long sambil menghulurkan bakul rotan padaku.
"Belum musim lagi pak long!" jeritku
"Tengok je!"
Senyuman terukir di wajahku. Melihat Pak Long berjalan pantas, tegap, di balik usianya yang hampir mencecah 8 dekad membikin hatiku senang.
Setelah Pak Long menjauh aku berpaling menuju ke bangsal, membawa hasil rambutan yang ku kait tadi. Cuaca yang panas membahang mula membutirkan peluh di wajahku.
Aku melangkah lebih pantas, menuju ke bangsal yang tak terlalu jauh. Kelihatan kawan-kawanku sudah menunggu.
Intan dan Fiqa sedang mengipas badan mereka. Intan dengan buku dan Fiqa dengan kipas mini yang dibawanya. Kedua-duanya tak biasa berpanas.
Rashid pula sedang mencangkung, mengipas dirinya dengan daun pandan, yang entah dari mana diambilnya. Ravi pula sedang berdiri sambil memeluk tubuh. Bersandar di tiang bangsal.
Aku geli hati melihat gelagat mereka. Kecuali Ravi mereka semua tak biasa berpanas sebegini. Apatah lagi menjejakkan kaki ke dusun dan hutan.
Jadi apa mereka buat kat sini? Demi skor dan CGPA. Tugasan professor suruh persembahkan spesimen yang unik. Maka ke sinilah kami bertandang.
Aku meletakkan bakul rotan ke bawah.
"Oii, takkan tengok je. Tolonglah sekali," jeritku memanggil.Ravi bergegas berlariku sambil mengajak Rashid sekali. Sebenarnya bakul ni tak adalah berat mana. Tapi apalah salahnya mengusik, jika boleh mengeratkan persaudaraan.
Melihat Ravi dan Rashid tergesa-gesa berlari membuatkan aku tersengih. Tapi apa yang berlaku kemudiannya, membuatkan senyuman terus hilang di wajahku.
YOU ARE READING
Masa ( Cerpen)
Science FictionSekumpulan pelajar universiti masuk ke dalam hutan mencari spesimen bunga yang sepatutnya dah pupus. Tapi berbagai perkara pelik berlaku ke atas mereka.