"Seriously? Tak boleh ke tunda program tu? Mai, kau dah janji, tapi kenapa tiba-tiba tak jadi?" hampir gugur jantungnya pagi itu apabila mendengar kata-kata Humairah di hujung talian.
Kalau ikutkan hati, Nadrah mahu sahaja bergegas ke Gombak untuk berjumpa Humairah demi mendapatkan kepastian. Nadrah percaya kalau dengan kehebatannya merempit motosikal, sekejap sahaja dia boleh sampai ke universiti kawannya itu. Apalah sangat kalau setakat dari Petaling Jaya ke Gombak.
"Aku minta maaf sangat-sangat... Aku dah cuba dah, tapi program kali ni memang tak boleh tunda," entah berapa kali Aisha Humairah mengulang ucapan maaf, dirinya betul-betul diselubungi perasaan bersalah.
Sesiapa sahaja yang berada di posisi Nadrah pasti akan terkejut. Perjalanan menjelajah Indochina yang telah dirancang oleh mereka berdua sejak awal tahun, nampaknya terpaksa dibatalkan begitu sahaja.
"Tapi kau kan pengarah, tak boleh ke ubah tarikh program. Paling tidak tunggulah sampai kita balik Malaysia." Nadrah masih tidak berputus asa memujuk kawannya.
Dia sudah membayangkan semua jadualnya 'hangus' terbakar. Soal duit bukanlah persoalan utama bagi Nadrah, hatinya cuma terkilan, pengalaman yang sepatutnya menjadi sangat berharga, akhirnya terlebur begitu sahaja.
"Sorry Nad... Aku betul-betul minta maaf, aku memang tak boleh nak buat apa, sebab program ini bawah fakulti, bukan program biasa," kata-kata Humairah tersebut membuatkan dia terdiam seketika.
Nadrah baru teringat program yang dimaksudkan temannya itu. Program yang bakal diadakan di kawasan pedalaman orang asli, di Pahang. Sememangnya itu adalah impian Humairah sejak dulu lagi. Dia berhasrat untuk memberikan pendedahan kepada masyarakat orang Asli tentang kepentingan ilmu dalam kalangan mereka. Humairah seorang bakal guru yang sangat bercita-cita tinggi, bahkan hala tuju kariernya sudah tersusun rapi, walaupun dia belum bergelar graduan.
"Aku teringin nak mengajar di kawasan pedalaman. Kalau boleh aku nak ajar anak orang asli dan mereka yang kurang berkemampuan. Aku tak kisah kalau dihantar ke Sabah atau Sarawak," ujar gadis itu suatu ketika dahulu.
Nadrah tersenyum mendengar impian kawannya itu dan dalam diam, dia sangat mengagumi Humaira. Seorang anak muda yang 'rare'. Semua rakan seperjuangannya berlumba-lumba mahu mengajar di bandar, di sekolah yang dekat dengan kampung halaman sendiri, tetapi lain pula gadis itu. Jiwanya kental, semangatnya cukup luar biasa.
"Setahun aku bekerja keras untuk program ini. Aku harap kau faham," permintaan Humairah mematikan lamunan Nadrah.
"Ya, aku faham Mai dan aku minta maaf, aku selfish tadi. It's okay! Kita boleh postpone trip kali ini. Insya-Allah lepas semuanya selesai kita akan rancang semula," ujar Nadrah sambil tersenyum walaupun kawannya tidak dapat melihat senyuman itu.
Akhirnya Nadrah akur dan jika ini caranya untuk belajar ikhlas, maka dia reda. Dia juga harus belajar erti pengorbanan kerana penjelajahan ke Indochina tersebut hanya tinggal impian, yang tidak tahu bila akan tertunai.
"No! Tak boleh macam tu. Kau kena teruskan juga trip ni. Semua plan yang sudah dirancang akan tetap diteruskan. Kau tetap akan ke Vietnam next week!" Kata-kata Humairah buatkan Nadrah terkejut dan keliru. Seingat Nadrah, Humairah baru sahaja mengatakan yang dia tidak dapat meneruskan trip ini dan dia juga yang beria-ia meminta maaf. Tidak mungkin dalam masa beberapa minit keputusannya boleh berubah. Kejam sangatkah Humairah membiarkan dia berjalan ke negara asing sendirian? Biar betul! Pasti ayahnya akan melarang. Berjalan di dalam negara sendiri pun susah hendak dilepaskan, inikan pula berjalan di negara orang. Tidak masuk akal!
"Mai..."
"Jangan risau aku tak akan bagi kau pergi sendiri. Aku dah fikir masak-masak dan aku ada jalannya." Pantas Humairah memotong kata-kata Nadrah. Ternyata dia belum gila untuk membiarkan Nadrah berjalan sendirian.
YOU ARE READING
Kasih Dia Tanpa Sempadan
General FictionPenulis: Kasih Dia Tanpa Sempadan Penulis: Citra Fitz www.p2u.my