Bab 3

205 5 0
                                    

Talian dimatikan dan dia segera melangkah semula ke bilik. Nafas dihela lega kerana semuanya berjalan dengan baik, walaupun pada mulanya dia sendiri ragu-ragu sama ada perlu menghubungi ayahnya atau tidak.

Kalau diikutkan hati dibiarkan sahaja tanpa memberitahu ayahnya, biarlah dia ke luar negara sendiri. Kakak sulungnya sudah pun tahu dan pasti akan memberitahu ayah mereka perkara ini, tetapi dia dinasihati supaya memberitahu langsung kepada ayah. Walaupun hatinya kuat mengatakan tidak perlu menghubungi ayahnya, namun jauh di lubuk hati membisikkan bahawa itu adalah tanggungjawab sebagai seorang anak dan demi menghormati ayahnya. Kata-kata Hans tempoh hari menyedarkannya bahawa ayahnya juga berhak untuk tahu tentang semua perancangannya.

Pintu bilik dibuka perlahan sambil memberi salam. Rakan-rakan sebiliknya masih sibuk di meja belajar. Nik mungkin sedang berperang dengan tesis, manakala Fazira yang memasang 'headphone' di kepala juga sibuk dengan assignment subjek Mikroekonominya.

"Kau ke mana Nad? Tiba-tiba hilang," tanya Nik sebaik sahaja melihat Nadrah melangkah masuk ke bilik. Tudung bawal berwarna hitam terus ditanggalkan dan dia terus ke meja belajar. Esok pagi lagi dia sudah ada test. Nik pula bernasib baik kerana tidak mengambil subjek tersebut, jadi boleh terus bersama tesisnya malam itu.

"Pondok bawah," jawab Nadrah pendek. Telefon bimbit dikeluarkan dari poket seluar dan diletakkan di sisi laptop yang sudah terpasang.

"Call ayah kau?" Nik sudah boleh meneka apabila melihat telefon bimbit tersebut.

"Dia okey? Dah dapat izin?" Nadrah hanya mengangguk. Matanya fokus pada skrin laptop. Tangan kanan bermain dengan tetikus, manakala tanya kiri sibuk menaip sesuatu, mungkin maklumat penting untuk test esok.

"Dah bagi tahu Hans pasal plan kau nak ajak dia?" tanya Nik lagi.

"Esok baru nak jumpa dia. Lately ni dia busy, malas nak kacau," memang perancangannya begitu. Selepas zohor dia bercadang mahu ke perpustakaan. Ada tiga buah buku yang harus dipulangkan. Dia mahu menyelesaikan apa yang perlu sebelum dia berangkat ke Da Nang. Dua minggu dia akan menghilang daripada radar universiti, jadi semua urusan yang penting perlu diselesaikan segera.

"Kau yakin ini plan yang terbaik?" Nadrah menggeleng mendengar soalan itu.

"Tak..." jawab Nadrah selamba. Pembacaan terhenti seketika. Badan disandarkan pada kerusi. Dia memandang Nik di sebelah.

"Tapi aku yakin plan ni much better daripada cadangan Mai," tambahnya lagi.

"Aku nak tolong kau tapi aku sendiri tak mampu. Dr Khoo expect aku siapkan tesis lebih awal daripada deadline," balas Nik lagi.

Dia pernah terfikir untuk menemani Nadrah, tidak sampai membiarkan Nadrah berjalan sendiri, namun apabila teringatkan tanggungjawabnya yang belum selesai, niat tersebut terpaksa dimatikan. Penyelia tesisnya kali ini agak tegas. Kalau dia sudah memberi tarikh serahan, maka memang wajib untuk dituruti!

"No worries. Kau doakan yang baik-baik saja. Doakan semuanya berjalan lancar. Doakan aku selamat pergi dan balik," senyuman diberikan kepada gadis manis itu, cuba untuk menghilangkan gusar di hati Nik.

"Semoga langkah yang kau atur Allah reda. Semoga kau dapat apa yang kau cari dan semoga kau dapat ilham untuk menulis lepas balik nanti," Nadrah hanya mengangguk. Tinggi harapan Nik, tinggi lagi harapannya. Ada baiknya dia berjalan keluar ketika itu. Sekurang-kurangnya dia boleh menghilangkan sedikit beban di kepala.

"Itulah yang aku harapkan. Aku nak start over. Mungkin perjalanan kali ini akan buat aku lebih bersemangat nak menulis. Cari experience sekaligus cari ilham,"

Kasih Dia Tanpa SempadanWhere stories live. Discover now