Usai menghantar Iman pulang ke pejabatnya, Faliq tidak kembali ke pejabat. Dia mengambil EL dan memandu pulang ke rumah.
Fikirannya terbeban dengan pelbagai perkara. Apa yang diperlukannya saat ini cumalah rehat yang tenang.
Tiba di rumah, Faliq pantas mengatur langkah ke arah sofa dan menghempaskan tubuh. Matanya dipejamkan sambil menikmati nyaman putaran kipas siling.
"Ah lega. Akhirnya boleh rehat sekejap." Perlahan saja ucapannya.
Keadaan rumah sangat sunyi. Biasanya waktu-waktu begini ayahnya ke masjid. Mak pula akan berehat.
"Kalau dapat Sunquick sejuk pun sedap juga ni," ujarnya sendiri. Faliq mengatur langkah menuju ke dapur. Sudah terbayang air berwarna kuning itu menuruni tekaknya.
Belum sempat Faliq merealisasikan niatnya, matanya tertacap pada sekujur tubuh yang sedang terbaring di lantai.
"Mak!" Panik Faliq mendekati tubuh Puan Ruzy yang sedang terbaring. Tangannya menggoncang perlahan tubuh emaknya.
"Mak! Bangun mak!" Panggil Faliq sedikit kuat. Hatinya semakin tidak enak apabila emaknya langsung tidak memberi respon.
Tidak menunggu lama, Faliq segera menggendong tubuh emaknya sebelum kereta meluncur laju menuju ke hospital.
***
Faliq termangu di hadapan wad yang menempatkan Puan Ruzy. Emaknya masih belum sedarkan diri. Iv drip sudah dicucuk. Kata doktor, darah tinggi emaknya naik. Puncanya stres dan terlalu banyak berfikir.
Wajah pucat Puan Ruzy bermain-main di mindanya. Perasaan serba salah bertalu-talu menusuk relung hatinya. Pasti dia adalah salah satu punca mak stres.
"Faliq." Suara Encik Ali menyentakkan lamunan Faliq. Faliq memandang sekilas wajah ayahnya.
"Mak dah sedar ke, ayah?"
Ayah menggeleng perlahan. "Sekejap lagi mak kamu bangun lah tu. Tulah, ayah dah cakap. Jangan difikirkan sangat. Biarlah kamu tentukan keputusan sendiri. Degil betul mak kamu tu."
Faliq hanya tersenyum hambar mendengar bebelan Encik Ali. Kan dah cakap. Memang dia punca mak stres. Haih, anak macam apa lah dia ni...
"Jangan salahkan diri sendiri. Benda dah nak jadi. Bukan salah kamu," pujuk Encik Ali. Tangannya menepuk perlahan bahu anak lelakinya itu.
Kasihan dia melihat anaknya yang kelihatan sangat penat itu. Baru sahaja pulang dari tempat kerja sudah dikejutkan dengan keadaan begini.
"Aliq serba salah, ayah. Tapi Aliq sendiri pun ada pendirian Aliq. Aliq... Aliq tak tahu nak buat apa." Hampir gugur air matanya apabila teringatkan tubuh kaku mak tadi. Tak sanggup dia membayangkan jika terpaksa kehilangan mak.
Encik Ali pantas mengusap bahu lelaki itu. Acap kali dia mengingatkan isterinya agar tidak masuk campur soal jodoh Faliq. Tapi, isterinya tetap tegas dengan keputusannya.
Kasihan dia melihat Faliq yang tersepit ketika itu. Dia tahu, anaknya sangat sayangkan Puan Ruzy. Anak lelakinya itu sanggup melakukan apa sahaja demi Puan Ruzy.
"Jom masuk. Tengok mak." Ajakan ayahnya dituruti. Langkahnya membuntuti Encik Ali.
Tubuh Puan Ruzy sedang terbaring lemah di atas katil.
"Aliq...." Suara lemah Puan Ruzy kedengaran. Dengan pantas Faliq mengambil tempat di sisi emaknya.
"Ya mak." Tangan tua itu diusap dengan lembut.
"Aliq dah makan?" Makin luluh hati Faliq dengan pertanyaan emaknya. Bukannya sibuk memikirkan diri sendiri, anak juga yang dikesahkan.
"Dah mak. Aliq dah makan. Mak... Aliq minta maaf kalau sebab Aliq mak jadi macam ni. Aliq bukan tak nak terima permintaan mak. Tapi Aliq masih tak sedia lagi. Tapi mak, bila Aliq tengok keadaan mak macam ni, Aliq tak sanggup nak hampakan mak lagi. Maafkan Aliq, mak," ucapnya sambil mencium tangan Puan Ruzy. Terasa kesal dengan perbuatannya sendiri.
YOU ARE READING
BUKAN MILIKKU
RomanceAs known as Kerana Dia Milikku Apabila persahabatan yang dibina sejak kecil mula renggang dek halangan jarak, tinggallah Iman dan Faliq. Timbulnya masalah yang mendesak telah menyatukan hati mereka berdua. Namun, Iman tahu ini bukan jalannya. Pers...