Cuaca yang sejuk selepas hujan lebat pada malam itu sememangnya menjadi kegemaran buat semua penghuni alam untuk berselebung di dalam selimut dan diulit mimpi indah.
Tetapi, lain pula bagi Kim Namjoon. Dia telah ditempatkan di dalam sebuah rumah kabin seorang diri. Tiada langsung cahaya lampu yang menerangi kegelapan bilik pada malam itu. Hanya biasan cahaya daripada luar jendela yang menerobos masuk ke dalam.
Di sebalik kegelapan, tubuhnya sedang menggigil hebat. Refleks tubuhnya sebegitu bukan disebabkan suhu yang dingin. Namun disebabkan dia dihurung perasan takut dan resah-gelisah yang teramat.
Namjoon mengorak langkah ke hadapan. Kemudian, dia memusingkan tubuhnya lalu mengulangi perkara yang sama.
Lagi,
lagi,
dan lagi.
Sepasang kaki itu asyik mundar-mandir sejak tadi. Fikirannya buntu memikirkan idea untuk menyelamatkan diri. Disebabkan kebimbangan yang melampau, kukunya digigit tanpa sedar.
'Aku kena lari.' hatinya berbisik. Namjoon tidak rela dijadikan korban oleh penduduk di sini. Dia tidak mengerti kenapa antara ramai-ramai anak teruna dalam kampungnya, dia juga yang terpilih untuk dijadikan korban dalam upacara ritual.
Gila, ini memang gila! Namjoon menyumpah seranah di dalam hati.
"Kalau rahsia aku pecah, aku tetap akan dijadikan korban nanti. Lebih baik aku lari daripada mati dengan sia-sia." gugup dia menyuarakan rasa hati.
Setelah yakin dengan keputusannya, Namjoon mula mencari barang yang boleh digunakan untuk meloloskan diri. Matanya meliar ke segenap ruang bilik yang begitu asing baginya. Rumah kabin itu bukanlah kepunyaannya.
Tempat tersebut telah disediakan khas untuk dua orang yang terpilih dijadikan korban ritual seperti dia. Selama tiga hari berturut-turut, Namjoon telah dilayan dengan begitu istimewa oleh penduduk.
Itu merupakan salah satu tradisi Desa Bezuch sebelum hari ritual tiba. Pelbagai keistimewaan diberikan kepada bakal korban kerana penduduk Bezuch menganggap sesiapa saja yang terpilih oleh dewa layak dihormati.
Bukan saja Namjoon, bahkan ada seorang gadis yang turut bernasib malang seperti dia. Tak- bukan bernasib malang. Mungkin gadis itu menganggap pemilihan tersebut sebagai tuah kerana ajaran agama yang dipegang.
Bercanggah pula dengan dirinya yang langsung tidak bersetuju dengan pemilihan ritual itu. Dia menganggap ianya sebagai satu bala yang besar. Jadi, dia nekad untuk melarikan diri dari Desa Bezuch.
Sepasang mata berbentuk badam itu tertumpu pada kerusi kayu yang berada tidak jauh daripadanya. Tanpa berlengah lagi, Namjoon mengangkat kerusi tersebut lalu dia melangkah menghampiri tingkap.
Nafas ditarik lalu dihembus bagi mengumpul segala keberanian. Setelah berasa yakin, kedua belah tangannya diangkat sambil memegang kerusi lalu-
Prang!
Bunyi kaca berderaian memecahkan kesunyian. Namjoon tahu kebingitan itu akan mengakibatkan penduduk Bezuch terjaga dari lena jadi dia pantas bertindak. Dengan segala kudrat yang ada, dia memanjat tingkap yang telah dipecahkan.
Namjoon mendarat ke tanah dengan selamat. Tanpa berlengah lagi, kakinya diayunkan pantas menuju ke destinasi yang tidak pasti. Dia sendiri tidak tahu ke mana mahu pergi. Apa yang terlintas di fikirannya ketika itu adalah berada jauh daripada Desa Bezuch.
Lama-kelamaan, tubuhnya menghilang disebalik hutan yang tebal. Pada malam bulan September, Kim Namjoon seorang penduduk Bezuch yang terpilih untuk dijadikan korban telah berjaya melarikan diri tanpa pengetahuan sesiapa.
YOU ARE READING
The Ritual.
Mystery / Thriller❝ Unethical Religious Practice | Human Sacrifice ❞ ㅤDesa Bezuch merupakan sebuah perkampungan terpencil yang menjalankan sebuah ritual ngeri pada setiap tahun ke kelima, bulan September. Para rakyat Bezuch akan dipilih untuk dijadikan korban namun...