2

1.3K 78 192
                                    

Lampu beraneka warna berkilauan menarik pandangan Melynda, lalu dia merapati tembok batu yang dijadikan penghadang. Langkah untuk balik ke rumah terhenti seketika. Pada kedudukannya, suasana I - City yang terletak bersebelahan nampak meriah, cahaya bergemerlapan. Malam minggu memang begitu cuma Melynda sendirian kali ini.

Beg kitar semula yang berisi barang diletak di atas lantai sebelah kakinya. Sebatang rokok dibakar, disedut dua kali setelah menyelit di antara jari telunjuk dan jari tengah. Bayu senja menghampiri malam berpuput lembut membuatkan rambut lurus yang baru diberi rawatan terbuai.

Fikiran Melynda melayang, Zaen kini berada di rumah keluarganya. Berkali kali Zaen memujuk Melynda agar mengikut bersama, Melynda berkeras membisu seribu bahasa, akhirnya Zaen mengalah. Sudah dikatakan dia tak layak buat Zaen. Melynda sedar perbezaan usia dia dan Zaen. Meskipun Zaen sering berkata Rozita Che Wan dan Zain Saidin lagi ketara perbezaan usia, itu tak membuatkan Melynda merubah fikiran. Dirinya dan Rozita Che Wan terlalu jauh perbandingannya.

Semua mesej dari Zaen sepanjang keberadaan di sana, tak dijawab Melynda. Biarlah Zaen fokus pada keluarga yang dijenguk sesekali. Melynda tau Zaen bukan sekadar pulang, Zaen ditunangkan dengan gadis pilihan ibu meskipun Zaen tak memberitahunya. Melynda menyedut rokok buat sekelian kali.

"Lyn!". Bahunya ditepuk kuat membuatkan Melynda tersentak.

"Ha...Bel. Apahal?".

"Aku call kau tak angkat, penat tunggu kat pintu".

Melynda meraba poket seluar. Nyata ada beberapa panggilan tak berjawab dari Zaen dan Nabila.

"Sorry. Tak perasan silent mode".

"Mana boyfriend?", soal Nabila selepas meneguk Calpis, sempat dibeli di kedai serbaneka tak jauh dari tempat Melynda berhenti.

"Balik kampung. Bertunang", jawab Melynda mengalas semula beg kitar semula dan melangkah balik. Nabila berjalan mengiringi dia.

"Hah.. habis kau?". Nabila terkejut dengan cara Melynda memberitahunya seperti tiada apa apa.

"Jantan tak guna. Dah senang hidup dengan kau, lepas tu dia tinggalkan. Dia ingat kau ni helpdesk?", luah Nabila yang sakit hati. Dia memang tak berkenan dengan Zaen. Selalu mengikut Melynda ke mana mana, hatta ketika mereka ber'ladies night' pun. Banyak hal yang Nabila terpaksa pendam dari bercerita kerana teman lelaki Melynda sentiasa ikut bersama.

Nabila memeluk tubuh dan mengunci mulut apabila masuk ke dalam lif, memandangkan ada penghuni unit lain bersama. Ditenung Melynda, teman yang dikenali dua tahun lalu tanpa sengaja. Melynda membantunya saat dia ditinggalkan di tepi lebuhraya Guthrie oleh teman lelaki saat mereka menuju ke Ipoh untuk makan tengah hari pada Ahad bersejarah itu. Nabila menangis dan termangu, panik sebelum sebuah
Audi Q5 putih berhenti dan menurunkan cermin.

Dari saat itu, dia sering berkongsi cerita dengan Melynda sehinggakan teman lelaki barunya pernah terfikir yang Melynda itu pasangan lesbiannya di awal perkenalan. Apabila diceritakan pada Melynda ketika Nabila membawa bakal suaminya bersama untuk makan tengah hari, Melynda ketawa hingga berair mata.

"Naim, I straight. I boleh buat you turn on sekarang tau kalau you bukan boyfriend Nabila", ujar Melynda mengenyit mata dan mengelus lengan Naim. Sejak itu, Naim enggan mengikut Nabila jika Nabila ingin bertemu Melynda. Kata Naim, dia takut tewas dengan godaan Melynda.

"Lyn, kau ok tak ni? Kenapa kau tak cakap si jahanam tu dah bertunang?", tanya Nabila bertalu talu sebaik Melynda membuka pintu grill.

"Ni ada lagi selipar, kasut dia. Apa hal? Mana plastik? Aku nak buang", minta Nabila dari Melynda.

"Biar situ. Nanti dia datang ambil", balas Melynda mengeluarkan buah buahan, jus, biskut digestive, roti, telur dan tuna dalam tin dari dalam beg kitar semula.

"Eh, kau ni kan Lyn. Jantan tu dah buat macam tu pun kau ok lagi".

"Ni baju dia pun ada lagi. Kau ni Lyn, jangan bagi muka sangat kat Zaen tu" bebel Nabila keluar dari bilik kedua Melynda.

"Bel. Kau dah makan belum?", tanya Melynda mengoyakkan sachet Essenso dan dituang ke dalam mug.

"Dah", jawab Nabila ringkas. Remote astro ditekan. Rumah Melynda adalah tempat dia melepak sewaktu dia kecewa dulu. Berhari hari di situ. Dah macam rumah sendiri cuma bila sudah berkawin dengan Naim, dia jarang ke sini. Apatah lagi bila Melynda ada teman lelaki.

"Tak kenyang lagi eh?". Dentingan sudu berlaga dengan mug jelas kedengaran.

"Kenyang la. Tadi aku makan Nandos dengan Naim". Nabila menghenyakkan punggung ke sofa.

"Korang share sepinggan ke?

"Hei.. tak la. Kau tak tengok badan Naim sekarang. Mana cukup kalau makan share dengan aku macam masa bercinta dulu".

"Aku tengok kau tu membebel macam singa lapar". Panjang muncung Nabila bila Melynda mengusiknya.

"Eh kau kan Lyn. Aku bebel sebab kau. Aku dari dulu tak berkenan dengan Zaen tu. Bukannya aku tak tau, dia nak duit kau je. Nak menumpang senang kau", sambung membebel lagi.

"Sakit hati aku ni tau tiba tiba dia bertunang dengan orang lain. Patutnya kawin terus dengan kau Lyn. Korang pun dah lama tinggal serumah", tambah Nabila.

"Kau sendiri cakap dia menumpang senang aku. Kalau aku kawin dengan dia, kau rasa macam mana?", soal Melynda meletak dua biji mug di atas meja kopi. Nabila terdiam.

"Nasib kau tak mengandung Lyn", bisik Nabila saat Melynda bersandar pada sofa. Mereka duduk rapat, mata memandang ke tv.

"Sampai hati dia buat kau macam ni". Nabila masih tak berpuashati.

"Bel, dia banyak kali ajak aku balik jumpa parents dia. Aku yang tak nak", beritahu Melynda.

"Sampai bila kau nak hidup macam ni Lyn?". Nabila menggenggam tangan Melynda. Jari runcing Melynda yang baru di manicure diusik.

"Entah la".

"Kau tak sayangkan dia Lyn?", tanya Nabila menyandarkan kepala di lengan Melynda.

"Sayang? Entahlah. Aku tak nak dia ada masalah dengan mak dia".

"Masalah apa?".

"Aku dah tua Bel. Tah subur tah tak lagi". Nabila terdiam. Memang Melynda berbeza umur dengan dia, sebaya dengan kakak nombor tiganya. Subur atau tidak, Nabila tak boleh membuat andaian. Dia sendiri masih belum mengandung.

"Tapi kau kaya", ujar Nabila.

"Jadi, kalau mak dia bagi Zaen kawin dengan aku, kau rasa sebab cinta atau kaya aku?".

Soalan Melynda buat Nabila terdiam. Dari dulu dia tak senang dengan Zaen tapi Naim kata Zaen ikhlas dengan Melynda. Nabila pasti Zaen tau Melynda ni perempuan berduit, berharta.

Rumah yang Melynda diami sekarang, bukan satu satunya rumah Melynda. Banyak lagi yang dijadikan sebagai aset pelaburan. Melynda suka rumah kecil ini kerana dekat dengan kemudahan dan jalan utama.

"Famili kau macam mana?".

"Tah". Melynda meneguk kopi O tanpa gula. Fikirannya menerawang ke kisah silam.

PilihankuWhere stories live. Discover now