"Namjoon, kamu dah bersedia?" soal lelaki pertengahan umur yang mengiringi Kim Namjoon di sisi. Dia kini berada di hadapan gerbang Rumah Suci. Rancangan untuk melarikan diri serta-merta terbatal apabila sekumpulan jiran tetangga datang ke rumah untuk menyambutnya semasa senja tadi.
Mereka telah menyiapkan satu set baju kemeja berwarna putih. Khas untuk dirinya yang bakal dijadikan korban kepada ritual gila mereka. Dia terlalu buntu untuk memikirkan alasan disebabkan kehadiran mengejut orang kampung. Akhirnya, Kim Namjoon terpaksa akur saja mengikuti jiran tetangga ke Rumah Suci.
Kim Namjoon menoleh ke sisi. Tidak jauh daripada tempat dia berdiri, terdapat seorang gadis berpakaian gaun putih hingga paras betis. Di sebelah gadis itu pula kelihatan seorang wanita pertengahan umur yang mengiringinya. Namjoon yakin, dia adalah gadis yang terpilih untuk dijadikan bakal korban.
Namun, wajah gadis itu tidak kelihatan kerana ditutupi dengan kain viel. Malah, bahagian bawah wajahnya juga ditutup dengan sehelai kain. Ia sememangnya perlu dipakai oleh seorang gadis yang terpilih bagi memelihara kesucian wajah sehinggalah tiba pada hari ritual.
Apabila dilihat sekali imbas, mereka berdua kelihatan seperti mempelai. Itu membuatkan Namjoon berasa tidak selesa apabila memikirkan Yeonha mungkin berada di dalam Rumah Suci dan melihat Namjoon berpakaian persis pengantin lelaki bersama gadis yang langsung tidak dikenali.
"Hei, kamu tak apa-apa?" teguran itu membuatkan Namjoon tersentak. Sedari tadi lelaki pertengahan umur disebelahnya sedang memerhati dirinya yang termenung jauh.
"Ah? Ya, saya okey cuma gementar sikit." palsu. Sekali lagi, Kim Namjoon menuturkan kata-kata palsu hanya untuk menyelamatkan diri sendiri.
"Jangan risau. Semuanya akan berjalan dengan lancar. Dewa ada bersama kita." kata-kata lelaki itu dijeda seketika apabila bunyi dentingan alat muzik sebanyak tiga kali dari dalam. Namjoon tahu apakah maksud bunyi tersebut. Itu adalah petanda kepadk para korban untuk masuk ke dalam Rumah Suci.
"Mari kita masuk." Namjoon mengangguk lalu melangkah dengan berat hati. Melalui pandangan sisi, Namjoon merasakan gadis itu juga turut melangkah di sisinya diiringi dengan wanita pertengahan umur sebentar tadi.
Gerbang Rumah Suci dibuka seluas-luasnya bagi mengalu-alukan kedatangan mereka. Tepukan gemuruh daripada penganut Iremía mula kedengaran. Mereka bangkit daripada tempat duduk sambil memandang ke arah Namjoon dan gadis tersebut yang berjalan di antara dua barisan.
Perlahan-lahan Namjoon mengayunkan kaki. Sangat perlahan sehingga detak jantungnya dapat menyaingi kelajuan langkahnya. Sungguh, pada saat itu jantungnya berdetak hebat sehingga nafasnya terasa sesak. Buku lima digenggam bagi mengumpulkan kekuatan.
YOU ARE READING
The Ritual.
Mystery / Thriller❝ Unethical Religious Practice | Human Sacrifice ❞ ㅤDesa Bezuch merupakan sebuah perkampungan terpencil yang menjalankan sebuah ritual ngeri pada setiap tahun ke kelima, bulan September. Para rakyat Bezuch akan dipilih untuk dijadikan korban namun...