0413,The whole world is mine, except for you.
.
.
.
.
.
2:10 petang.
Pantas sungguh waktu berjalan. Pejam celik, pejam celik, sudah sejam berlalu. Dan akhirnya, loceng terakhir yang menandakan tamatnya waktu persekolahan untuk hari ini, sekali gus merangkap minggu ini berbunyi nyaring bergetar di udara.
Inilah saat yang paling ditunggu-tunggu oleh rakan-rakan sekelasku yang lain kerana mereka sudahpun berdiri. Lincah sahaja tangan mereka bergerak meletak buku-buku dan segala alat tulis ke dalam beg sekolah. Langsung tidak membuang masa nampak gayanya.
Aku pula masih seperti tadi. Ralit menatap kertas modul Sejarah dengan rasa senang. Meski adalah dalam dua muka surat lagi yang masih bersih tidak tercoret, namun aku tetap juga berpuas hati kerana banyak yang telah aku siapkan dalam bakian masa yang tinggal.
Tidak mempedulikan segala macam bunyi bising di sekelilingku, aku tunduk semula menghadap helaian tadi. Masih mahu gigih berusaha di meja sendiri, dengan harapan semuanya siap pada hari ini juga. Sorakan gembira dari mereka sedikitpun tidak menggugat iman dan konsentrasiku.
Latihan untuk subjek yang satu ini kali ini tidak memerlukan aku bersusah-payah mencari jawapan kerana semuanya sudah tersedia ada di dalam buku teks. Senanglah kerjaku. Dan jangan sesekali lupa, matapelajaran Sejarah tidak mempunyai pembolehubah kerana semuanya berasaskan fakta semata-mata.
Tinggal hafal dengan tepat, cari jawapan cepat-cepat dan tulis sampai penat sahaja lagi. Tak adalah aku perlu pening-pening kepala memerah otak. Cuma, adalah beberapa soalan yang memerlukan aku berfikir sedikit iaitu soalan KBAT.
Sekiranya semua latihan berjaya dibereskan hari ini, setidaknya waktu cuti esok bolehlah aku gunakan untuk berehat dulu. Seharian itulah.
Untuk Sabtu dan Ahad pula, kedua-dua hari tersebut telah aku rancang buat mengulangkaji kerana ada sesetengah sub-topik yang tidak aku fahami ketika belajar di sekolah pada minggu ini. Terdetik satu niat untuk mengajak Hazwani lusa sekiranya dia kelapangan. Sudah lama dia tidak datang ke rumahku.
Sebelum ini aku tidak mahu menyentuh waktu cutiku untuk membuat kerja sekolah kerana bagiku waktu cuti adalah waktu cuti. Namun apalah dayaku. Aku sendiri sedar bahawa tingkatan lima bukannya seperti pendidikan di menengah rendah lagi. Jadualnya amat padat sehinggakan ada masanya cuti sekolah pun cikgu kebas untuk sesi kelas tambahan.
Meskipun begitu, tidaklah pula aku memaksa diri membuat kerja sehingga 24 jam mahu berkepit dengan buku. Aku sedar kemampuanku setakat mana. Ada kalanya aku berehat dan menikmati hidup seketika sebelum meneruskan perjuanganku sebagai seorang pelajar. Aku pun manusia biasa juga yang memerlukan sedikit hiburan untuk menghilangkan stres.
Tapi... haih. Belum memasuki pertengahan tahun pun sudah sibuk yang melampau. Sudah lumrah agaknya apabila tahap pendidikan menjadi semakin tinggi. Oleh itu, aku tidak boleh merungut sekarang.
Aku dan Hazwani telah berjanji untuk menjadi lebih serius pada tahun ini. Kami berdua menanam tekad untuk mendapat keputusan yang cemerlang dalam SPM nanti. Lagipun, siapa saja yang tidak mendambakan kejayaan?
Lebih-lebih lagi aku mahu mengikut jejak langkah kakakku yang menjadi idola kepadaku. Percayalah, Kak Fira merupakan bekas valedictorian di sekolah lamanya dulu dan dia berjaya mendapatkan semua A dalam SPM pada tahun 2011. Kami sekeluarga sangatlah bangga terhadapnya. Aku juga tidak mahu ketinggalan.
YOU ARE READING
Dia Pengawas Playboy
Jugendliteratur1 | Passive Keeper "Kau ni lahir-lahir je kat atas muka Bumi ni memang nak seksa aku ke?" Sinis aku menyindir sambil menjeling tajam ke arah satu-satunya insan yang aku benci. Meluat. Paling menyampah! "What can I say? It's my duty." Selamba dia men...