"Garam ni nak letak banyak mana? Nak kena bubuh gula sekali tak? Berapa banyak nak letak?" Nadrah memandang ibunya sambil memegang sesudu kecil garam. Itulah dahulu tak mahu belajar memasak, sekarang sudah duduk jauh baru terhegeh-hegeh mahu berguru dengan ibunya. Itulah rutinnya setiap kali pulang ke rumah pada hujung minggu.
Jika dahulu dia hanya bersekolah harian biasa tetapi sekarang dua minggu sekali baru dia boleh pulang ke rumah. Dia kini sudah masuk ke sekolah berasrama, perjalanan pulang ke asrama pula memakan masa tiga jam, perkara itu sangat meletihkannya. Alangkah bagusnya jika keluarganya membenarkannya bersekolah harian seperti dahulu!
"Letaklah sedikit. Agak-agak aje..." Mudah sahaja jawapan yang diberikan oleh ibunya. Nadrah sudah tersenyum. Jawapan cliché seorang ibu lebih-lebih lagi mereka yang bergelar 'asian moms'.
"Ara letak agak-agak aje ni. Kalau sedap maknanya Ara yang masak. Kalau masin nanti Ara cakap dekat ayah yang ibu yang salah bagi formula," jawabnya bersahaja.
Tangannya mula menggaul kuah asam pedas di dalam periuk. Teruja betul dia hari itu dapat membantu ibunya di dapur. Bukan senang untuk dia mendapatkan peluang seperti itu. Mana tidaknya, di asrama semua makanan telah disediakan oleh tukang masak, pelajar hanya turun ke dewan makan sahaja bagi menjamu selera.
"Amboi... awak yang masak ibu pula yang kena. Daun limau purut jangan lupa letak. Biar tambah rasa dan naik baunya," ujar Puan Halida sambil terus memotong sayur untuk dibuat ditumis sebentar nanti. Api dapur dimatikan dan segera Nadrah ke peti sejuk bagi mendapatkan daun yang dimaksudkan oleh ibunya.
Nadrah terpegun seketika melihat peti sejuk. 'Kenapalah banyak sangat tumbuh-tumbuhan dalam fridge ini. Manalah nak tahu daun tu yang mana satu,' hatinya mula membebel sendiri.
"Lamanya kamu cari daun. Jumpa ke tidak?"
"Sebenarnya Ara bukan tak jumpa daunnya, Ara cuma lupa rupa daun limau purut tu..." Dia tersengih seperti kerang busuk sambil memandang ibunya. Puan Halida sudah tersenyum simpul. Sudah dapat mengagak yang anak bongsunya itu tidak mengenali daun tersebut.
"Daunnya kecil-kecil je. Kalau tak tahu kamu boleh bau daun tu. Takkan tak tahu daun yang ibu selalu masukkan dalam asam pedas. Kamu ni macam setahun sekali balik rumah. Bukan baru dua minggu lepas ke ibu masakkan kamu asam pedas?"
"Mana Ara ingat. Ara makan apa semalam pun Ara tak ingat. Dalam kepala ni ada banyak lagi benda nak fikir. Ara tak 'power' macam ibu yang boleh ingat semua benda," balasnya sambil terus mencari daun tersebut.
'Daun ni pun satu hal. Bila nak pakai tak jumpa pula. Kalau tak nak, ada aje muncul depan mata,' hati kecilnya membebel lagi.
"Benda simple macam tu pun tak tahu. Itu baru cari daun dalam fridge, bukan pergi beli sendiri dekat pasar. Alamatnya memang tak jumpalah macam tu," muncul pula kak ngahnya dari arah belakang, lantas menolaknya sedikit ke tepi. Tangan gadis itu pantas mencari daun hijau tersebut.
Sudah lama kak ngahnya tercegat di pintu dapur. Dia sengaja berdiri di sana sejak pulang dari perpustakaan tadi. Namun, sejurus mendengar perbualan ibu dan adik bongsunya membuatkan dia segera ke dapur.
"Nah! Ini dia daun limau purut. Lepas ini kalau tak ingat lagi tak tahulah nak cakap apa," sindir Marsha lagi.
"Alaa... Ara lupa je. Tak payahlah nak perli," muncung sudah ditarik. Daun tadi segera dibasuh dan dimasukkan ke dalam asam pedas yang masih berada di atas dapur.
"Anak manja. Semua benda tak tahu. Mengada-ngada betul!" rengus gadis itu tadi. Air kosong di dalam peti ais dicapai dan dituangkan ke dalam gelas. Panas pula melihat telatah manja Nadrah dengan ibunya tadi. Ingatkan selepas masuk ke asrama sudah berubah, tetapi nampak gayanya sama sahaja, masih manja seperti dahulu.
YOU ARE READING
Kasih Dia Tanpa Sempadan
General FictionPenulis: Kasih Dia Tanpa Sempadan Penulis: Citra Fitz www.p2u.my