NaDraH melangkah perlahan sambil menikmati suasana petang di tepi laut itu. Dia
tersenyum sendiri melihat Han River di depan mata. Orang masih ramai walaupun hari sudah mulai senja. Pasti mereka juga mahu menyaksikan sendiri keindahan Love Bridge pada waktu malam. Nadrah terus memotret suasana indah di situ. Matanya bukan melihat untuk dirinya sahaja, tetapi untuk Humairah juga sebagaimana yang telah dijanjikannya dahulu sebelum berangkat ke Vietnam.
Angin malam di tepi laut itu bertiup menampar lembut wajahnya. Ada kenyamanan yang dirasakan. Lampu berwarna merah berbentuk hati tergantung di sepanjang jambatan itu. Tidak jauh dari situ kelihatan sebuah lagi jambatan bercahaya yang boleh dilihat dengan jelas iaitu Dragon Bridge, yang merupakan salah satu lagi daya tarikan pelancong jika ke Da Nang.
Jambatan yang terbina di Han River itu sememangnya menarik dan unik dengan replika naga, dibina di sepanjang jambatan tersebut. Berukuran sekitar 666 meter, Dragon Bridge dikatakan sebagai jambatan terpanjang di Vietnam. Pengunjung juga boleh terus berjalan ke Love Lock Bridge dan melihat replika kepala naga yang mengeluarkan air. Banyak pasangan tidak mahu melepaskan peluang berkunjung ke sana. Padan dengan namanya, 'Love Lock Bridge', sudah pastinya menarik minat ramai pasangan tidak kira rakyat tempatan mahupun pelancong asing untuk 'menguncikan cinta' mereka di jabatan tersebut.
Jika di Korea, ada Namsan Tower, Perancis pula memiliki Pont des Arts, manakala di Jerman pula memiliki Hohenzollern Bridge dan begitu juga di Love Lock Bridge ini. Nampaknya aktiviti 'mengunci cinta' sudah merebak ke seluruh benua dari Eropah hinggalah ke Asia.
Nadrah menaiki anak tangga DHC Marina satu persatu. Dia mahu melihat Carp-Dragon Statue yang ada di sana secara lebih dekat. Tidak sah jika ke Han River tetapi tanpa melihat tugu tersebut. Tugu besar yang berbentuk kepala naga itu kelihatan gah dan memiliki keunikannya yang tersendiri.
'Banyak betul jambatan di Sungai Han. Kalau jalan ni sampai esok pun tak habis,' getus hati kecilnya sambil menikmati pandangan indah malam itu. Kalau tidak silap ada 10 buah jambatan cantik di sepanjang Sungai Han dan ada empat yang paling popular dan masing-masing mempunyai simbol yang tersendiri.
'Kalau Mai ada mesti dia tahu semua pasal jambatan di sini,' nafas dihela perlahan. Wajah teman baiknya mula terbayang. Jika ada Humairah pastinya gadis itu boleh menerangkan semua itu daripada A sampai Z tetapi malangnya Aisha Humairah tiada ketika itu.
Langkah diteruskan lagi. Matahari sudah mulai melabuhkan diri. Perlahan-lahan cahayanya mulai sirna dari dada langit. Angin laut masih menampar lembut membuatkan dia kedinginan. Nadrah sengaja memejamkan mata, mahu menikmati keindahan senja di situ. Sebuah perasaan damai yang jarang dapat dirasai. Malam itu dia mahu menikmati keindahan cahaya di sepanjang jambatan itu sepuas-puasnya. Itu mungkin kesempatan sekali seumur hidup. Dia sendiri tidak tahu bila dia akan berkunjung ke situ lagi.
Malam pertama di Da Nang adalah malam yang mendamaikan walaupun sesak dengan orang ramai, namun bunyi ombak yang menghempas, bayu malam yang bertiup dan cahaya lampu yang berwarna-warni membuatkan dia lupa seketika dengan dunia sebenarnya. Benar kata Humairah malam di Da Nang memang romantis.
Sungguh, itu malam yang sangat indah!
paGi-paGi lagi Nadrah sudah dikejutkan dengan WhatsApp daripada Hans. Jam pada telefon bimbitnya dipandang sekilas. Sudah pukul 4.50 waktu tempatan bermakna di Malaysia sekarang sudah pukul 5.50 pagi, sejam lebih awal dari waktu di Vietnam.
Berdebar juga dia membuka peti mesejnya itu. Bimbang jika Hans tahu apa yang sedang berlaku. Habis dia kalau Hans tahu jika dia ke Vietnam tanpa Humairah. Lebih teruk jika Hans tahu dia bercuti dengan Rasyad.
YOU ARE READING
Kasih Dia Tanpa Sempadan
General FictionPenulis: Kasih Dia Tanpa Sempadan Penulis: Citra Fitz www.p2u.my