ILMA datang dan berdiri di tepi atok di dapur yang sedang mengupas bawang putih bersama dengan Asma' dalam dukungannya. "Atok masak apa petang ni?"
"Sambal ayam je, dik," jawab atok sambil menoleh sedikit melihat dua cucu perempuan kesayangannya."Sedapnya sambal ayam! Adik suka." Ilma dah tersenyum-senyum.
Sambal ayam masakan atok memang jadi kegemaran dia. Tiada siapa dapat lawan, termasuk mummy.
"Nanti berbuka adik makan puas-puas. Ni nak pergi bazar pukul berapa? Dah pukul lima ni tak pergi-pergi lagi," kata atok sambil menoleh ke arah Ilma sekilas sebelum dia sambung kerjanya mengupas bawang.
Ilma betulkan dukungan Asma' yang mula melorot, jujur dia dah lenguh sebenarnya dari tadi mengelek si bongsu.
"Entah abang tu, tadi adik tanya dia cakap Tok Ayah suruh tunggu je. Nanti Tok Ayah hon baru kita orang turun."
"Dah bagi tahu ke belum Tok Ayah tu kau orang nak tumpang dia?" Atok tanya kerana dia rasa curiga.
Budak-budak ni rajin sangat buat perangai main terjah macam tu, buatnya orang lupa ke, tak tahu, melopong tak dapat apa-apa.
"Tadi adik tanya Abang Uthman, dia kata Abang Ali dah telefon Tok Ma bagi tahu kita nak tumpang."
Atok dah berkerut dahi. "Telefon Tok Ma?"
"Haah, Tok Ma."
"Kenapa tak telefon Tok Ayah terus?" Tak jadi atok nak gunting lada kering, dia berdiri menghadap dua cucunya itu.
"Urm... entah?" Ilma sengih tayang gigi.
Tak ada jawapan untuk soalan atok, bukan Ilma pun yang berurusan dengan Tok Ayah dan Tok Ma mereka, tapi kembar tiga.
Dia cuma ikut sahaja rancangan mereka bertiga. Disuruh bersiap, Ilma bersiap.
"Lailahaillallah! Buatnya Tok Ma kau tu lupa nak bagi tahu Tok Ayah-"
Tak habis lagi ayat atok, tiba-tiba mereka dengar bunyi suara orang menjerit kuat.
Deras mereka menjenguk ke luar tingkap mencari pemilik dan punca suara itu datang.
Itu bukan... Ilma pandang atok, atok pandang Ilma.
"Abang!" Asma' dah tunjuk-tunjuk ke luar.
"Tok Ayah, tunggu!"
"Tok Ayah!!"
Tiga jejaka sedang berlari sambil menjerit kuat di atas jalan raya sana mengejar sebuah kereta.
"Uthman laju lagi!" Umar dan Ali tolak Uthman supaya berlari lebih laju mengejar kereta kancil comel milik Tok Ayah mereka yang dah maju ke hadapan sana.
"Tok Ayah! Tunggu!" Umar menjerit sekuat hati dengan harapan moga-moga suara dia didengari Tok Ayah.
Rasa nak pecah dada berlari dengan perut kosong macam ni. Dekat seratus meter jugalah mereka berlari, baru kereta Tok Ayah berhenti.
Tingkap kereta diturunkan lalu terjengul kepala si tua itu melihat ke belakang.
"Kau orang ni kenapa?"
Tercungap-cungap kembar menarik nafas. Mereka dah berhenti berlari.
Ali angkat tangan, tunjuk lima jari yang mengembang dekat Tok Ayah mereka dengan dada yang dah berombak kencang. "Tok, Tok Ay... Tok Ayah tunggu!"
Tersekat-sekat nafas masing-masing cuba nak sedut oksigen. Nak telan air liur pun kesat bukan main.
"Lailahaillallah! Apa kena budak-budak ni puasa-puasa berlari kejar kereta?"
YOU ARE READING
BIG CALIPH (E-BOOK)
HumorIni cerita Umar, Uthman dan Ali, si kembar tiga bersaudara apabila bulan puasa menjelang tiba. Cerita mereka bukan cerita cinta, bukan juga cerita tentang kahwin paksa, cuma cerita remaja yang hidup di desa menghabiskan masa dengan keluarga di bulan...