Sweater ditarik menutup bahu yang terdedah di sebalik tank top yang dipakai. Kedua tangannya kemudian dilipat memeluk tubuh sendiri. Pandangan didongak merenung langit. Tak ada bintang malam ni, nak hujan agaknya.
Beberapa saat kemudian, nafas panjang ditarik dan dilepas perlahan. Kali ni pandangannya menatap buku yang separuh terbuka dengan highlighter jadi penanda muka surat.
Duduk lepak dekat balkoni luar ni memang sebab nak habiskan bacaan pun. Merantau ke Deli. Novel karya Hamka yang menjadi sumber primer untuk dia punya tesis semester akhir.
Melihat buku itu entah kenapa wajah Fathur terbayang.
"Tak boleh ke you relax sikit? I cuma nak berkawan." Masa tu dia nampak yang Fathur serius. Menyampah sungguh agaknya dengan perangai dia yang over defensive, yang sinis dan sarkastik memanjang.
"I'm trying to keep myself from falling for you, so please don't make it hard." Dan masa tu juga dia nampak wajah Fathur yang susah nak ditafsir riaknya. Hanya kening sebelah yang terangkat sebagai respons, entah terkejut entah tak rasa apa-apa.
Anna tahu dia agak straightfoward kalau bercakap tapi dia sungguh maksudkan setiap perkataan yang dia sebut.
Dia jenis manusia yang tak suka drama, mungkin sebab jalan cerita hidup dia dah sedia banyak konflik dan plot twist walaupun baru permulaan bab.
Pandangannya kembali merenung Merantau ke Deli yang dah masuk bahagian peleraian. Ada sebab kenapa dia pilih buku tu untuk rujukan tesis walaupun bahasa klasik menguji iman.
Anna sengih. Agaknya kalau dia dan Fathur bersama, cerita hidupnya mungkin lebih kurang macam cerita watak dalam novel tu.
Perkahwinan yang hancur cuma sebab keturunan. Macam Leman yang merantau ke Deli dan berkahwin dengan isterinya. Isteri dari tanah Jawa yang setia dari susah sehingga senang. Dan disebabkan pegangan adat, hubungan mereka suami isteri diuji.
Baik macam mana sekali pun, setia macam mana sekali pun, kalau dah satu kampung 'bising' sebab perkahwinan yang tak ikut adat, hidup tak tenteram juga.
Demi menjaga keturunan yang mulia, Leman diminta berkahwin dengan seorang wanita Minangkabau. Hidup bermadu tak mudah dan disebabkan konflik kedua orang isterinya, Leman tersulut emosi sehingga dia melafazkan talak ke tiga atas isteri pertama siap hina keturunan Jawa tak setaraf.
Tapi Allah itu Maha Adil. Pada akhirnya, yang datang merangkak minta maaf tu Leman juga.
Anna menggeleng. Mahu menangis tak berlagu kena cerai talak tiga lepas tu kena hina anak haram.
Heh. Sinis dia tersengih.
Aunty Dahlia memang baik walaupun mereka baru kenal. Paling tak, dia selesa dengan wanita itu. Tapi dia juga sedar, hati manusia berubah. Masyarakat akan menghukum. Fathur dari keturunan yang dipandang. Kalau nak digandingkan dengan dia yang ber-bintikan Abdullah ini, malu tujuh keturunan gamaknya. Tak naklah dia jadi perosak nasab orang.
Sejak bila pandai jadi dramatik ni, Anna?
Sejak bila pandai fikir pasal masa depan sendiri dengan wujud Fathur di dalamnya?
Sejak dia sedar yang dia pun tak dapat nak terima diri sendiri. Masih tak boleh berdamai dengan alter ego dan inner demon yang selalu memekak dengan sebutan 'anak haram'.
Walaupun dah lali kena hina sejak kecil, tapi luka dalam hati dia masih berbekas. Parut masih terpahat kukuh.
28 tahun hidup dalam pandangan hina dari orang sekeliling membuatkan Anna rendah diri.
YOU ARE READING
Roseanna
SpiritualHidup tak sama macam cerita yang dikarang atas kertas. Hidup jugak tak semua indah macam fairytale. "Tell me, siapa je yang nak cacatkan keturunan dengan anak luar nikah macam aku ni?" Selamba ayat itu ditutur. Sama macam dia. Kisah hidup seorang Ro...