❝ Unethical Religious Practice | Human Sacrifice ❞
ㅤDesa Bezuch merupakan sebuah perkampungan terpencil yang menjalankan sebuah ritual ngeri pada setiap tahun ke kelima, bulan September. Para rakyat Bezuch akan dipilih untuk dijadikan korban namun...
Alamak! Gambar ini tidak mengikut garis panduan kandungan kami. Untuk meneruskan penerbitan, sila buang atau muat naik gambar lain.
Cuaca yang sejuk selepas hujan lebat pada malam itu sememangnya menjadi kegemaran buat semua penghuni alam untuk berselebung di dalam selimut dan diulit mimpi indah.
Terumatanya penduduk Desa Bezuch yang baru sahaja selesai separuh daripada upacara keagamaan mereka. Semua penduduk di situ telah pulang ke kediaman masing-masing sebaik sahaja upacara pada malam itu tamat.
Pada hari keesokannya, mereka akan melaksanakan upacara pada peringkat akhir di mana dua orang korban yang terpilih, termasuklah Namjoon akan disembelih secara hidup-hidup.
Ketika semua penduduk sedang nyenyak tidur di rumah mereka, hanya seorang individu sahaja yang masih berjaga. Dia ialah Kim Namjoon.
Namjoon telah ditempatkan di dalam sebuah rumah kabin seorang diri. Tiada langsung cahaya lampu yang menerangi kegelapan bilik pada malam itu. Hanya biasan cahaya daripada luar jendela yang menerobos masuk ke dalam.
Di sebalik kegelapan, Namjoon sedang menggigil hebat. Refleks tubuhnya sebegitu bukanlah disebabkan suhu yang dingin. Tetapi, kerana dia diselubungi rasa takut. Rasa takut yang teramat.
Namjoon mengorak langkah ke hadapan. Kemudian, dia memusingkan tubuhnya lalu mengulangi perkara yang sama. Lagi, lagi, dan lagi.
Sepasang kaki itu asyik mundar-mandir di segenap ruang. Kukunya digigit tanpa sedar. Sungguh pada waktu itu, dia benar-benar buntu memikirkan cara untuk menyelamatkan diri. Mindanya dikuasai oleh perasaan cemas menyebabkan dia sukar untuk berfikir dengan tenang.
Namjoon masih tidak mengerti mengapa antara ramai-ramai anak teruna dalam kampungnya, dia juga yang terpilih untuk dijadikan korban dalam upacara ritual.
'Gila, ini memang gila!' Namjoon menyumpah seranah di dalam hati.
Namjoon tahu bahawa dia perlu melarikan diri sekarang juga. Jika dia tidak bertindak, mungkin tiada lagi peluang pada hari esok.
Yeonha juga pasti akan kecewa jika mengetahui bahawa dia tidak mengambil peluang yang ada untuk melarikan diri. Teman wanitanya telah meletakkan sepenuh harapan kepada Namjoon jadi dia tidak boleh mensia-siakannya.
Setelah yakin dengan keputusannya, Namjoon mula mencari barang yang boleh digunakan untuk meloloskan diri. Matanya meliar ke segenap ruang bilik yang begitu asing baginya. Rumah kabin itu bukanlah milik Namjoon.
Tempat tersebut telah disediakan khas untuk individu yang terpilih dijadikan korban ritual. Dia dan Bae Jungna telah ditempatkan di rumah kabin yang berasingan. Mereka berdua tidak dibenarkan untuk pulang ke rumah sama sekali.
Itu merupakan salah satu tradisi Desa Bezuch. Pelbagai keistimewaan diberikan kepada bakal korban kerana penganut Iremía menganggap sesiapa saja yang terpilih oleh dewa layak dihormati.
Walaupun mereka diberikan pelbagai kesenangan, mereka juga perlu mematuhi syarat dan peraturan sepanjang upacara berlangsung. Hal ini bagi memelihara kesucian ritual dan kesucian diri para korban itu sendiri daripada melakukan perkara yang dilarang.